[#WanitaTerhebat] Ada Duit & Popular Tapi Kalau Hati Tak Gembira, Tak Guna Juga. Ini Pandangan & RAHSIA Neelofa Tepis Masalah Hidupnya!

Cantik, ada duit, berjaya dan popular. Noor Neelofa Mohd Noor memiliki pakej yang amat diimpikan oleh wanita seusianya. Pasti ada terselit rahsia Neelofa yang orang ramai sendiri tak tahu macam mana nak berjaya dalam bisnes walau kadang disinggah masalah gosip.

Tidak hairanlah dia telah dipilih menjadi duta dan jurucakap kepada lebih 10 jenama produk tempatan mahupun luar negara. Disebabkan kepopularannya itu jugalah dia memiliki lebih 4.8 juta pengikut di Instagram. Neelofa bersyukur dengan apa yang dinikmatinya kini.
Namun sebelum berada pada kedudukan sekarang, banyak onak dan duri perlu dihadapinya. Secara jujurnya Neelofa menjelaskan orang ramai hanya nampak benda yang baik dan secara luaran sahaja.

“Tetapi apa benda yang saya kurang dan saya rasa masih tidak capai lagi hanya saya sahaja yang tahu. Hanya mereka yang dekat dengan saya sahaja yang tahu. Saya rasa saya perlu belajar dan lebih tambah ilmu dari semasa ke semasa. Saya ada gambaran ini di mana insan yang bagaimana saya perlu jadi. Tetapi saya masih belum sampai lagi ke arah itu. Sekarang ini saya masih lagi banyak belajar dan berusaha lagi.

“Banyak lagi yang perlu saya buat. Ilmu dalam diri belum cukup lagi. Saya mencari ilmu bukan sahaja untuk berjaya tetapi untuk menjadi lebih gembira. Saya mahu mencari kegembiraan melalui ilmu. Kita perlu menyayangi diri sendiri barulah kita dapat menyayangi orang lain.”

Tidak Lari Daripada Masalah
“Saya tidak tahu.” Itulah jawapan Neelofa bila ditanya bilakah statusnya akan berubah menjadi suri rumah tangga. Sesungguhnya dia sudah biasa menerima soalan sebegitu apabila dia mula rapat dengan kawan lelaki.
Bercerita mengenai diri yang sering digosipkan dengan artis dan orang kenamaan, Neelofa menjelaskan kebanyakan masa apabila gosip mengenai dirinya keluar, dia akan berfikir bagaimana untuk menghadapinya.

“Saya akan fikir sama ada gosip itu berbaloi atau tidak untuk saya membuka mulut memberi penjelasan. Kadangkala saya perlu tengok juga seteruk mana saya kena dengan gosip itu.

“Kalau gosip itu ala kadar dan ringan sahaja, pendekatan yang saya ambil adalah buat tidak tahu sahaja. Kalau gosip itu memberi kesan pada karier dan maruah, barulah saya ambil tindakan seperti bertemu dengan wartawan itu dan lihat sama ada benda ini boleh dibersihkan semula.

“Tetapi kebanyakan orang apabila ada gosip mereka akan post dan bantai balik. Kemudian bergaduh sesama mereka. Saya tidak begitu. Dalam menghadapi gosip sebegini saya tidak tertekan tetapi rasa sedikit kacau.

“Dalam menaikkan semangat semula, saya bersyukur kerana ada kawan-kawan dan keluarga yang memberi semangat. Saya rasa kuat disebabkan mereka ini. Tetapi pada masa yang sama, kita kenal diri kita sendiri. Kita perlu sedar bagaimana orang luar melihat diri kita. Adakah kita yang jenis lemah atau senang jatuh apabila orang menjatuhkan anda.”
Jelas Neelofa apabila ada orang yang cuba menjatuhkan dirinya, cara yang dibuatnya adalah kebanyakan masa dia buat tidak tahu sahaja.

“Kalau saya beri tindakan balas, mereka lagi suka. Saya banyak simpan, saya hadam sendiri dan saya belajar bagaimana untuk menghadapinya. Kalau benda itu pedih dan menyakitkan hati saya hadap benda itu.
“How bad it will break me? If you how bad it will break, you know how to overcome that thing in the future. Kalau kita sentiasa lari daripada masalah, kita tidak tahu betapa teruknya ia akan memakan diri.”
Jelas Neelofa, faktor umur juga membuatkan dia semakin matang dalam menghadapi sebarang gosip mahupun pendapat negatif orang ramai.

Sebaiknya…
“Tidak perlulah membuang tenaga untuk fight dan beri kenyataan kerana pada akhirnya semuanya akan kembali reda. Saya sudah lain kerana kali ini saya tidak fikir apa orang cakap. Sekarang ini semuanya berkaitan dengan diri saya. Apa yang saya fikir mengenai diri saya.

Apa yang yang saya mahu buat pada diri saya dan apa yang boleh buatkan diri saya gembira. Saya gembira sekarang kerana diri ada kesedaran tersebut. Dahulu saya masih tercari-cari apa yang saya hendak dalam hidup ini.

Ada duit dan popular kalau tidak gembira, tidak berguna. Oleh itu perlulah tahu bagaimana untuk cari kegembiraan? Dalam mencari kegembiraan, perlulah belajar menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Cari apa yang boleh buat diri gembira dan apa yang boleh buat diri heartbroken.

Kita perlu bezakan benda dan orang dalam situasi yang boleh menjatuhkan atau benda atau situasi yang boleh menaikkan semangat . Apabila kenal, anda tertarik dengan positif. Sebab itu saya suka cari ilmu kerana ilmu boleh mengubah seseorang. Saya hendak belajar buat bisnes juga sebab ilmu juga.”

Sumber:mingguanwanita