Siapa Sangka KRU Akan dibubar bulan depan!! Ini Penjelasan Dari Mereka Sendiri “Ini Bukan Gimik..”

 

Anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim, mengumumkan kumpulan itu secara rasmi akan dibubarkan selepas Konsert Gergasi KRU 25 berlangsung di Istana Budaya, bulan depan.

Konsert terbabit akan diadakan selama tiga hari bermula 4 Mei.

Norman yang sebak ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata, persembahan mega bersempena ulang tahun ke-25 trio adik-beradik itu bakal menjadi penampilan terakhir KRU yang turut disifatkan sebagai konsert selamat tinggal.

“Ini bukan gimik untuk melariskan tiket. Setiap perkara pasti ada penghujungnya. KRU sendiri sudah mengecap pelbagai sejarah manis, membawa pulang anugerah dan mengadakan banyak konsert sepanjang tempoh terbabit.


NORMAN (tengah) bersama Yusri (kiri) dan Edry tidak dapat menahan sedih selepas mengumumkan pembubaran Kumpulan KRU selepas berakhirnya konsert gergasi KRU 25 pada 4 dan 5 Mei 2018 di Istana Budaya. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam

“Tiada apa lagi yang kami mahu capai atau kejar. Kini, biarlah kami tumpukan perhatian terhadap komitmen masing-masing. Pembubaran ini pun sudah dibincangkan sejak tahun lalu dan keputusan juga dibuat secara kolektif serta bukan tiba-tiba.

“Keputusan ini sesuatu yang perlu dilakukan. Kami sudah melalui pelbagai fasa dan inilah fasa penutupnya,” katanya pada sidang media Konsert Gergasi KRU, di sini hari ini.

Begitupun, kata Norman, mereka hanya bersara sebagai penyanyi rakaman dan penghibur, namun tetap bersatu sebagai entiti dalam perniagaan serta jenama KRU yang dikukuhkan bersama-sama.

Selain Norman, kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 itu turut membariskan dua lagi adiknya, Yusry dan Edry.

Sepanjang pembabitan dalam dunia muzik, KRU meledak dengan deretan lagu seperti Awas, Mengerti, Ooh! La! La!, Apa Saja, Jangan Lafazkan, Janji Tinggal Janji, Fanatik, Impak Maksima, Di Dalam Dilema, Salah Siapa, Semuanya OK dan Babe.

Pada masa sama, Edry turut mengakui bakal berhijrah ke Eropah selepas sambutan hari raya bagi mendapatkan pendidikan lebih baik untuk anak ketiganya yang disahkan menghidap autisme.

Sementara itu, mereka juga mengumumkan penerbitan album kompilasi yang memuatkan 29 lagu popular dan sebuah single bonus berjudul Tahan Lama, yang turut menampilkan Joe Flizzow.

KRU

KRU (singkatan bagi Kumpulan Rap Unik) merupakan kumpulan penyanyi Malaysia yang ditubuhkan pada 1992. Ia dianggotai oleh tiga bersaudara Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim.[1] Kumpulan KRU telah mengembangkan lagi bidang yang diceburi mereka dengan menubuhkan syarikat rakaman mereka yang dikenali sebagai KRU Records. Selain merevolusikan industri muzik Malaysia, KRU juga menubuhkan syarikat mereka sendiri, KRU Studios yang mengkhususkan industri media dan hiburan di Malaysia.

Ketiga-tiga adik-beradik ini mula menghasilkan muzik sendiri sejak di bangku sekolah lagi apabila salah seorang emak saudara mereka membeli papan nada mainan untuk Norman sempena hari jadinya yang turut mencetus minat adik-adiknya terhadap muzik.

Ketika adik-beradik bin Abdul Halim menghabiskan waktu remaja mereka di London, mereka terdedah kepada pelbagai irama muzik Barat. Pada masa itu muzik Melayu dipenuhi lagu berentak jiwang dan rock balada. Mereka juga merupakan penyokong pasukan bola sepak Selangor, pernah menulis lagu rap bertajuk Viva Selangor untuk pasukan kegemaran mereka, disusuli oleh lagu Merah Kuning. Ketika itu mereka dikenali sebagai SRU – Selangor Rappers Unit.

Semenjak itu, Norman, Yusry dan Edry mula menulis lebih banyak lagu original. Tanpa pengetahuan mereka seorang rakan sekampus Norman menghantar demo mereka kepada syarikat rakaman EMI (Malaysia). Pengurus syarikat ketika itu, Calvin Wong, menyukainya dan memanggil adik-beradik itu untuk uji bakat. Tidak lama kemudian, pada 19 Mei 1992, lahirnya kumpulan KRU.

Kumpulan KRU merupakan kumpulan rap yang paling diminati oleh para remaja sekitar tahun 90-an. Mereka telah terlibat dalam pelbagai kontroversi tetapi mereka masih dapat bertapak dalam industri muzik Malaysia dengan kukuh hingga sekarang.

 

Sumber : https://www.bharian.com.my