PUNCA HIJRAH “Ali Setan” Yang Buat Ramai TERSENTAP!!!

Artikel ini dipetik dari FB AZEMI ALI :

Alhamdulillah, hari ini kami dapat mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Azmil Bin Dato’ Mustapha atau dulu pernah dikenali sebagai Ali Setan. Beliau kini sedang belajar di Syria dan pulang seketika ke tanahair. Kami sempat menjemput beliau untuk memberi tazkirah di surau pejabat kami. Janggutnya sudah putih melepak dan panjang.

PERMULAAN JADI BAIK

Pada permulaan, beliau menceritakan bagaimana dia menjadi baik. Saya pernah membaca artikel yang sewaktu dia menjadi artis , apabila pulang ke rumah beliau suka menonton bacaan Al-Quran dan terjemahan di TV1 setiap malam sebelum siaran TV tamat. Rasanya bacaan itu tiada lagi sekarang. Hal ini tidak pula diceritakan pada hari ini.

Menurut beliau dia mula ingin menjadi baik apabila berkunjung ke New York untuk menghadiri bengkel perfileman selama 3 bulan. Beliau merancang untuk tinggal di rumah kawannya di New York. Beliau berjanji untuk pergi ke sana pada hari Jumaat tetapi oleh kerana terlalu excited, beliau ke sana pada hari Selasa. Kawannya tidak bersedia menerima beliau kerana sepatutnya beliau hadir pada hari Jumaat. Tanpa tempat tuju, beliau menaiki teksi dan menyatakan ingin ke New York.

“New York besar tuan, ke mana ?” tanya pemandu teksi berbangsa Pakistan.
“Saya tidak tahu..” jawab Ali Setan.
“Kau ni Orang Islam ke? tanya pemandu teksi.
“Ya. Islam” jawab Ali Setan.
“Kalau aku bawa kau ke Masjid, ok? tanya pemandu.
“Boleh juga” balas Ali. “Walaupun di Malaysia jarang-jarang ke masjid, di New York ke masjid pula”, kata Ali di dalam hati.

HIDAYAH DI MASJID NEW YORK

Oleh kerana pada masa itu sudah masuk waktu solat, Si pemandu teksi juga solat di masjid. Ali juga turut sama. Akhirnya Ali dapat menumpang tidur di masjid di New York selama beberapa malam. Beliau turut solat di sana. Beliau berfikir, bila pulang ke Malaysia nanti beliau ingin berubah menjadi baik. Inilah antara titik perubahan beliau.

Untuk perkongsian ilmu pada hari ini. Beliau berkongsi tujuh perkara yang sunnah yang beliau sendiri telah amalkan. Ianya adalah :

1. Solat Tahajud.
Ustaz Azmil mula solat tahajud apabila terpaksa menjaga anaknya ketika usianya 4 bulan. Ketika itu beliau bercerai dengan isterinya. Anaknya suka bangun pada pukul 3 pagi. Beliau mengambil kesempatan untuk solat tahajud dan merasa nikmat solat tersebut.

2. Membaca Al-Quran
Sewaktu waktu dahulu beliau tidak pandai membaca Al-Quran. Pada masa itu beliau tidak hafal Al-Fatihah. Beliau terpaksa menulis Al-Fatihah dalam tulisan rumi jika ingin solat. Alhamdulillah beliau kini telah hafal banyak surah.

3. Solat Berjemaah di Masjid
Beliau cuba solat 40 waktu di masjid. Banyak dugaan yang dihadapi seperti selepas 30 waktu ada bermacam-macam perkara berlaku seperti birthday mak beliau, sepupu kahwin dsb. Akhirnya beliau berjaya solat 40 waktu dan sekarang tetap melakukannya.

4. Solat Dhuha
Dhuha sebagai anak kunci rezeki. Ustaz Azmil pernah menyimpan sebanyak RM3 juta sewaktu menjadi artis. Duit berkenaan habis dalam masa 2 tahun sahaja. Ketika pergi ke Syria, beliau sudah mengamalkan solat Dhuha. Duitnya habis selepas 3 bulan setengah, namun rezeki beliau dan keluarga di sana tidak pernah putus. Beliau telah pulang ke Malaysia sebanyak 7 kali dalam masa 3 1/2 tahun. Tidak termasuk ke tempat lain seperti London, Brussel, Dubai, etc.

5. Bersedekah
Adat di Syria ialah guru akan memberi makan atau barang kepada anak murid. Ustaz Azmil mengajar bahasa Inggeris di sana kerana beliau fasih berbahasa Inggeris. Selepas kelas di rumah beliau, anaknya akan memasak makanan. Pada suatu hari selepas memasak, semua bahan makanan seperti beras, ayam, dsbnya habis. Alhamdulillah keesokan harinya ada orang menghantar seguni beras dan bahan-bahan masakan lain.

6. Sentiasa Berwuduk
Apabila berwhuduk, malaikat akan berdoa meminta keampunan ke atas orang yang berwudhuk.

7. Sentiasa Beristighfar ke Allah
Selalulah meminta ampun dan bertaubat kepada Allah agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita.

 

‘Ustaz’ Azmil tidak peduli digelar ‘Ali Setan’ 

Lebih tiga dekad filem “Ali Setan” mencipta fenomena, nama watak itu masih melekat kuat pada Azmil Mustapha walau sudah berhijrah sebagai pendakwah.

Pelakon yang melonjak pada 1980-an, termasuk melalui “Mekanik”, mendedahkan namanya disebut “Ali Setan” sebagai mempromosi ceramahnya di sebuah masjid di Terengganu.

“Dulu-dulu, masa saya dijemput berceramah, di iklan ditulis ‘Ali Setan ceramah di masjid, semua dijemput hadir’, nama saya tiada, Ali Setan pula mereka letak.

“Tetapi masjid penuh,” kata Azmil, 64, yang mengakui tidak berkecil hati walau sekelumit dengan tindakan penganjur asalkan ceramahnya dikunjungi ramai.

“Ustaz, imam masjid yang jemput saya masa itu [bertanya], macam mana ustaz datang, masjid saya penuh, saya buat dua tiga saf.

“Saya cakap [kepadanya] apabila ‘Setan’ panggil, orang datang. Orang alim panggil, [orang ramai] tidak datang,” kata Azmil sambil ketawa kepada media, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Azmil yang sering pula dipanggil “ustaz” oleh peminat ceramahnya tidak menyatakan butiran lanjut program tersebut.

“Ali Setan”, arahan Tan Sri Jins Shamsuddin pada 1985, menggandingkan Azmil dengan pelakon Fauziah Ahmad Daud, atau Ogy, yang membawa watak Asmidar.

Penggambaran dibuat di Universiti Sains Malaysia (USM), Azmil melakonkan watak Ali, mahasiswa nakal yang sering mengusik pelajar wanita khususnya Asmidar.

Filem tersebut menjadi fenomena sehingga dialog dan babak menarik filem itu masih diingati ramai, antaranya “Tipah tertipu” yang dijadikan lagu kumpulan Ruffedge.

Azmil mengambil keputusan bersara pada 1998 dan mula bergiat aktif berdakwah sejak 2000.

Kini, Azmil berhasrat menubuhkan persatuan “Selebritilah” untuk membela kebajikan golongan artis yang sudah meninggalkan dunia seni dan terlibat dengan kegiatan agama.

Persatuan tersebut, tambahnya, akan aktif menjalankan aktiviti di pusat pendidikan lanjutan bagi pelajar tahfiz yang bakal dibina di Mantin, Negeri Sembilan.

“Dalam persatuan ini, golongan artis akan mendapat kebajikan, antaranya, kita akan bantu dari segi perubatan hospital.

“Kita akan usahakan tajaan.Yalah, kos hospital bukannya murah,” katanya lagi.

“Artis-artis ini juga kenalah sama-sama buat amal kebajikan juga, sertai aktiviti kompleks itu nanti,” katanya, yang sudah mengenal pasti 20 artis yang “berhijrah”.

Bagaimanapun, katanya lagi, semuanya masih di peringkat perancangan memandangkan pihaknya masih mengumpul dana RM7 juta bagi merealisasikan projek tersebut.

“Kita minta pihak media hebahkanlah. Sekarang sudah ada 10 ekar tanah wakaf. Allah permudahkan,” katanya ketika membentangkan idea projek itu di sini pada Selasa.

Biar penerbit bosan, hero ‘Ali Setan’ minta RM100,000 sehari

Bosan untuk kembali ke dunia seni, Azmil Mustapha sengaja meminta bayaran bukan-bukan, RM100,000 sehari untuk berlakon sebuah drama.

Pelakon veteran itu, terkenal dengan watak mahasiswa bergelar Ali Setan, terpaksa meletakkan harga tinggi agar penerbit berputus asa memujuknya menerima tawaran tersebut.

“Mereka tidak putus asa pujuk dan WhatsApp saya. Saya senang saja. [Saya] cakap tidak hendak, dia tidak faham. Saya katalah ‘setuju’ tapi saya kata dengan satu syarat.

“Saya hendak satu hari gaji saya RM100,000,” kata hero filem “Ali Setan”, yang berhijrah sebagai penceramah agama mulai tahun 2000, kepada media semalam.

Tawaran tersebut, tambahnya, diberikan dua tahun dulu dan syarikat penerbitan drama yang tidak dinamakan terpaksa akur dengan keputusannya.

Azmil, yang bersara sejak 1998, kali terakhir berlakon pada filem “Puteri Gunung Ledang” setelah dipujuk penerbitnya Tiara Jacquelina, 13 tahun dulu.

Namun pelakon filem “Mekanik” itu kagum dengan Tiara kerana sanggup memenuhi 10 syaratnya untuk menerima tawaran tersebut.

“Tiara datang dengan suaminya berjumpa saya. Dia setuju dengan 10 syarat saya tanpa tawar-menawar.

“Saya terima, lagi pula Tiara kawan lama saya dan Datuk M Nasir pun berlakon. Saya minat dengan dia,” katanya.

Dalam pada itu, Azmil, 64, akan mempertimbangkan jika menerima sebarang tawaran dalam penerbitan dokumentari berunsur Islam.

“Kalau dalam dokumentari Islamik, tiada masalah. Tetapi bukanlah di depan [kamera] kerana saya lebih berminat di belakang tabirlah,” katanya lagi.

Azmil ditemui di sini selepas membentangkan rancangannya untuk membina pusat pendidikan lanjutan bagi pelajar tahfiz di Mantin, Negeri Sembilan.


Semoga bermanfaat.

Sumber : FB AZEMI ALI | http://m.themalaymailonline.com