Allahuakbar! Ini Puncanya Kakak Jenazah Nampak “Kaki Berlubang Seolah Dibakar & Mayat Dipasung”,

Kita sering terbaca kisah seseorang membunuh diri dengan terjun dari bangunan tinggi akibat tekanan dialami. Namun tidak ramai yang tahu bagaimana sebenarnya keadaan seorang individu yang membunuh diri? Bagaimana keadaan jenazahnya? Adakah mudah diuruskan? Apa keganjilan terjadi dan adakah halangan berlaku ketika pengkebumiannya?.

Seorang pengurus mandi jenazah, Lasminah Dolsiraj, 59 yang sudah 20 tahun terlibat dalam kerja fardu kifayah sudi berkongsi cerita bagaimana dia pernah menguruskan jenazah seorang remaja perempuan yang membunuh diri, berusia 20-an yang terjun dari bangunan tinggi akibat depresi.
Katanya, kepala remaja berkenaan pecah tetapi sesudah di post mortem, biasanya kepala dapat dibentuk kembali biar pun tidak rata sama sekali. Jelas wanita merendah diri ini, itu bukan masalah besar baginya tetapi ada banyak benda pelik berlaku sepanjang dia memandikan jenazah remaja berkenaan.

Kak Las sudah lebih 20 tahun terlibat dalam kerja memandikan jenazah

Menurut Lasminah atau mesra kak Las, sepanjang pengalamannya, dia mengakui menguruskan jenazah bunuh diri berbeza sama sekali ketika menguruskan jenazah seseorang yang meninggal secara semulajadi.
Masa yang sama, katanya seorang tukang mandi jenazah perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan pendinding diri kerana ada saja kejadian tidak disangka-sangka akan berlaku.

“Biasanya bagi individu yang bunuh diri, ada saja halangan akan dilalui. Allah nak tunjukkan kepada yang masih hidup, jangan memilih tindakan sebegini kerana kita tidak tahu nasib di akhirat kelak,” ceritanya.

Kata Kak Las, semasa proses memandikan, dia tidak dipertunjukkan apa-apa yang aneh tetapi dia ditanya oleh seorang ahli keluarga mangsa mengapa dia dipertontonkan mayat adiknya seolah dipasung dengan kakinya yang berlubang besar. Seolah-olah dibakar dengan api yang sangat marak. Seakan api neraka.

Gambaran kakinya berlubang dan seolah dipasung yang dapat dirasai oleh kakaknya


“Saya tidak nampak tetapi Allah mempertontonkan kepada ahli keluarganya. Dua kali dia bertanya tetapi saya menyuruhnya beristighfar dan memohon kepada Allah agar dipermudahkan semua urusan semasa saya memandikan adiknya,” katanya memulakan cerita.
Cerita Kak Las, hanya kakaknya saja yang menemankan dia di bilik mandi jenazah sedangkan ahli keluarga lain hanya menunggu di luar. Ibu bapa remaja itu sendiri asyik pengsan kerana tidak menyangka anak mereka mengambil tindakan sedemikian.
Cerita kaki terpasung dan berlubang tidak habis begitu sahaja. Selepas selesai mandi dan kapan, kata Kak Las, dia yang menelefon imam memaklumkan kes ini akhirnya berasa pelik kerana tiada yang sudi menyembahyangkan jenazahnya. Seolah-olah dipulau.

“Bukan saja tiada imam tetapi tukang gali kubur pun marah-marah ketika menggali kuburnya. Sedangkan sifat seorang penggali kubur itu biasanya lemah lembut kerana mereka sudah lama menguruskan ribuan jenazah malah boleh dikatakan setiap hari. Kata kakaknya kepada saya, pakcik gali kubur itu marah-marah dan hentak papan kuat-kuat. Seolah-olah satu perbuatan protes yang hendak ditunjukkan kepada orang yang masih hidup bahawa perbuatan bunuh diri itu tidak diterima oleh bumi dan juga manusia.

“Lebih pelik, tukang bawa van jenazah pun tidak ada ketika itu. Ada urusan di luar. Sudahlah tiada orang nak solatkannya, pemandu van pun seolah berat hati mengusung jenazahnya dibawa ke dalam masjid. Mereka hanya tunggu di luar, menanti seolah-olah ada orang lain yang akan menguruskannya. Bukan diri mereka.
“Pendek kata Allah memberikan kesukaran dalam pelbagai bentuk. Saya sendiri, elok-elok cuaca elok, tiba-tiba hujan lebat ditambah ribut petir seakan menghalang perjalanan kita menyegerakan jenazah.

Tiada yang sudi untuk menggali kubur untuk remaja berkenaan. Malah ketika dilakukan, perbuatan itu dilakukan dengan kasar, seolah-olah tidak menyenanginya

Mengambil kira semua perkara yang terjadi ini, dapat saya simpulkan memang benar mereka yang mengakhiri kehidupannya dengan cara tidak diredhai Allah, awal-awal lagi Allah menunjukkan bahawa berlaku penolakan kepada dirinya.

“Biarpun sifat Allah maha pengasih dan penyayang tetapi semua kejadian ini memberikan pengajaran kepada kita bahawa sentiasalah berdoa agar hidup dan mati biarlah di dalam iman dan Islam.

“Agak menyedihkan bila kita memilih pengakhiran hidup sebegini tetapi kisah begini juga harus diberi perhatian bahawa awal-awal lagi bumi seolah-olah menolak mereka yang membunuh diri adalah satu perbuatan sukar diterima,” katanya mengharapkan cerita ini memberi tauladan dan sempadan bagi seorang muslim.

Hukum Bunuh Diri dan Menyembahyangkan Jenazahnya – Koleksi Soal Jawab Agama

Kesalahan membunuh diri merupakah satu kesalahan yang terlalu besar. Orang yang membunuh dirinya akan diazab di akhirat kelak sebagaimana dia membunuh dirinya di dunia sepertimana dijelaskan oleh Nabi S.A.W.
Abu Hurairah R.A. meriwayakan dari Nabi S.A.W.

مَنْ تَرَدَّى مِنْ جَبَلٍ فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَهُوَ فِي نَارِ جَهَنَّمَ يَتَرَدَّى فِيهِ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ ‏ ‏تَحَسَّى ‏ ‏سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِحَدِيدَةٍ فَحَدِيدَتُهُ فِي يَدِهِ يَجَأُ بِهَا فِي بَطْنِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ خَالِدًا مُخَلَّدًا فِيهَا أَبَدًا
Maksudnya: “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Thabit bin Dhohak R.A. (ثابت بن الضحاك), sabda Nabi S.A.W.:

مَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ فِيْ الدُّنْيَا عُذِّبَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Daripada Jundub bin Abdillah R.A. (جندب بن عبد الله), katanya Nabi S.A.W. bersabda:

‏كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ بِهِ جُرْحٌ فَجَزِعَ فَأَخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بِهَا يَدَهُ فَمَا ‏ ‏ رَقَأَ ‏ ‏ الدَّمُ حَتَّى مَاتَ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى ‏ ‏بَادَرَنِي عَبْدِي بِنَفْسِهِ حَرَّمْتُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Dahulu dikalangan umat sebelum kamu ada seorang lelaki yang ada kecederaan (kemudian menjadi ulser), lalu dia tidak bersabar menanggung kesakitannya, lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya sehingga darah tidak berhenti sehinggalah dia mati. Firman Allah S.W.T.: “Tergesa-gesa hambaku kepadaKu (dengan membunuh diri), aku haramkan untuknya syurga.” (al-Bukhari dan Muslim)
Hukum Orang Bunuh Diri

Perbuatan membunuh diri adalah termasuk di dalam kesalahan dosa-dosa besar, perbuatan membunuh diri ini TIDAK termasuk di dalam perkara yang menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam (Murtad) sebagaimana yang difahami oleh sebagai daripada kita, melainkan bagi orang yang menghalalkan perbuatan tersebut, jika dia menghalalkannya maka ketika itu dia dihukumkan sebagai kafir/murtad.
Kita tidak menghukumkan orang yang bunuh diri sebagai murtad, kerana Nabi S.A.W. tidak melarang para sahabat dari menyembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri. Namun baginda sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang tersebut sebagai pengajaran bagi orang lain. Maka menjadi sunnah kepada para ulama dan orang yang dipandang mulia, tidak menyembahyangkan jenazah orang yang mati membunuh diri sebagai mengikut perbuatan Nabi S.A.W. dan sebagai pengajaran kepada orang lain.
Daripada Jabir bin Samurah (جابر بن سمرة) R.A. katanya:

‏أُتِيَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏بِرَجُلٍ قَتَلَ نَفْسَهُ ‏ ‏بِمَشَاقِصَ ‏ ‏فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Didatangkan kepada Nabi S.A.W. jenazah seorang lelaki yang membunuh diri dengan anak panah, lalu baginda tidak menyembahyangkan untuknya.” (Muslim)
Al-Imam al-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadith ini menyebut:

“Hadith ini menjadi dalil bagi ulama yang berpendapat tidak disembahyangkan jenazah orang yang membunuh diri disebabkan maksiat yang dia lakukan, inilah mazhab ‘Umar ibn ‘Abdul ‘Aziz dan al-Auza’ie. Manakal al-Hasan, al-Nakha’ie, Qatadah, Malik, Abu Hanifah, al-Syafi’ie dan kebanyakan ulama berpendapat: Disembahyangkan ke atas jenazah orang yang membunuh diri. (Jumhur) kebanyakan ulama ini menjawab tentang hadith ini yang baginda tidak menyembahyangkannya sebagai melarang manusia dari melakukan perbuatan yang sama (membunuh diri), namun jenazah itu disembahyangkan oleh para sahabat…”
Adapun mengenai teks hadith yang menyatakan orang yang membunuh diri itu kekal selama-lamanya di dalam neraka, para ulama menyatakan, ia ditujukan kepada orang yang menghalalkan perbuatan membunuh diri tersebut, atau maksudnya boleh difahami dengan memanjangkan tempoh azab ke atasnya di dalam neraka.
Wallahu a’lam.

Advertisements

sumber : http://www.remaja.my via

https://soaljawab.wordpress.com