SIAPA SANGKA SELAIN TAJUL, ARWAH ACHIK ADA SEORANG LAGI ADIK BERSUARA LUNAK!

SEPERTI yang kita ketahui, darah seni yang mengalir dalam keluarga bekas vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Achik Spin masih mewarnai industri kita terutama sekali dengan kehadiran adiknya Tajul Ariff dalam industri muzik negara.


Kehadiran penyanyi meningkat naik itu nyata menyambung legasi yang ditinggalkan arwah abangnya dalam industri muzik.

Namun, tidak ramai mengetahui akan seorang lagi adiknya iaitu Khalis yang turut mempunyai suara yang saling tak tumpah dengan arwah Achik.

Bagaimanapun, Khalis juga sebenarnya terlibat dengan industri muzik apabila menyertai band yang ditubuhkan oleh dua orang bekas ahli Spin iaitu Azren dan Aidel melalui kumpulan bernama Real Spin pada tahun 2016.

Sekitar pertengahan tahun lalu, Kumpulan Real Spin mengeluarkan single sulung mereka berjudul Semakin Rindu yang mendapat perhatian hangat netizen sehingga muzik videonya mendapat lebih daripada dua juta tontonan.

Namun, tidak tahu di mana silapnya, kumpulan berkenaan kemudiannya terus senyap dan nama Khalis tidak lagi didengari.

Kini, tersebarnya satu rakaman video di Facebook menyaksikan Khalis yang berpakaian seragam pengawal keselamatan menyanyi lagu kumpulan Real Spin dengan sangat lunak.

Video tersebut dimuat naik oleh seorang pengguna bernama Shafarizy Abd Aziz melalui FB Live yang dirakamnya bersama Khalis.

 

Di dalam video tersebut, Khalis diminta oleh perakam untuk menyanyikan lagu Semakin Rindu dari kumpulan Real Spin dan nyanyiannya itu nyata memukau netizen yang menyaksikan video berkenaan.

Melalui informasi yang diambil daripada ruangan komen video tersebut, Khalis kini bekerja secara sambilan sebagai pengawal keselamatan di Labu, Seremban, Negeri Sembilan.

Nyanyian Khalis yang menyanyikan lagu Semakin Rindu secara pendek itu menyebabkan para netizen yang melihat video berkenaan rata-rata mahukan Khalis lebih dikenali dalam industri muziknya seiring dengan adiknya Tajul.

Apa yang pasti, Khalis ternyata mempunyai bakat seiring dengan dua adik beradiknya itu dan dia hanya mencaturkan kembali strategi untuk membuat dirinya dikenali ramai.

Mungkin dengan tersebarnya video ini, Khalis boleh menjadi viral dan boleh menaikkan namanya dalam industri. Itu pun sekiranya Khalis masih mahu berada dalam industri. – https://www.mynewshub.cc

 

Kisah Sedih Bila Rindu Achik Spin

TERSENTUH hati mendengar cerita Khalis, antara adik arwah Achik (Spin) yang mengakui sering bertemu arwah abangnya itu di alam mimpi biarpun sudah tujuh tahun episod duka itu berlalu.

Khalis, 29, ketika ditemui berkata, mimpi yang datang seolah-olah ‘benar’ dan dia sering menunggu peluang tersebut untuk memeluk dan melepaskan rindu kepada abangnya itu.

“Saya antara yang kerap bermimpi arwah dan kali terakhir pada awal Ramadan lalu di mana setiap kali ‘berjumpa’ dengan bang Chik (panggilan untuk Achik), saya sedar saya sedang bermimpi tetapi situasinya seperti saya benar-benar sedang berkomunikasi dengan arwah.

“Saat itu saya akan peluknya erat-erat dan meluahkan rasa rindu padanya. Bang Chik seakan-akan memahami kerinduan saya padanya dengan memandang tepat pada wajah saya. Senyumannya juga tidak lekang di bibir.


Ketika ini wajah Khalis saling tak tumpah dengan wajah arwah abangnya Achik.

“Selalunya saya akan bertanya padanya soalan yang sama, kenapa bang Chik terlalu awal tinggalkan kami?

Jawapannya ringkas: “Kalau bang Chik tak pergi, kamu adik-adik tidak berpeluang menyanyi dan dikenali,” katanya kepada mStar Online.

Achik atau Abdillah Murad Md Shari meninggal pada usia 28 tahun dalam satu kemalangan maut di lebuhraya Kajang-Seremban pada 17 April 2010.

Dalam pada itu kata Khalis atau Muhammad Khalis Shari ini lagi, selalunya arwah akan munculkan diri dalam bentuk bayangan seakan-akan hologram dan perkara itu membuatkan dia sedar yang pada ketika itu dia sedang bermimpi.

“Kalau boleh, setiap masa saya mahu mimpi itu datang kerana dikesempatan itulah saya dapat meluahkan rasa rindu pada dia. Arwah tidak banyak berkata-kata namun air wajahnya cukup tenang,” ujarnya berbaur sebak.


Khalis (tiga dari kiri) bersama anggota Khalis & The Real Spin.

Berkongsi tentang perjalanan seninya pula, Khalis yang juga vokalis kepada kumpulan Khalis & The Real Spin berkata, kumpulannya kini bakal hadir dengan single pertama berjudul Semakin Rindu ciptaan Cuna Alfian dan Atan Alfian selepas Aidilfitri depan bawah pengurusan label Padi Records & Entertainment.

Katanya, Khalis & The Real Spin ditubuhkan pada 2016 dengan dua anggota lama Spin iaitu Azren dan Aidel selain seorang anggota baru iaitu Aiman.

Ditanya kenapa baru sekarang mengambil keputusan untuk muncul di dalam industri setelah tujuh tahun pemergian Achik, ini penjelasan Khalis.

“Tak ramai yang tahu, selepas pemergian bang Chik selama empat tahun kami sekeluarga tidak boleh mendengar lagu arwah, apatah lagi nak menyanyi. Air mata pasti mengalir.

“Justeru hasrat itu terpaksa kami adik-beradik pendam sehingga 2015,” katanya.

Selain Khalis, dua lagi adik Achik yang menjadi artis iaitu Awis dan Tajul.

Baca lebih lanjut di :

http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2017/06/19/khalis-mimpi-achik/#zQzdy76DKjObLrvL.99

 

Dedikasi untuk arwah abang

Bagi mereka yang pertama kali mendengar lagu berjudul Sedalam Dalam Rindu dendangan penyanyi muda Tajul ini, tentunya ia akan mengembalikan memori lagu era 1990-an dan awal 2000.

Mana tidaknya, rentak muziknya memang berinspirasikan lagu popular waktu itu seperti daripada band Spin, Scoin dan Spoon.

Muzik pop rock yang boleh dikategorikan sebagai ‘rock leleh’ nampaknya kembali berkumandang dan mendapat permintaan, sekali gus terhasillah lagu ciptaan Alam ini.

Lebih menarik, penyanyi lagu Sedalam Dalam Rindu adalah adik kepada penyanyi Spin, Allahyarham Achik.

Sedikit sebanyak, lantunan suara Tajul mengubat kerinduan buat peminat setia Achik. Nada, cara penyampaian dan lenggok suaranya mengingatkan kepada cara alunan suara Achik dalam lagu popularnya sebelum ini.

Bercerita mengenai jalan cerita yang ingin disampaikan menerusi lagu ini, ia berkisar mengenai cinta dan kasih sayang bukan sahaja antara kekasih, tetapi keluarga yang sudah pergi.

Bagi Tajul, dia mendedikasikan Sedalam Dalam Rindu kepada arwah abangnya.

“Abang banyak menjadi inspirasi dan memberikan sokongan kepada saya semasa hayatnya. Lagu ini saya dedikasikan kepadanya,” katanya.

Walaupun baru beberapa minggu dimuat naik ke laman YouTube, video lirik lagu Sedalam Dalam Rindu berjaya menambat hati hampir dua juta penonton.

Bagi Tajul sendiri, dia ingin meneruskan perjuangan abangnya dalam melebarkan sayap sebagai penyanyi.

“Tentunya saya berazam meneruskan legasi muzik yang dimulakan abang,” katanya.

INFO:

LAGU : Sedalam Dalam Rindu

PENYANYI : Tajul

PENCIPTA : Alam

LIRIK : Bazil/Iwan

TERBITAN/EDARAN : FMC Music Sdn Bhd

sumber :https://www.hmetro.com.my/node/180051