Alahan Teruk Ketika Hamil, Diana Rafar Kongsi Amalan Permudahkan Bersalin & Cara Berpantang Turun-Temurun

Ternyata kali ini Diana Rafar alami alahan teruk ketika hamil dan cukup berbeza, barangkali berbeza simptom mengandungkan anak lelaki dan perempuan. Diana banyak menghabiskan masa di rumah kerana sering berasa lesu dan letih. Paling teruk sepanjang kehamilan dirinya tidak mampu tidur malam dan sentiasa dalam ketakutan. Nafsunya untuk bersolek dan mencantikkan diri juga hilang serta-merta.
“Sehingga satu tahap saya nak jawab panggilan pun tidak mampu. Ada juga orang kata, alahan ni makin bertambah baik apabila usia kandungan menjangkau usia empat bulan. Tetapi tidak pada saya, alahan berlaku sehingga ke malam mahu bersalinkan Kayla. Saya masih tidak mampu tidur lena. Saya mudah semput kerana bayi terlalu padat dalam perut.
“Jadi bagi mempercepatkan proses bersalin, saya terpaksa diinduce. Dr bimbangkan kesihatan saya terjejas. Sepanjang hamil kali ini, abang (Zamarul) banyak shooting di luar Kuala Lumpur , jadi saya sering dalam ketakutan kerana takut terberanak di rumah.
“Pengalaman hamil dan bersalin kali ini sangat berbeza. Banyak pula simptom tipu-tipu. Antaranya turun tanda seperti keluar lendir dan terasa seperti pecah ketuban. Tetapi rupa-rupanya bukan simptom sebenar nak bersalin, apabila saya pergi check rupanya belum lagi nak bersalin. Lebih kurang empat, lima kali jugalah asyik dapat simptom sebegitu,” ungkap Diana sambil tertawa.


Amalkan Surah Untuk Permudahkan Bersalin
Akibat mengandung kali ini Diana mengalami pelbagai dugaan termasuklah tidak sihat serta sering ketakutan, ibu beranak dua ini banyak menghabiskan masa luangnya dengan membaca beberapa surah sebagai pelindung diri antaranya Surah Yasin. Waqiah, Ar-Rahman, Yusuf dan Maryam. Hingga satu saat jelas Diana, dirinya seakan taksub membaca surah-surah ini bagi menenangkan hatinya.
Ternyata amalan ini banyak membantu mempermudah Diana ketika proses bersalin. Diana tidak mengambil masa yang terlalu lama di dalam dewan bersalin, hanya dalam masa kurang dua jam sakit, dia selamat melahirkan Kayla Reysha pada 22 Ogos 2017 dengan berat 3.47 kilogram di Darul Ehsan Medical Centre (DEMC), Shah Alam.
“Siapa sangka berbulan-bulan menanggung alahan, Alhamdulillahlah ketika bersalin dipermudahkan Allah. Berkat membaca surah-surah untuk ibu mengandung, Diana mudah bersalin tanpa sebarang bantuan termasuklah epidural. Rahsianya adalah surah-surah itu yang banyak membantu urusan Diana bersalin tanpa sebarang komplikasi yang teruk,” jelasnya.
Berpantang Cara Tradisional
Diana mengakui terlibat secara tidak langsung dalam bidan spa, jadi dirinya amat selesa berpantang cara tradisional. Malahan sejak kecil lagi, dia terbiasa mengikut petua dan amalan nenek moyang daripada segi cara berpantang, jamu, ubat-ubatan yang perlu diambil, mandi herba dan sebagainya.


Ketika zaman anak dara, Diana mengakui mengikuti amalan-amalan ini. Secara automatiknya ketika bersalin pun, wanita ini mengambil langkah yang sama. Dirinya sama sekali tidak akan mengikut cara moden kerana telah dididik sejak kecil untuk menjaga badan secara tradisional mengikut amalan turun-temurun nenek moyang.
“Sekali pun untuk memilih terapi, Diana akan jadi cerewet dan cuba membeza-bezakan mengikut pengalaman sendiri. Seperti sekarang Diana memang bertungku, mandi herba, bersauna, bertangas, makan jamu, minum air halia dan macam-macam lagi.
“Saya memang ikut cara tradisional ketika berpantang. Saya makan jamu yang diamalkan keluarga kami sejak turun-temurun. Jaga pemakanan, jadi saya rasakan tidak susah untuk turunkan berat badan jika mengikut cara berpantang yang betul.
“Jangan langgar pantang, makanan yang tak boleh jangan ambil. Tetapi jangan pula diet, cuma kawal pemakanan dan ambil makanan yang elok dan baik untuk ibu yang berpantang,” katanya lagi.
Hikmah Perpisahan, Kayla Rezeki Tak Terduga
Setiap manusia ditimpa musibah dan tragedi, begitu juga yang dialami oleh Diana Rafar dan Zamarul Hisham. Perpisahan yang telah terjadi biar pun sementara, sudah pasti menjadi titik hitam dalam kehidupan mereka berdua. Namun siapa sangka Kayla adalah hikmah perpisahan yang berlaku.

Hikmahnya, mereka berdua dikurniakan rezeki seorang lagi anak selepas tragedi itu berlaku. Dirinya cukup bersyukur kerana setelah sekian lama menanti, kini dirinya sekali lagi berpeluang menimang cahaya mata, lebih-lebih lagi cahaya mata perempuan.

sumber:http://www.mingguanwanita.my/alahan-teruk-ketika-hamil-diana-rafar-kongsi-amalan-permudahkan-bersalin-cara-berpantang-turun-temurun/