Kisah Hijrah Gengster bertatu di muka bermula selepas mimpi kiamat..Allahu!

GARA-gara mimpi hari kiamat seorang gengster dari negara jiran yang dikenali dengan nama ‘Abang Long Fadhil’ atau nama sebenarnya Muhd Fadhil, 29 kini memilih untuk kembali ke jalan ALLAH SWT.

Meskipun kehadirannya di masjid mahu pun surau sering mengundang pandangan sinis berikutan penampilannya yang bertatu termasuk di wajah, namun tekad sudah dibulatkan dan beliau tidak ambil pusing lagi.

“Pada Januari 2014, saya mimpi hari Kiamat. Dalam mimpi itu saya sedang berhibur di pantai, minum arak dengan kawan-kawan, tiba-tiba ombak tinggi datang dan saya jerit ajak kawan-kawan lari dan saya terus lari. Apabila saya toleh belakang, semua kawan saya tak ada, ombak setinggi lapan tingkat tadi pun tak ada.

“Saya tak keluar rumah sebulan lepas mimpi itu. Saya takut mati. Satu hari kawan telefon tanya nak pergi masjid atau tak. Ketika itu saya tersentak sebab kalau saya keluar rumah saya mati dan kalau saya tidak keluar rumah, saya pasti mati.


“Tapi seminggu, dua minggu saya pergi masjid, bertemu jemaah tabligh dan mula berhijrah. Namun masih belum lagi mencari ALLAH dengan sempurna. Selepas genap 40 hari bersama mereka, saya benar-benar yakin Keesaan ALLAH SWT itu,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan Ar-Rahman TV.

Fadhil turut memberitahu beliau mengambil masa selama lapan bulan hanya untuk belajar surah al-Fatihah.

“Saya kalau cakap orang tak percaya. Bukan mudah untuk saya hafal. Tapi betullah ALLAH itu benar… susah nak cakap.

“Orang kata hari-hari minum manis boleh potong kaki tapi kemanisan iman yang ALLAH beri itu tak akan potong kaki. Kemanisannya itu dapat dirasai dalam hati… sayunya semacam,” katanya.

Bercerita kisah hidupnya, Fadhil memberitahu, tatu pertama yang dicacah pada tubuhnya seawal usia 12 tahun dan terakhir pada usia 22 tahun iaitu pada wajah dan lehernya.

“Tatu pertama nama saya, Fadhil di tangan. Tapi paling sakit di dahi dan leher ini. Ini semua kawan-kawan tolong buatkan.

“Pertama kali saya ditahan pada usia 12 tahun sebab pukul budak berusia 14 tahun dan mak ayah budak itu membuat laporan polis. Saya anggap masa lalu saya itu sebagai mimpi ngeri dalam hidup saya,” katanya.

Mengakui ramai rakan-rakan lamanya yang berbangsa Cina terkejut dengan perubahannya, namun, mereka masih beri sokongan moral meskipun sudah tidak lagi bersama mereka.

Dalam nada sayu, Fadhil mengakui telah banyak melukakan hati ibunya dan jalan baharu dipilihnya itu selain demi ALLAH, ia juga demi untuk menggembirakan si ibu.

Sementara itu, ibu Fadhil dalam rakaman tersebut memberitahu meskipun anak lelakinya itu memilih jalan hitam namun beliau tidak ‘membuangnya’.

“Saya anggap ini cubaan dari ALLAH untuk melihat penerimaan kita. Sepatutnya kita doakan untuk dia bukan menyumpah seranah.

“Insya-ALLAH akan dimakbulkan tapi bukan dalam masa yang singkat. Lihat sekarang, ALLAH sudah menjawab. Sekarang saya sudah tenang,” katanya mengalirkan air mata.

Kisah Hidup Abang Long Fadzil, Bekas Gangster Singapura Sebelum Terima Hidayah

Watak ‘Abang Long Fadhil’ yang dilakonkan oleh Zizan Razak memang wujud sebenarnya. Inilah dia wajah di sebalik Abang Long Fadzil yang sebenar, bekas gangster Singapore yang telah bertaubat dan menerima hidayah dari Allah. Mungkin tiada kena mengena dengan filem Zizan itu, cuma nama sahaja kebetulan sama.

Melalui perkongsian video selama 50 minit di Facebook, Abang Long Fadzil bercerita tentang masa silamnya dan bagaimana beliau terbuka hati ingin kembali kepada Allah. Jadi kalau anda belum ada masa untuk tonton video penuh ceramah Abang Long Fadzil, anda boleh teruskan membaca sinopsis kisah Abang Long Fadzil di bawah.

Abang Long Fadzil adalah anak pertama dari tiga orang adik beradik. Menurut beliau, beliau terjebak ke dalam kancah gangster adalah disebabkan dari pengaruh keluarga beliau sendiri. Beliau masih ingat pesan arwah nenek beliau di mana sebagai anak lelaki sulung, tanggungjawab beliau sangat besar kerana beliau adalah bakal ketua keluarga dan bertanggungjawab untuk keselamatan keluarganya.

Beliau sangat nakal dan liar sejak dari usia remaja. Beliau masuk penjara pertama kali pada umur 12 tahun kerana memukul budak yang dua tahun lebih tua darinya dengan kayu dalam satu pergaduhan. Beliau tidak menyalahkan rakan sebaya atau pengaruh luar yang menyebabkan beliau terjebak dengan gangster. Tetapi beliau mengaku keluarga atau pakcik beliau yang mengajar Fadzil menjadi jahat. Bapa-bapa saudara Fadzil lah yang mengajar Fadzil untuk berkawan dengan kaum Cina di Singapura dan justeru itu, beliau terjerumus dengan gangsterism.

Beliau mula mencacah tattoo dibadannya sejak usianya 12 tahun. Tattoo pertamanya adalah namanya sendiri, Fadzil. Lama kelamaan tattoo beliau makin bertambah di seluruh bahagian tangan kiri (umur 14-15 tahun), di bahagian belakang badan dan di leher dan muka (usia 20-22 tahun). Menurut beliau, ketika itu beliau tidak perlu membayar untuk servis tattoo berkenaan sebab rakan-rakan yang tolong lukis. Beliau memberitahu kawasan paling sakit untuk dilukis tattoo adalah di bahagian dahi dan leher kerana kawasan tersebut paling sensitif.

Fadzil kemudiannya bercerita tentang kehidupan ketika zaman gangsternya. Beliau jujur berkata arak dan makan babi itu perkara biasa dalam hidupnya dan babi itu antara makanan paling sedap yang beliau pernah makan. Beliau juga selalu turut serta dalam pergaduhan antara geng gangster di Singapura. Ada satu ketika, beliau terpaksa berdepan dengan 8 orang gangster dalam satu masa kerana dua rakan beliau lari kerana takut. Memang ketika itu beliau kena pukul teruk; telinga pekak sebelah, luka besar di belakang badan dan luka di muka. Doktor ketika itu berkata kepada Fadzil yang kalau beliau lambat 5 minit sahaja ke hospital, beliau pasti akan mati kerana luka pergaduhan itu.

Penghijrahan beliau bermula sedikit demi sedikit. Beliau mula meninggalkan babi dan arak kerana timbul rasa geli dengan kedua-dua benda haram itu. Selepas meninggalkan arak dan babi, beliau mula kuat hisap dadah (Syabu). Beliau pelik kerana ketika beliau sedang high kerana syabu, beliau boleh baca doa dan solat. Tapi kalau tidak hisap syabu, langsung lupa tentang doa dan solat. Dan ketika itu beliau tinggalkan syabu.

Titik permulaan yang betul-betul buat Abang Long Fadzil mahu berhijrah adalah melalui mimpi. Dalam mimpi itu, beliau sedang berada di tepi pantai bersama rakan-rakan menikmati arak. Tiba-tiba satu ombak yang sangat besar menuju ke arah mereka. Fadzil ketika itu memang tahu itulah hari kiamat kerana beliau rasa ianya sangat real. Ketika beliau ingin berlari, rakan-rakan beliau semuanya hilang dan ombak pun sudah tiada dan beliau tiba-tiba berseorangan di tepi laut. Selepas bangun dari mimpi itu, Fadzil tidak keluar rumah selamat sebulan kerana takut mati.

Sebulan selepas mimpi itu, ada rakan yang datang menemui Fadzil dan mengajaknya pergi ke masjid. Dan ketika itu beliau terdetik, kalau duduk di rumah pun boleh mati, kalau keluar pun boleh mati. Jadi beliau nekad untuk keluar dari rumah. Permulaannya beliau keluar 3 hari untuk kembali mengenal Allah tetapi tepat hari ke-40, baru beliau yakin kembali kepada Allah.


Abang Long Fadzil bersama Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Sakaratulmaut

Fadzil bercerita perjalanan untuk berubah itu sangat susah baginya. Beliau mengaku yang beliau ambik masa 8 bulan untuk menghafal surah Al- Fatihah. Beliau sangat bersyukur kepada Allah kerana memberi peluang kedua untuk beliau bertaubat. Beliau sangat terharu kerana walaupun di waktu jahil beliau dahulu seringkali beliau mengeji Allah, Allah tetap memberi beliau peluang kedua untuk beliau kembali ke pangkal jalan.

“Saya dah biasa kena hina dengan orang sekeliling, dengan ustaz. Kena sound cakap tattoo tak kena air, tak sah solat. Tapi saya pegang cakap mak. Kalau orang susah minta tolong, tolong selagi boleh, kalau orang minta sedekah, kasi selagi mampu,” kata Fadzil.

Bila ditanya tentang rakan-rakan lama beliau, rata-rata kawan gangster Cina beliau menerima penghijrahan Fadzil dengan baik. Tiada yang mengeji tapi siap beri full morale support. Tapi tidak bagi kawan Melayu Fadzil. Kebanyakkan kata Fadzil poyo dan hanya nak publisiti murahan dengan penghijrahan ini walaupun tahu Fadzil telah berhijrah dan sudah cuci tangan dari kancah gangster.

“Saya banyak kawan Cina. Saya selesa kawan dengan Cina. Cina baik sebab orang Cina akan tolong kawan-kawan yang susah. Saya tak suka Melayu sebab Melayu ini pendengki dan suka hina orang. Kalau nak tolong orang, orang Melayu akan tengok wallet dulu,” tambah Fadzil. Menurut beliau, kawan ni ada bila kita ada duit sahaja. Kalau tak ada duit, kawan pun hilang entah ke mana.

Dengan imej terbaru Abang Long Fadzil sekarang, polis sudah jarang tahan beliau dan soal siasat beliau. Kalau dahulu, beliaulah orang pertama yang kena petik kalau ada kes polis. Beliau bersyukur kerana pada usia 29 tahun, beliau dah kenal mana kawan, mana lawan. Beliau menambah kalau kaum Cina, kalau isu duit, mereka akan tolong. Kalau Melayu, nampak duit mereka makan dulu. Itulah perbezaan antara kawan Cina dan kawan Melayu beliau. Bukan semua tapi majoriti kawan Melayu beliau begitu.

Bercerita tentang perasaan mendapat hidayah dari Allah, Fadzil berkata kemanisan tu tak dapat digambarkan.

“Kemanisan dari Allah ni lain. Kalau manis minum kopi ni, hari-hari kita minum kopi lama-lama kena potong kaki. Manis Allah ni dalam hati. Tak dapat saya nak gambarkan macam mana,” kata Fadzil.

Di akhir temubual bersama Fadzil, beliau berpesan kepada semua supaya jangan cepat judge orang lain. Jangan menghukum orang lain umpama kita inilah yang paling baik antara semua. Kerana tugas menghukum itu adalah tugas Allah dan bukan manusia. Yang terbaik adalah membimbing mereka ke jalan yang benar dari kita terus menghukum mereka itu.

Banyak pengajaran yang boleh diambil dari temubual Abang Long Fadzil ini. Hidayah itu milik Allah dan gangster besar seperti Fadzil pun mampu berubah selepas mendapat Hidayah. Kalau anda mahu lihat video penuh ceramah agama ini, boleh klik di sini. Never too late untuk seseorang itu bertaubat kepada Allah. Semoga kita semua mendapat manfaat dari kisah Abang Long Fadzil ini.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my | https://www.thevocket.com