‘Sakit Gigi’ Membunuh Bapa Muda Ini Dan Apa Anda Patut Tahu…

Seorang pemandu lori jarak jauh meninggal dunia pada Januari tahun ini.

Jangkitan yang bermula dari ‘sakit gigi’ merebak masuk ke dalam paru-paru dan seterusnya menyebabkan kematian ayah berusia 26 tahun ini.

Vladim Kondratyuk Anatoliyevich, mengadu sakit gigi selama beberapa minggu.

Pada 24 Januari, ketika dalam perjalanan ke New York dari California, beliau sempat menerima rawatan pembersihan gigi dan antibiotik.

Pada mulanya, kesakitan beliau beransur kurang, tetapi tidak lama selepas itu, isteri beliau, Nataliya, 22 menerima panggilan telefon mengatakan mulut Vladim semakin bengkak.

Abang Vadim terbang ke New York untuk menemankan beliau pulang ke California, tetapi dalam perjalanan pulang, beliau mula mengalami kesukaran bernafas dan semakin pucat. Melihat situasi itu, abang Vadim mengambil keputusan untuk menghantar beliau ke hospital.

Keadaan beliau semakin tenat, diberi rawatan dialisis sehingga akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pagi Isnin, 6 hari selepas menerima rawatan gigi yang pertama.

Apa yang terjadi?

Menurut Nataliya, hospital mendapati bahawa suaminya menghidap diabetes.

Jangkitan gigi beliau juga telah merebak ke dalam darah dan paru-paru.

Ini bukan kali pertama seorang pesakit meninggal dunia disebabkan sakit gigi.

Seorang lelaki bernama Kyle Willis, 24 tahun meninggal dunia apabila jangkitan gigi beliau merebak ke dalam otak. Malangnya, beliau tidak mendapatkan rawatan kerana tidak mampu.

Pada awal 1600-an, jangkitan dan masalah-masalah gigi disenaraikan sebagai pembunuh utama nombor lima atau enam di London.

 

Pada tahun 2007, di Deamonte Driver, seorang budak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia apabila bakteria dari nanah telah merebak ke dalam otak. Beliau menjalani 2 pembedahan otak berjumlah USD $250,000 sebelum kematiannya, yang mana sebenarnya boleh diselamatkan melalui ekstrasi gigi pada kos USD $80 sahaja.

Dr Thomas Porter, seorang ahli fakulti di University of Florida College of Dentistry memberitahu, “Ya, memang terdapat kemungkinan kematian daripada jangkitan gigi.”

“Pada setiap tahun, terdapat kes-kes di mana pesakit tidak mendapatkan rawatan gigi yang sepatutnya pada masa yang tepat. Dalam kebanyakan kes, ianya bermula pada satu tempat, sakit dan mengalami jangkitan.”

“Apabila tidak dirawat, masalah menjadi semakin teruk. Pesakit menjadi septik yang boleh mengundang maut,” kata Dr Porter lagi.

Menurut Dr. Richar Niederman, pengerusi Badan Promosi Epidemiologi dan Kesihatan Kolej Pergigian NYU, berkata, “Terdapat banyak kajian mengatakan pesakit kencing manis berisiko tinggi mengalami kaviti dan kerosakan gigi, penyakit periodontal, penyakit kardiovaskular, dan lain-lain lagi.”

Apabila ditanya adakah kematian akibat jangkitan gigi boleh dielakkan, Dr. Niederman menjawab, “Ya.”

“Mana-mana jangkitan di mana-mana bahagian dalam badan boleh menyebabkan kematian jika ia tidak dikawal,” katanya lagi.

“Jadi, jika anda mengalami jangkitan gigi, bakteria itu akan ‘memakan’ gigi. Oleh kerana ia adalah jangkitan bakteria, ia akan melepaskan asid, dan asid akan melekat di gigi seperti mana asid yang boleh melekat di kaca. Lama-kelamaan ‘lekatan’ ini boleh menjadi lubang. Lubang itu pula terhubung ke pulpa, saraf dan saluran darah dan sekarang bakteria boleh memasuki badan.”

Apa yang perlu dibuat?

Walaupun kes-kes sebegini tidak pernah didengari di Malaysia, amatlah penting untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Jangan takut, jumpalah doktor gigi apabila mengalami kesakitan, dan jangan ambil rendah masalah gigi yang anda alami.

Bakteria dari jangkitan gigi di peringkat akhir bukan sahaja boleh merebak ke dalam otak, tetapi juga melalui darah ke organ-organ yang lain – yang akhirnya menyebabkan kematian.

Jadikan juga amalan penjagaan gigi yang baik seperti menggosok gigi 2 kali sehari, flos setiap hari dan berjumpa doktor gigi setiap 6 bulan keutamaan anda sekeluarga.

Dan jangan sekali-kali berkata, “Alah, aku sakit gigi aje.”

Penyakit Gusi dan Kehilangan Gigi Pada Pesakit Diabetes – Dr. Marini Ismail

Anda pasti sedar bahawa diabetes merupakan penyakit yang boleh memberi kesan kepada seluruh badan termasuk mata, saraf, buah pinggang, jantung, dan organ-organ penting dalam badan. Tapi adakah anda tahu bahawa diabetes turut memberi kesan kepada mulut? Masalah mulut yang biasa dilihat akibat diabetes ialah penyakit gusi. Penyakit gusi boleh menyebabkan kesakitan dan kesukaran mengunyah makanan serta kehilangan gigi.

Penyakit gusi biasanya disebabkan oleh plak dan kebersihan gigi yang kurang memuaskan. Plak ialah lapisan melekit campuran air liur, makanan, dan kuman yang terkumpul pada gigi dan di celah lapisan gusi yang memberi risiko berlakunya gingivitis. Apabila plak terkumpul secara berterusan tanpa dibersihkan, ia mengeras menjadi tartar (kalkulus). Kedua-dua plak gigi dan tartar dipenuhi kuman-kuman merbahaya yang sekiranya tidak dibersihkan akan menyebabkan kerengsaan pada gusi dan gingivitis. Gingivitis ialah peringkat pertama penyakit gusi. Jika plak dan tartar tidak dibersihkan dan gingivitis dibiarkan tanpa dirawat, keradangan dan kerosakan tisu di sekeliling gigi, gusi, tulang, dan serat yang menyambungkan gigi kepada gusi boleh berlaku, dan seterusnya menyebabkan penyakit gusi yang lebih teruk yang dinamakan periodontitis. Gigi mungkin menjadi longgar dan perlu dicabut. Oleh sebab penyakit gusi biasanya tidak menyakitkan, anda mungkin tidak sedar akan masalah tersebut sehingga kerosakan serius telahpun berlaku.

Penyakit gusi lebih kerap berlaku dan lebih teruk pada mereka yang mengalami diabetes yang kurang terkawal. Oleh itu, mereka cenderung untuk kehilangan lebih banyak gigi daripada mereka yang mempunyai diabetes dalam kawalan.

Sila rujuk pada doktor gigi serta merta sekiranya anda mengalami diabetes dan sedar akan sebarang tanda/simptom penyakit gusi, termasuk:

-Gusi merah, bengkak, atau sakit
-Gigi longgar
-Kerap mengalami nafas berbau (halitosis)
-Lapisan gigi yang semakin merosot – Gigi kelihatan lebih panjang
-Gigi beralih dari tempat asal
-Ruang terbuka di percelahan gigi
-Bernanah di celah gigi dan gusi (apabila gusi ditekan)
-Gigi palsu tidak muat dengan baik
-Perubahan pada kedudukan gigi apabila menggigit

Faktor-faktor yang mengaitkan diabetes kepada penyakit gusi:

-Kebersihan mulut yang kurang memuaskan merupakan faktor utama pada penyakit gusi untuk semua orang, tetapi lebih teruk kesannya pada pesakit diabetes..
-Diabetes boleh memberi kesan kepada struktur saluran darah dan memperlahankan kitaran darah, dan menjadikan tisu gusi lebih mudah dijangkiti
-Diabetes akan menurunkan ketahanan badan kepada jangkitan yang akan meningkatkan kebarangkalian gusi mengalami jangkitan
-Kadar glukosa yang tinggi dalam air liur merangsang pembiakan bakteria yang menyebabkan penyakit gusi.
-Pesakit diabetes yang merokok berpeluang lebih tinggi untuk mengalami penyakit gusi daripada mereka yang merokok dan tidak mengalami diabetes.

Jenis-jenis lain masalah kesihatan mulut yang sering dialami pesakit diabetes termasuk:

-Gusi bengkak dan bernanah
-Karies gigi
-Jangkitan kulit seperti jangkitan Candida
Lichen planus (sejenis keradangan kulit )
-Ulser mulut
-Gangguan pada deria rasa
-Mulut kering dan pedih ( kadar penghasilan dan pengaliran air liur rendah)
-Penyembuhan perlahan tisu-tisu mulut

Cadangan untuk mengurangkan/mengelakkan masalah kesihatan mulut termasuk:

-Mengikut nasihat doktor berkenaan diet dan ubat untuk memastikan kadar gula dalam darah berada pada kadar normal sebaik mungkin.
-Berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk nasihat tentang penjagaan di rumah, intervensi awal dan prosedur pencegahan kerap untuk memastikan gigi dan gusi sihat.
-Jadualkan rawatan pergigian pada waktu pagi dan makan ubat-ubat anda seperti diarahkan. -Prosedur pergigian seharusnya singkat dan bebas stres.
-Tunjukkan doktor gigi anda senarai nama-nama ubat dan kadar pengambilannya. Doktor gigi anda perlu tahu maklumat ini untuk memberi ubat yang paling kurang berkemungkinan bertindak balas dengan ubat-ubat lain yang sedang diambil.
-Sekiranya kadar gula dalam darah berada di luar kawalan, tangguhkan prosedur pergigian bukan kecemasan melainkan terdapat jangkitan akut yang berkembang cepat seperti nanah yang memerlukan rawatan serta merta.
-Elakkan mulut kering dengan meminum banyak air atau mengunyah gula-gula getah tanpa gula untuk membantu pengaliran air liur.
-Berhenti merokok.
-Gunakan berus gigi lembut dan gantikannya setiap 3 bulan.
-Gosok gigi sekurang-kurangnya 3 minit dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida, atau selepas setiap waktu makan jika boleh.
-Flos sekurang-kurangnya sehari sekali.
-Jika memakai gigi palsu, pastikan gigi tersebut bersih dan tanggalkan pada waktu malam. Ketatkan atau selaraskan sekiranya gigi berasa longgar atau kurang selesa.

 

SUMBER : www.thevocket.com | www.mmgazette.com