“Segala kenangan akan terus kekal abadi. Cinta dunia akhirat. Semoga kita dapat bertemu lagi.” – Nora Ariffin

Biarpun sudah genap setahun, pemergian suami tersayang, Johan Nawawi masih segar dalam ingatan penyanyi, Nora Ariffin.

Malah, selebriti berusia 45 tahun ini turut menyifatkan peristiwa tersebut seperti baharu sahaja berlaku.

“Hari ni 24/3/2018. Genap setahun suami tercinta arwah Johan Nawawi pergi meninggalkan kita.

“Masih segar diingatan saat doctor dari SJMC… mengatakan…Dia sudah mati.!!!!!.

“Setiap detik dan saat takkan pernah luput diingatan. Ianya tetap seperti baru berlaku,” tulisnya di Instagram (IG).

Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Di Persimpangan Dilema ini reda dengan aturan ALLAH.

“Namun… apa saja terjadi, diatas kehendak-Nya. Kita semua harus REDHA dengan setiap musibah atau apa yang berlaku.

“Yakinlah… pasti ada HIKMAH di sebalik kejadian,” kongsinya.

Pun begitu, pelantun lagu Hanyalah Satu ini mengakui sentiasa merindui dan mengingati semua momen manis yang dicipta bersama.

“Nora akan sentiasa merindui kasih sayang dari seorang suami yang sangat istimewa serta detik-detik indah selama 24 tahun membina rumah tangga.

“Segala kenangan akan terus kekal abadi. Cinta dunia akhirat. Semoga kita dapat bertemu lagi.

“Al- fatihah buat Johan Nawawi. 24/3/2017-24/3/2018.Semoga abang di sana bersama insan-insan solehah dan bidadari syurga,” tulisnya beserta #adadalamtiadabynora,

#jn30tribute dan #HibahDemiJannah.

Johan, seorang komposer dan penulis lirik tersohor meninggal dunia akibat sakit jantung di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, Selangor pada 24 Mac 2017.

Pasangan ini berkahwin pada 9 April 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 25; Mohd Syakir Alif, 19; Putri Nor Dahlia, 14 dan Putri Nor Fathehah, 6 tahun.

Nora Ariffin bentuk jiwa baru 


BIARPUN masih bersedih dengan kematian suami, penyanyi popular, Nora Ariffin bangkit meneruskan hidup.

Selebriti berusia 44 tahun ini mengambil keputusan untuk mengatur langkah demi mencari sirna bahagia.

“Saya senyap kerana ketika itu masih dalam idah. Tapi, lama-kelamaan, saya sedar, saya harus kuat demi mencari rezeki buat anak-anak.

“Saya pilih kembali bekerja selepas lima bulan. Kalau saya menangis air mata darah sekalipun, dia tak akan hidup semula. Saya harus move on.

“Saya juga bayangkan kalau arwah masih hidup, dia pun nak saya happy dan teruskan hidup,” katanya kepada Media Hiburan.

Suami Nora yang juga komposer, Johan Nawawi meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac lalu.

Mengakui mendepani situasi yang sukar, anak kelahiran Kelantan ini cukup bertuah apabila empat anaknya sangat memahami.

“Sebenarnya, bukan mudah kerana ketika hayatnya suami selalu ada, dialah tulang belakang.

“Malah, karier awal saya dulu pun bersama arwah. Saya macam restart. ibarat bayi baru lahir yang nak buat kerja. Sebab itu, saya kena kuat dan bijak mengatur langkah sendiri,” katanya.

Bikin album tribute

Dalam diam, Nora sedang dalam proses pembikinan album tribute buat arwah suaminya dan menggunakan khidmat komposer baru, Sirkhan.

“Ini pengalaman baru saya uruskan semuanya. Album ini dah 70 peratus siap dan dijangka keluar Oktober nanti,” ujarnya.

Allbum berkonsepkan cerita itu bakal memuatkan koleksi lagu ciptaan Johan yang dinyanyikan artis ternama seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Kris Dayanti dan Liza Hanim

“Kandungan lagunya termasuk pembabitan awalnya sebagai komposer. Saya juga buat album ini untuk industri muzik, apresiasi daripada arwah untuk generasi akan datang.

“Lagipun, arwah ada rancang untuk buat tahun lalu, tapi tak kesampaian. Jadi, saya realisasikannya,” katanya.

Lebih istimewa, Hanya Satu diberi nafas lebih segar melalui susunan muzik yang baru oleh arwah suaminya.

“Sebenarnya, sebulan sebelum arwah meninggal dunia dia minta saya nyanyikan semula lagu ini,” katanya.

Pemilik nama penuh Wan Norafizah Ariffin ini juga bakal menjayakan Konsert Amal Ekspresi Solidariti Ummah pada 27 Ogos ini.

Konsert amal ini melibatkan kerjasama di antara Aman Palestin dan TV AlHijrah di AlHijrah Big Studio, Cyberjaya bermula jam 9 malam.

“Saya akan menyumbang dua lagu iaitu Hikmah dan Kekasih Awal & Akhir.

“Ini penampilan pertama saya di khalayak umum, sejak arwah meninggal dunia. Saya rasa terpanggil untuk sama-sama menyertainya sebagai proses memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Selain Nora, konsert juga melibatkan ramai artis lain seperti Man Bai, Siti Nordiana, Lah Ahmad dan Rabbani.

Sokong Merdeka #QuranHour

Nora juga tidak ketinggalan menyokong program Merdeka #QuranHour yang bakal diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Katanya, program seumpama itu wajar dipuji kerana lain dari yang lain.

“Kita selalu lihat pelbagai program dan aktiviti seni lain dijalankan tetapi bukanlah dengan al-Quran.

“Mungkin, sebelum ini ada yang takut untuk lebih speak out tapi sebenarnya ia satu perkara yang bagus.

“Lagipun, biasanya malam merdeka kita akan menyambutnya dengan aktiviti yang agak melalaikan.

“Tapi, kali ini kita gantikan dengan program #QuranHour. Ia sesuatu yang menakjubkan dan saya sangat teruja,” katanya.

sumber :

http://www.sinarharian.com.my