Pemuda Ini Dedah Sesuatu Di Palestin & Pesanan ‘Padu’ Imam Masjidil Aqsa Kepada Semua Umat Islam!

3 Hari Di Palestin, Pemuda Ini Berkongsi Pesanan Daripada Imam Masjidil Aqsa |Nota Editor: Kisah berikut adalah daripada perkongsian Afyz Yzels, seorang graduan daripada universiti Irbid, Jordan yang telah berpeluang ke Palestin selama 3 hari.

Kami kongsikan semula di sini dengan izin daripada penulis. Semoga ia dapat membuka mata kita tentang suara dan harapan rakyat Palestin yang menunggu kedatangan saudara Muslim dari seluruh dunia untuk menziarahi mereka di sana.

Kami dan Palestin

travel-ke-palestine-1

Akhirnya. Selepas hampir 22 jam perjalanan, selamat tiba di Jerusalem. Sangkut di sempadan hampir 3 jam untuk masuk ke Palestin. Alhamdulillah, berjaya juga. Bakal menetap 3 malam di Jerusalem. Masjidil Aqsa, kami sampai Alhamdulillah.

Gambar: sekitar Kota Lama Jericho

Alhamdulillah, 3 hari yang lalu ketika masih di Kota Palestin, pena terpaksa ditahan daripada menulis segala sesuatu tentang Palestin. Semata-mata kerana risaukan risiko ancaman keselamatan daripada Rejim Israel.

Mana tidaknya, hari pertama kemasukan kami ke sempadan pun sudah 3 orang ditahan di Stesen Imigresen selama hampir 2 jam. Semata kerana tidak dapat menyebut nama keluarga dengan baik.

Diberi pesanan lagi agar tidak menyebut perkara tidak elok ketika didalam Kota Palestin dikhuatiri ditahan ketika ingin pulang kelak.

Sebelum tiba di Sempadan Jordan-Palestin pun kami sudah diingatkan supaya tidak berkasar dan sesekali menarik muka dengan pegawai-pegawai Rejim Zionis di Sempadan. Akibatnya, hanya mampu menahan amarah yang wujud di kalbu.

travel-ke-palestine-2

Pintu masuk ke Kota Baitul Muqaddis. Masjid al-Aqsa terletak di sebalik dinding pagar batu yang mengelilingi Kota Baitul Muqaddis ini. InshaAllah, beberapa hari ini akan banyak melintasi keluar masuk pintu ini.

travel-ke-palestine-3

Pintu utama ke halaman Masjid al-Aqsa. Jemaah bersama penduduk tempatan menunggu pintu dibuka pada pukul 4 pagi, sebelum dapat masuk ke halaman masjid. Pintu dijaga oleh penjaga Muslim dan Yahudi, tetapi kunci dibuka oleh Yahudi.

travel-ke-palestine-4

Di dalam kawasan Masjid al-Aqsa. Para jemaah beramai-ramai menuju ke pintu masuk Masjid Utama al-Aqsa bagi aktiviti qiamullail sebelum waktu subuh.

Kami dilayan seperti pengemis, dipandang sinis, hatta kerap kali pegawai imigresen menahan dan soal siasat beberapa ahli jemaah sesuka hati tanpa asbab tertentu.

Kami diingatkan tidak melawan, angkat suara atau sekalipun menjeling kepada mereka, dikhuatiri mereka akan menghalau keluar kami dari stesen.

Benar seperti mana coretan saudara Nadir Al-Nuri betapa sukarnya untuk memasuki bumi Palestin. Namun dugaan kami tidak sekuat dugaan beliau untuk memasuki Kota Gaza.

Hari-hari seterusnya, kami dipaparkan “scene-scene” seperti mana yang dapat dilihat di kaca TV.

Ada satu ketika kami melihat bagaimana Rejim Zionis menahan penduduk Palestin sesuka hati dan menyuruh membuka baju untuk diperiksa.

Ada satu ketika kami melihat, bagaimana rakyat palestin yang berjalan di jalan ditahan semata-mata untuk diperiksa plastik beg yang dibawanya.

Ada satu ketika lain, kami melihat bagaimana sengsara kanak-kanak kecil di Palestin yang berebut-rebut untuk mengambil sumbangan kecil coklat-coklat, seakan tercoret di wajah mereka derita dan kepentingan mencari sesuap rezeki.

travel-ke-palestine-5

Alhamdulillah. Dome of the rock at 6.40am.

travel-ke-palestine-8

Qubbah as-Sakhrah atau Dome of The Rock.

Tempat di mana Rasulullah S.A.W dibawa oleh Malaikat Jibril naik ke Sidratul Muntaha, untuk menghadap ALLAH bagi menerima kefardhuan solat, pada malam peristiwa Isra dan Mi’raj.

Di dalamnya, terapung seketul batu besar dari Syurga yang dilarang oleh Malaikat Jibril dari mengikuti Rasulullah pada malam tersebut.

Allahurobbi. Sungguh, tak dapat nak gambar perasaan bila berada di kawasan ini, di halaman Masjid al-Aqsa, di tanah al-Quds ini. Tanah dan kawasan yang penuh dengan sejarah para Nabi dan Rasul, bermula zaman Nabi Sulaiman A.S. (tahun 972 – 933 sebelum Masihi) sehingga ke penubuhan Israel (tahun 1948 Masihi). Tanah ini jugalah yang akan menjadi tempat penghabisan akhir zaman.

Di Al-Khalil, kami dipaparkan bagaimana kedai-kedai ditutup seluruh kota, kerana diberitakan mana-mana kedai yang beroperasi akan diganggu oleh Rejim Zionis. Hanya kerana benci dan kepuasan menindas golongan Palestin.

Pada saat pulang pula, kami “dihidangkan” lagi dengan suasana bagaimana pihak tentera dan polis Israel mengepung satu kawasan di Al-Khalil dimana berlaku kejadian Pihak Rejim menembak mati seorang wanita di sana. Dan kawasan tersebut hanya 15minit dari tempat kami berada.

Suasana malam kami hampir setiap hari, kedengaran bunyi dentuman bom dan riuh suasana demonstrasi dan pergolakan antara penduduk setempat dan tentera Rejim.

Kami yang berada di dalam hotel, walaupun masih terlindung di bawah payung status “pelancong” tapi hati kami tetap gusar andai berlaku perkara tidak diingin. Namun, jika dibandingkan kami dengan mereka. Sungguh, jauh sekali perbezaannya.

travel-ke-palestine-9

Bangunan Masjid Qibli atau masjid utama bagi kompleks Masjid al-Aqsa. Bergerak meninggalkan Masjid Qibli setelah selesai solat Subuh, bagi menuju ke Singgahsana Nabi Sulaiman, Penjara Jin dan rumah Imam al-Ghazali, diketuai oleh Imam Masjid al-Aqsa

Kami sempat dibawa ziarah ke seluruh Masjidil Aqsa. Dibawa melihat bekas-bekas serangan oleh tentera Zionis. Ada bumbung yang rosak, pintu masjid yang rosak kerana dibakar oleh Zionis beberapa bulan lepas, qubah yang pecah kerana diserang oleh Ekstremis Zionis.

Dan pelbagai lagi yang mana kami hnya mampu diam seribu bahasa, cuba menelan pahit bahawa inilah hakikat Kota Suci ke-3 umat Islam sedang alami. Masih berlegar-legar pesanan seorang Ustaz yang membimbing jemaah kami,

“Warga Masjidil Aqsa sangat nantikan kehadiran pelancong-pelancong untuk ziarah kota suci ini. Kerana apa?

Kerana kehadiran pelancong lah yang bakal menyelamatkan Masjidil Aqsa daripada diserang. Pihak Rejim tidak akan sesekali menyerang Kota Baitulmaqdis andai ada di dalamnya warga luar.”

Dan kerana itulah, hatta Imam Besar Yusuf sendiri mengharap dan merayu agar umat Islam terus menerus datang menziarahi bumi Palestin. Agar kesucian kota terbela, begitu juga dengan nasib mereka”.

Dari jauh setiap daripada kami berpesan di dalam diri, semoga diberi peluang untuk datang lagi. Sungguh, lihat semangat perjuangan hidup mereka sungguh luar biasa.

Walau disekat pelbagai keperluan hidup, disekat kebebasan dan sebagainya, mereka tetap tabah dan terus berjuang. Dan kerana warga Palestin yang berani inilah, Masjdil Aqsa terus terbela. Jika diberi peluang, datanglah. Penuhi lah hajat mereka, mereka perlukan seluruh kekuatan Umat Islam seantero dunia.

Gambar: Aku disapa oleh seorang makcik, betul-betul di hadapan Pintu Masuk Masjdil Aqsa.

MC: From Malaysia?
Aku : Yes I am.
MC: Good to see you. Are you Muslim?
Aku: Yes, I’m Muslim for sure.
MC: Why you come here?
Aku: I come here to visit Masjidil Aqsa. Our Mosque.
MC: Oh, okay. Good to see you. Bye (Kemudian berlalu)

Tonton: Kamera Telefon Rakam Orang Awam Gaza Di Tembak Dan Dibunuh Oleh Sniper

Datanglah Lagi, Palestin Day 2

Hari ni di Al-Khalil, Hebron, ziarah Maqam Nabi Yunus setelah selesai ziarah Maqam Daud di Jerusalem sebelum itu. Sewaktu dilokasi Maqam Nabi Yunus, aku bertemu dengan pakcik kedai runcit ini. Bernama Sarahneh.

Mula-mula beli air sahaja, oleh kerana aku membayar dalam dolar, tiba-tiba pakcik tanya nak tukar duit dolar nilai 1 dolar-1 dolar tak? 100 keping. Cakap lah, ya boleh je. Kebetulan pula memang boleh berbahasa arab.

Dah selesai semua, pakcik tanya macam biasa. “Kau belajar Bahasa Arab kat mana?”. Cakaplah di Jordan.

Rupanya, pakcik ada seorang anak yang sekarang belajar di JUST, Irbid. Tahun 2, perubatan. Tanya pasal family, bila nak kahwin, berapa umur, buat apa semua. Dah sembang-sembang, aku pun mencelah.

“Macam mana boleh ada duit dolar kecik-kecik macam ni banyak?” Pakcik jawab “Oh, anak aku belajar aku tanggung sepenuhnya. Yuran dan perbelanjaan dia.

Mana-mana pelancong datang bayar dolar, semua aku simpan. Untuk hantar kat anak aku nanti”. Allah. Terbayang betapa susahnya pengorbanan si bapa ini.

Di akhirnya pakcik sempat pesan,

“Nanti ada peluang, kalau dah kahwin, datanglah sini. Duduk rumah aku. Ambik alamat aku ni”.

Sempat pakcik belanja minum air dan pakcik ada cakap, anak kecil dia sekarang sakit di hospital, dia mintak doakan. Anak beliau 5 orang. Sami, Nisreen, Mahmood, Jood dan Aram.

Yang sedang sakit namanya Mahmood. Bila sampai waktu untuk berlalu, aku sempat hulurkan sejumlah wang untuk anak kecilnya 2 orang. Itu pun ditolak mentah-mentah sehinggalah aku sendiri memohon terimalah hadiah ini, barulah diterimanya.

Dah berlalu dari kawasan tersebut, kepala berfikir sejenak. “Datang lagi?” Hmm. Tak tahu nak janji macam mana, nak cakap apa. Takpa.

Lokasi seterusnya kami dibawa ke Maqam Nabi Ibrahim. Di sana, keseluruhan tempat kedai 95% tutup. Mana-mana kedai yang dibuka akan diganggu. Sewaktu nak berlalu pulang, kesemua jemaah membahagi sumbangan untuk anak-anak kecil. Jumlahnya sangat ramai.

Ada kanak-kanak yang terjatuh ditolak sesama sendiri bergaduh berebut, ada pula jemaah yang terpaksa berlari untuk menaiki bas, ada jemaah yang begnya ditarik, ada juga coklat-coklat yang hendak diberi dirampas oleh kanak-kanak tadi.

Hatta tangan mak dengan abang sendiri pun sempat ditarik oleh kanak-kanak ini sebab nakkan duit. Allah.

Tak marah. Memang kami tak marah. Kami bersangka baik. Dan alhamdulillah, pada waktu itulah aku nampak, kenapa pakcik tadi cakap “Datang lagi”.

Ya. Mereka di sini sangat perlukan sokongan oleh Umat Islam sekalian alam. Mereka tiada sumber kewangan, mereka tiada pendapatan. Kebanyakan mereka hidup bersandarkan sumbangan oleh pelancong-pelancong yang datang.

Tanyalah setiap satu warga disini. Jika ditanya sama ada kami perlu datang atau tidak, pasti mereka berkata “Datanglah”. Sengsara hidup mereka. Sungguh,bayangkanlah apa sangat yang mampu mereka dapatkan di persekitaran mereka?

Masjidil Aqsa, Malaysia dan Jordan

Imam Pertama Masjidil Aqsa berpesan sebentar tadi seusai solat Subuh:

“Al-hadith sahih berkata 3 masjid yang dituntut untuk dilawati adalah Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.

Jadi, kami tertanya-tanya kenapa umat Islam ramai ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sahaja, tetapi tidak ke sini?”

Ini rumah kalian juga, datanglah. Pintu sentiasa dibuka untuk kalian. Ziarahilah kami. Kami perlukan sokongan dan doa kalian.

Jika dahulu jemaah subuh hanya 100 jemaah, tetapi dengan kehadiran kalian umat islam datang ziarah, suasana subuh telah mencecah 3000 jemaah. Ya Allah, ini rahmat”.

Jordan: Hakikat Vs Tohmahan Masyarakat

Sempat bertanya lagi pada sheikh, “Sheikh, penyumbang utama pemeliharaan dan penjagaan Masjidil Aqsa datang dari mana sheikh? Jika diserang, kos-kos membaiki dan sebagainya datang daripada siapa?”.

Sheikh menjawab,

“Datang daripada Jordan, Raja Jordan. Mereka sentiasa memberi. Merekalah penjaga dan penyumbang terbesar Masjidil Aqsa, Qubah Dome Of The Rock sendiri hasil biayaan sepenuhnya daripada Jordan. Kemudian daripada Malaysia dan Indonesia”.

Menjawab segala tohmahan orang yang berkata

“Jordan jiran Palestin tapi tidak membantu apa-apa. Tak guna”. “Jordan tak ada bantu Palestin apa-apa, sanggup tengok rakyat Palestin ditindas”.

Nilailah sendiri.

Sheikh rayu, datanglah ziarah. Jangan sesekali lupakan Masjidil Aqsa.

No matter what, Palestin adalah kota kita Umat Islam. Walaupun kita lupa, kewajipan memeliharanya masih menjadi kewajipan kita.

Sehingga bertemu lagi Masjidil Aqsa, Palestin

Ilal liqo’, Al-Aqsa. Lambaian terakhir di waktu subuh ini pasti tidak akan berakhir di sini. InshaAllah, seruan Imam Shaykh Yusuf Abu Sneina, Imam Masjid al-Aqsa pasti akan disambut lagi.

3 hari di sini, cukup menceritakan kisah keagungan, suka duka di tanah suci ini. Datanglah, berziarahlah ke tanah al-Quds ini. Kedatangan kita, menenangkan mereka. InshaAllah.

Cukuplah ingatan mu didalam hati. Titisan air mata kami sebagai saksi perpisahan ini.

Sungguh masih terbayangkan kelibat warga-warga pelarian Palestin yang terdampar di Hospital Amman dan Kem-Kem Gaza di Jordan yang sempat diziarahi suatu masa dahulu.

Betapa sungguh kalian pasti rindu akan kampung halaman kalian. Kami yang baru menjengah 3 hari disini sudah jatuh cinta dengan halaman ini, apatah lagi kalian.

Sehingga bertemu lagi. Ameen Ya Rab. Semoga kalian dan masjid-masjid mulia ini sentiasa dibawah peliharaan oleh Nya.

Pergilah Ziarah ke Palestin

Semalam ada terbaca satu post tentang tawaran Ziarah Palestin, untuk pelajar Jordan. Dan semalam juga, ada beberapa yang inbox bertanyakan pendapat tentang ziarah kesana.

Ok. Sebetulnya aku bukan orang yang pakar tentang Palestin dan seisinya, telah ramai rakyat kita yang telah kesana, namun mungkin kerana aku jenis yang suka bercakap dan bertanya, jadi banyak perkara yang mereka (rakyat Palestin) luahkan sepanjang 3 hari berada disini. Selain daripada luahan hati Imam-imam di sana.

Ada yang kata ,

“Buat ape nk pergi Palestin? Dah la masuk lalu Israel, menyumbang kepada ekonomi Israel!”

Ok. Macam ni la, masa masuk melalui sempadan Jordan-Palestin, sempadan sememangnya dikawal oleh Israel. Ya, ada visa yang dikenakan (jika tidak silap), sekalipun dikenakan, berapa banyak sahaja yang dibayar jika dibandingkan dengan sedekah dan sumbangan yang dapat kita beri ketika di Palestin nanti?

Sumber ekonomi rakyat Palestin antara yang banyaknya adalah daripada pelancong-pelancong yang datang. Kemudian, hasil sedekah para pelancong yang datang ziarah.

Masih ingat lagi suasana di Al-Khalil (Hebron), ketika selesai ziarah Maqam Nabi Ibrahim & Nabi Ishak, kami telah diingatkan bahawa diluar ramai yang menunggu untuk menerima sedekah.

Mana tidaknya, boleh dikatakan sumber kewangan mereka hanya bersumberkan sedekah dan sumbangan orang yang datang ziarah. Kedai-kedai mereka ditutup, syarikat-syarikat dilarang buka. Mana-mana yang buka, akan diganggu oleh Tentera Israel.

Masing-masing berebut untuk dapatkan makanan ringan (hatta sebenarnya hanyalah coklat), jika dihulurkan wang kecil 1 dolar, hingga ada yang menolak rakan-rakan hingga jatuh. Ya, kerana 1 dolar. Mereka tiada pilihan lain. Kita lah pilihan mereka.

Itu belum dikira, Imam Masjidil Aqsa menggesa umat Islam agar tidak melupakan Masjidil Aqsa. Ramai ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tetapi kenapa lupakan Masjidil Aqsa? Sedangkan menziarahinya adalah sunnah! Rakyat Palestin di Baitul Maqdis memerlukan sokongan umat Islam untuk terus berjuang.

Ditambah lagi kata-kata imam, Masjidil Aqsa terasa aman dan selamat dengan kehadiran pelancong yang menziarahi. Dengan adanya pelancong, tentera israel tidak akan sesekali menyerang Masjid. Menjadikan kami berasa lebih selamat dan tenang. Jemaah subuh kami pun bertambah-tambah.

Aku juga dahulu pernah berpendapat tiada keperluan untuk ziarah Baitul Maqdis, tetapi akhirnya Allah sendiri membuka sebab perjuangan untuk ziarah kota ini. Seterusnya Allah buka lagi hati aku untuk dengar rintihan-rintihan mereka.

Buat yang tiada hajat dihati, usahlah berkata buruk dan menghalang mereka yang ingin ziarah. Jika tiada kehendak membuat kebaikan, usah dihalang orang yang hendak berbuat kebaikan.

sumber :

3 Hari Di Palestin, Pemuda Ini Berkongsi Pesanan Daripada Imam Masjidil Aqsa