Mamat Exist Dedah Kehidupan Sekarang & Ini Wajah Terbaharu Beliau Mengejutkan Banyak Pihak!

Bekas vokalis kumpulan Exist iaitu Mamat terpaksa menumpang di beberapa rumah kenalannya di Kuala Lumpur selepas mengambil keputusan untuk kembali aktif sebagai penyanyi.

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 36, berkata, semenjak bercerai dengan bekas isterinya, Marshila Mustapa Kamal empat tahun lalu dia lebih selesa menumpang di rumah temannya kerana dapat berkongsi masalah dengan mereka.
“Saya tiada rumah di Kuala Lumpur jadi setiap kali ada tugasan di sini saya akan duduk menumpang dengan kawan-kawan atau pun tidur di hotel.

Mamat kini menumpang di rumah kenalannya di Kuala Lumpur.

“Biarpun saya ada rumah di Johor tetapi saya kini lebih selesa untuk tinggal bersama rakan-rakan kerana sekurang-kurangnya ada teman untuk berbicara dan berkongsi masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Mamat turut mengakui dia kadang-kala tertekan dengan pandangan negatif sesetengah pihak terhadapnya berhubung kisah silamnya termasuk dalam soal penyalahgunaan dadah sebelum ini.

Mamat muncul dengan single terbaharunya berjudul Keluhan Cinta.

Jelas Mamat, dia berharap masyarakat dapat memberinya peluang untuk menebus semua kesilapan yang pernah dilakukannya dan bukan terus menghukumnya tanpa mengetahui keadaan sebenar.
“Mungkin saya nampak seperti tidak kisah dengan apa yang orang perkatakan tentang saya tetapi jauh di sudut hati perasaan sedih itu ada.
“Apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan harap ia boleh diambil sebagai iktibar malah ia mengajar saya mengenai erti kehidupan,” ujarnya.
Sementara itu, Mamat berkata, dia bakal muncul dengan single terbaharunya berjudul Keluhan Cinta dan berharap lagu itu nanti akan dapat diterima peminat selepas sekian lama menyepi.
Jelas Mamat, lagu berkenaan diterbitkan oleh Anita Entertainment dan dia bersyukur atas kepercayaan diberikan oleh syarikat berkenaan.
“Klip video lagu itu juga sudah dirakamkan dan sedang menjalani proses suntingan. Harap-harap ia akan dapat diterima peminat,” ujarnya.


Dalam pada itu saksikan temubual video wartawan kami, Addy Junaidi bersama Mamat menerusi ruangan Zoom. Penyanyi ini menjelaskan pendapatannya terjejas. Wajah terbaharu Mamat mengejutkan banyak pihak kerana dia kelihatan cengkung bagaikan tidak terutus.

sumber :

http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2014/09/02/mamat-exist-hidup-merana/

 

Kenapa kata kunci Mamat Exist trending? Kita di tahun 1990an lagi kah?

Itu antara reaksi nakal pengguna media sosial hari ini apabila mendapati nama pelantun vokal Mohd Ali bin Kamarudin, 37 tahun atau lebih popular sebagai Mamat tiba-tiba menjadi perhatian orang ramai.

Mamat bukanlah juara musim pertama Gegar Vaganza yang diadakan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada malam tadi, tetapi namanya kekal sebagai 10 perkara paling dibincangkan di twitter Malaysia sehingga kini.

Saya masih ingat lagi kenangan tahun 1991, ketika itu saya baru berusia 8 tahun, lagu Untukmu Ibu & Rahsia Pohon Cemara sememangnya sangat popular serta menjadi siulan. Siapa yang tidak memiliki kaset kumpulan Exist pastinya sesuatu yang dilihat janggal. Mamat ketika itu seingat saya berusia mungkin 3-4 tahun lebih tua daripada saya. Sebagai peminat, saya mengikuti setiap perjalanan karier serta kehidupan peribadinya ketika itu. Cerita mamat kemalangan kerana menyelamatkan seekor kucing, Mamat mula pecah suara dan pengakhiran yang sedih apabila khidmat vokal Mamat tidak lagi diperlukan oleh kumpulannya menjadi ratapan ribuan peminatnya. Penutup babak akhir yang mungkin mencalarkan nama serta populariti Mamat adalah kes tahun 2011 yang merebahkan karier penyanyi dari Johor Bahru ini. Siapa sangka, tahun 2015 Mamat Exist bangkit semula dan berjaya menarik kembali perhatian peminat hiburan tanahair apabila memperoleh tempat ke-3 program Gegar Vaganza disamping turut memenangi persembahan terbaik daripada undian sms.

Sebagai peminat, mungkin ramai yang mahu melihat Mamat Exist terus fokus kali ini dan mengambil ikhtibar daripada babak-babak hitam dalam hidupnya. Saya yakin, suara Mamat masih lagi mahu didengari malah generasi baru turut tercari-cari siapa gerangan Mamat Exist. Melalui youtube, peminat baru & lama boleh mencari lagu-lagu yang pernah mengangkat nama Mamat serta Exist seperti Salju Di Danau Rindu, Anugerah, Nota di Lautan Sepi dan lain-lain lagi. Ini mungkin peluang ke-2 untuk Mamat, semoga peluang ini digunakan sehabis baik untuk kembali mewarnai dunia hiburan tanahair.

Sumber :

https://www.google.com.my/amp/www.astroawani.com/kini-trending/mamat-exist-antara-10-perkara-paling-trending-di-twitter-51579%3Famp%3D1

 

Mamat Exists menyesal, sejarah hitam jadi iktibar

Selepas tirai musim pertama Gegar Vaganza (GV) dilabuhkan, lebih setahun lalu, kecoh apabila pemenang tempat ketiga, bekas vokalis kumpulan Exists, Mamat terus ‘lesap’ dari dunia seni.

Ada yang mendakwa, penyanyi berusia 37 tahun itu ‘gelap mata’ dengan wang kemenangan bernilai RM20,000.

Tambah hangat, Mamat dilaporkan ditahan atas kesalahan memiliki dadah, pada Mac tahun lalu.

Peminat mula khuatir, Mamat ‘hilang arah’ lagi. Dia juga dikatakan sukar dihubungi, termasuk oleh pihak pengurusan Astro yang mahu mencarinya bagi menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tampil memberi penjelasan, Mamat memberitahu, telefon bimbitnya bermasalah.

“Saya mendapat berita mengenai konsert ini daripada abang saya, Noh. Saya dapat tahu pihak Astro gagal menghubungi saya. Sebenarnya, saya tidak ke mana-mana. Cuma kad SIM dalam telefon bimbit saya bermasalah dan saya baru saja menukarnya.

“Berita kononnya saya sudah berumah tangga sekali lagi itu tidak benar. Saya masih seperti dulu, cuma sibuk menguruskan perniagaan di Johor selain undangan nyanyian,” katanya.

Masih di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama lima tahun, Mamat mengakui pergerakannya sedikit terbatas.

Ini kerana setiap kali mahu keluar dari Johor, Mamat perlu melapor diri di balai polis berhampiran.

Mengakui sukar, namun Mamat perlu akur dengan peraturan pihak berkuasa demi meneruskan karier seni.

“Saya datang menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza ini kena lapor diri. Tetapi, ia bukanlah masalah besar. Janji, saya ikut arahan yang ditetapkan dan keluar atas urusan kerja, itu tidak jadi masalah,” katanya.

Mamat memberitahu, bidang nyanyian masih menjadi sumber pendapatan utamanya.

“Sehubungan itu, saya tidak akan sesekali meninggalkan bidang ini. Selepas terbabit dengan isu dadah, kesannya sangat besar terhadap kerjaya seni.

“Saya sangat menyesal. Tetapi, saya jadikan itu sebagai pengajaran,” katanya.

Menyentuh mengenai gandingannya bersama Ezad Lazim menyanyikan lagu Langkah Seiringan pada malam terakhir konsert itu, Mamat memberitau, ia adalah idea Ezad.

“Ezad yang mahu kami berduet. Saya melihat itu sebagai peluang untuk kami berkongsi pentas dan berpadu suara untuk penonton terutama peminat Exists

“Ini kali kedua kami berduet. Tetapi, Ezad beri keyakinan untuk kami bersatu dalam konsert ini. Alhamdulillah, ia suatu permulaan yang baik untuk saya terus ‘dipandang’ dalam industri seni,” katanya.

 

sumber :

https://www.google.com.my/amp/s/www.bharian.com.my/node/117599/amp