Tangisan Berdarah : Wanita Ini Kongsi Pengalaman & Tegur Ibu Bapa Yang Hantar Anak Sakit Mata Ke Taska Kerana Ini Akibatnya!

Artikel ini di ambil dari http://www.nona.my & https://my.theasianparent.com untuk memberi peringatan dan memberi manfaat untuk kita semua.. InsyaAllah semoga kita sentiasa dibawah lindunganNya..

Selain kes penderaan, satu lagi ketakutan terbesar ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska adalah jangkitan penyakit.
Seperti insiden yang menimpa Puan Nurzahida Baharuddin ini, bayangkan bayinya dijangkiti sakit mata hingga terpaksa dibedah.
Kisah Puan Nurzahida atau Zaza, 33, seharusnya diberi perhatian serius kerana ia berisiko dialami oleh ibu bapa lain. Dengan niat mahu berkongsi pengalaman menakutkan itu, Zaza yang merupakan Penolong Pengarah Kastam Ibu Pejabat Putrajaya tidak keberatan bercerita tentang peristiwa tersebut.

Zaza bersama bayinya sebelum kejadian
==========================
Pagi tu macam biasa suami hantar anak sulung kami, Ryfzal Zachry (4 tahun) ke taska. Tiba-tiba cikgu taska call saya minta ambil anak sebab matanya tak boleh buka dan bengkak. Jadi saya pun terus ke sana dan bercakap dengan cikgu tersebut.
Kata cikgu taska, ada seorang murid yang terkena jangkitan mata tapi ibunya tetap degil mahu hantar anak ke taska. Tak lama kemudian, penyakit merebak ke murid-murid lain. Taska sendiri terpaksa kuarantin, siapa yang mahu hantar anak mesti sertakan surat doktor yang mengesahkan mereka bebas daripada sakit mata.
Anak kami tak terkecuali. Selepas dia dijangkiti sakit mata, berjangkit pula ke ibu bapanya. Kami suami isteri pun terpaksa diberi MC selama seminggu untuk berehat. Keadaan suami paling teruk, mata putihnya sampai merah macam drakula!
Mangsa terakhir yang kena adalah bayi kami, Ryfsha Laura, 1 tahun 1 bulan. Mulanya dia okey sebab kami cepat-cepat asingkan si abang tinggal di rumah neneknya di Nilai. Tapi saya masih ingat masa hari yang sama hantar abangnya, mereka berdua bermain dan makan satu pinggan yang sama.
Bila Laura kena sakit mata, tiba-tiba suhu badannya panas dan dia segera dihantar ke klinik swasta di Nilai. Doktor cuma berikan ubat titis mata dan ubat demam, yang kami berikan dari hari Isnin sampai Rabu. Keadaan matanya bertambah teruk apabila ia membengkak dan darah mula keluar dengan air mata.
Saya terus ke klinik kerajaan dan tunjukkan ubat-ubatan yang kami dapat di klinik swasta. Doktor di klinik kerajaan (Putrajaya) ni cakap, ubat tu tak sesuai untuk bayi berumur 1 tahun. Sebab tu mata Laura jadi makin teruk dan virus merebak dengan cepat sampai ia langsung tak boleh dibuka.
Kami diberi ubat titis mata baru. Saya pun pulang ke rumah dan nampak ada perubahan sikit pada mata Laura, walaupun masih bengkak. Yang saya kesalnya, doktor tu tak percaya yang ada darah keluar dari mata anak saya, jadi beliau langsung tak keluarkan surat rujukan untuk kami ke hospital besar.


Pada malam yang sama, kami suami isteri terkejut bila tiba-tiba Laura menangis dengan air mata darah yang sangat pekat. Meraung macam kena histeria! Kami ambil gambar cepat-cepat sebagai bukti dan dalam masa yang sama, Google cari maklumat bagaimana jadi begini.
Sempat juga call rakan-rakan doktor yang rapat untuk minta nasihat dan kebanyakannya minta kami tunggu sampai pagi untuk tengok keadaannya. Kami lap mata Laura dengan kapas dan bersihkan darah yang keluar hingga berhenti.
Awal pagi Khamis 21 Disember, suami saya Rasha Afzal Shafii, terus ajak ke wad kecemasan di Hospital Putrajaya. Doktor bertugas periksa Laura dan beliau terus bagi surat referral ke pakar mata. Jam 2.30 petang, doktor pakar sahkan mata Laura terkena jangkitan kuman dan ia telah merebak ke selaput matanya.

Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya masa tu. Takut. Cemas. Bimbang. Semua bercampur baur. Tengok doktor cuci mata dan letakkan ubat ke mata Laura pun saya dah kecut perut. Kami diminta datang semula esok untuk pembedahan minor bagi mengeluarkan selaput mata Laura yang dijangkiti. Allah, selaput mata?

Jumaat, 22 Disember. Seawal jam 8 pagi, doktor dah jalankan pembedahan mata Laura. Sebagai ibu yang melihat, saya sendiri menangis dengar tangisan anak, apa lagi nampak darah di matanya. Tak putus-putus bibir berdoa supaya Allah selamatkan bayi kecil kami.
Selepas pembedahan, Laura nampak letih sikit tapi alhamdulilah darah tak keluar lagi. Masa dia tidur, saya hubungi taska si abang dan maklumkan hal ini. Saya terkilan kerana pihak taska sepatutnya beri komitmen atau maklumkan pada ibu bapa bila ada budak sakit.


Jawab cikgu taska tersebut, sebenarnya jangkitan mata ni mula tersebar dari seorang budak 3 tahun. Budak ni dapat sakit mata selepas mandi dalam swimming pool, kemudian virus pun merebak bila dia hadir ke taska. Seramai 6 orang murid terkena jangkitan mata yang teruk termasuk ibu bapa murid seperti kami ni.
Saya tak sangka peristiwa ni terjadi pada kami sekeluarga. Nasihat saya pada ibu bapa lain, tolonglah ada rasa tanggungjawab terhadap anak-anak orang lain yang dihantar ke taska yang sama. Kalau anak sakit, janganlah degil nak hantar juga. Tengoklah akibatnya, orang lain yang menanggung!
Pihak taska dan sekolah juga mesti berkeras. Beri amaran jika ada murid yang sakit, jangan izinkan hantar ke taska sebab ia akan memudaratkan orang lain. Begitu juga kalau ke tempat-tempat awam macam restoran atau pusat membeli-belah. Elakkan sama sekali!
Bagi ibu bapa yang nak bawa anak-anak bercuti, pastikan dulu tempat tu selamat daripada jangkitan virus. Ingat, penyakit disebabkan virus ni senang merebak. Tengok air swimming pool bersih atau tak, kalau ragu-ragu lebih baik elakkan. Jangan kita bahayakan kesihatan si kecil.


==========================

Semoga perkongsian Zaza ini menjadi pengajaran kepada ibu bapa lain. Kadang-kadang kita fikir sesuatu penyakit tu tak berbahaya. Mungkin tak untuk orang dewasa, tapi fikirkan pula jika penyakit yang sama melibatkan bayi kecil seperti Laura.
Khabar terkini tentang Laura. Hari ini dia kelihatan semakin sihat dan sembuh. Zaza masih fobia untuk membawanya keluar rumah dan dia dinasihatkan tidak dibawa ke mana-mana selama 5 hari selepas pembedahan. Semoga keadaan bayi comel ni dan ibu bapanya kembali sembuh seperti sedia kala!

Sebenarnya Ini 5 Tanggungjawab Ibu Bapa Yang Hantar Anak Ke Taska

Apabila ibu bapa hantar anak ke taska

Selalu bukan kita dengar keluh-kesah pengasuh di taska tentang anak-anak yang dihantar setiap pagi?

Mereka bukan sahaja di hantar dalam keadaan belum mandi, malah ada yang masih dengan lampin pakai buang yang penuh!

Malah, ada juga yang menghantar anak mereka dengan pakaian balik dari taska pada hari sebelumnya.

Memang benar, pengasuh di taska mempunyai tanggungjawab mereka juga. Ini memang kenyataan yang tak dapat disangkal lagi.

Namun bagaimana dengan tanggungjawab ibu bapa pula?

Tahukah anda sebenarnya menghantar anak-anak ke taska bukanlah ‘lesen‘ untuk lepas tangan dari semua urusan anak-anak.

Jangan kerana anda menghantar anak ke taska, banyak momen bersama anak anda terlepas.

Sebenarnya, walaupun menghantar anak ke taska, anda masih perlu lakukan 5 perkara asas sebagai rutin, antaranya ialah:

1. Mandi

Mandi pagi sebenarnya sangat penting untuk mengajar anak-anak tentang asas kebersihan.

Mandi pagi juga mengajar mereka yang mereka perlu mandi dan menyiapkan diri terlebih dahulu sebelum keluar rumah. Jangan ajar mereka kebiasaan untuk keluar rumah tanpa mandi.

hantar anak ke taska
Sebelum anda hantar anak ke taska, apa kata mandikan mereka dulu?

Sekiranya anda terpaksa menghantar anak anda terlalu awal, sekurang-kurangnya, salin lampin pakai buang mereka serta basuh mukanya terlebih dulu. J

angan pula anak tidak mandi, malah lampin pakai buangnya sudah penuh menanti bocor.

2. Bekalan keperluan asas

Bekalan di sini bukan bermaksud bekalan makanan kerana di taska sudah pun menyediakan makanan.

Bekalan di sini ialah keperluan asas. Contohnya sabun, susu anak, pakaian dan ubat-ubatan jika perlu.

Sekiranya anak kurang sihat, sertakan sekali nota cadangan masa memberi ubat pada anak anda.

Dan juga nota tambahan tentang keadaan yang perlu ditekankan sekiranya dia tidak sihat. Tapi, adalah lebih baik tidak menghantar mereka ke taska sekiranya mereka sedang tidak sihat.

3. Cuti sakit

Bukan senang untuk ibu bapa dapat cuti sekiranya anak tak sihat.

Namun, bagi yang boleh mengambil cuti, anda wajar mengambil cuti dan tidak menghantar anak ke taska.

Ini sebenarnya bagi memastikan anak jagaan lain di taska tersebut tak terdedah kepada sakit anak anda.

4. Ambil tahu tentang perkembangan anak di taska

Luangkan sedikit masa, 10-15minit untuk bercakap dengan pengasuh di taska. Ambil tahu tentang perihal anak anda di taska.

Sama ada mereka selalu menangis, ada selera makan atau murung di taska.

Ini sangat penting kerana melalui ini, anda boleh tahu perkembangan anak anda.

Juga, anda akan tahu sekiranya dia mempunyai sebarang masalah. Jangan hanya tunggu pengasuh anda beritahu baru hendak mengambil tahu!

5. Kenali ibu bapa anak asuhan yang lain

Kredit gambar: nurturing parents and teachers

Mengapa ini penting? Sekurang-kurangnya anda kenal siapa ibu bapa yang anak mereka sama-sama diasuh dengan anak anda. Jika terjadi apa-apa, anda boleh menghubungi mereka juga.

Mendidik anak anda adalah tanggungjawab bersama

Itulah sebahagian dari apa yang harus anda lakukan sebagai ibu bapa yang menghantar anak ke taska.

Bukan apa, seperti yang anda tahu, pengasuh di taska bukan hanya menjaga anak anda seorang. Mereka perlu menjaga sekurang-kurangnya 3 orang kanak-kanak bagi seorang pengasuh.

Jika mereka terpaksa menghabiskan masa untuk memandikan setiap anak asuhan setiap pagi, pasti mereka kehilangan masa yang banyak.

Lebih-lebih lagi untuk sarapan dan aktiviti pagi. Jika mereka mempunyai lebih masa, pasti aktiviti pagi anak anda akan lebih menyeronokkan dan interaktif.

Seperti yang dikatakan tadi, menghantar anak ke taska bukanlah ‘lesen‘ untuk lepas tangan dari menguruskan hal anak.

Pasti anda mahu anak anda kenali anda lebih rapat berbanding pengasuh mereka bukan? Jadi mulakan dengan lebih banyak menguruskan mereka.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia ( https://my.theasianparent.com/hantar-anak-ke-taska/ )

Sumber : http://www.nona.my  & https://my.theasianparent.com/hantar-anak-ke-taska/