Bukan Sahaja Motosikal Kawasaki Versys Pembunuh Pensyarah Ditemui, Terkini Turut Di Temui Ialah..

SUSPEK kes bunuh pensyarah Palestin Dr Fadi M R Albatsh Fatma, Sabtu lalu, dipercayai melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga BLM.

Ia selepas suspek dikatakan meninggalkan motosikal jenis Kawasaki Versys, yang digunakan semasa menembak mati mangsa, di Jalan Danau Niaga, Danau Kota.

Difahamkan, kereta yang disewa suspek itu ditemui kira-kira jam 2 pagi hari ini di Taman Tasik Ampang Hilir, di Kuala Lumpur.

Sumber berkata, kereta itu dikesan berdasarkan pemantauan menyeluruh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Danau Niaga.

“Hasil penelitian CCTV yang dijalankan membawa kepada petunjuk suspek meninggalkan lokasi selepas meletakkan motosikal itu dan menaiki kereta.

“Berdasarkan siasatan susulan, pemilik kereta memaklumkan keretanya diletakkan di parkir Taman Tasik Ampang Hilir,” katanya, hari ini.

Sumber sama berkata, kereta berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, untuk pemeriksaan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kereta berkenaan disewakan kepada suspek sejak tiga bulan lalu oleh pemiliknya yang juga rakyat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika mengulas berhubung perkembangan itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

“Saya tidak dapat memberikan butiran, namun pihak kami sedang menjalankan siasatan secara terperinci.

“Segala maklumat berhubung kes ini akan diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun,” katanya.

Mazlan ditemui dalan Majlis Rasmi Ucapan Takziah kepada Dr Fadi di Kedutaan Palestin, di Kuala Lumpur.

Hadir sama, beberapa pegawai kanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, serta Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif.

Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Ketua Polis Negara kepada adik Dr Fadi, Dr Rami Al Batsh serta Duta Besar Palestin, Datuk Dr Anwar H Al Agha.

Dr Fadi meninggal dunia selepas ditembak lebih 10 das oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pensyarah sebuah universiti swasta dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh. – https://www.hmetro.com.my

Motosikal Suspek Bunuh Dr. Fadi Ditemui Polis

Sebuah motosikal dipercayai digunakan oleh dua suspek yang menembak mati pensyarah universiti warga Palestin, Allahyarham Dr. Fadi Mohammed Al Batsh, ditemui pihak polis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika mengesahkan perkara tersebut berkata, jentera itu dijumpai di kawasan berhampiran tasik di Danau Kota, Setapak di ibu negara oleh orang awam pada tengah hari semalam.

“Ya, kita ada jumpa motosikal yang dipercayai digunakan dua suspek dalam kes pembunuhan itu pada 21 April lalu. Kita dapati ia dalam keadaan baik dan difahamkan ditinggalkan di kawasan itu sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan taklimat persediaan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam pada semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan apakah model motosikal berkuasa tinggi tersebut walaupun pihak media sebelum ini pernah melaporkan ia kemungkinan dari jenis BMW GS atau Kawasaki Versys.

Semalam, polis melancarkan operasi besar-besaran termasuk mengedarkan lakaran wajah dua suspek yang didakwa menembak mati Dr. Fadi yang juga imam di sebuah surau dalam satu kejadian pada jam 6 pagi Sabtu lalu.

Allahyarham yang berusia 35 tahun ditemukan mati akibat ditembak berkali-kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian tragik tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala hasil bedah di Hospital Selayang, Selangor mendapati, sebanyak 14 butir peluru ditemukan pada badan dan kepala mangsa

Dalam pada itu, maklumat mengenai penemuan motosikal berwarna kelabu di belakang kawasan pusat perniagaan Jalan Danau Niaga itu diberikan oleh orang awam kepada polis selepas curiga dengan kedudukan jentera berkenaan.

Sumber memberitahu portal Harian Metro, motosikal yang didaftarkan atas nama rakyat tempatan itu diletak di tepi pagar tasik berkenaan sejak Sabtu lalu, iaitu hari yang sama kejadian pembunuhan Dr. Fadi berlaku.

“Sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, dilihat kemudian berada di lokasi kejadian sejak jam 1 tengah hari tadi.

“Mereka kemudian menutup sekitar kawasan motosikal itu di parkir dengan tali pita kuning bagi menghalang orang ramai termasuk pihak media mendekati lokasi berkenaan,” kata sumber yang dipetik portal berita tersebut.

Difahamkan, motosikal berkenaan dihantar ke IPD Wangsa Maju untuk pemeriksaan lanjut bagi membolehkan siasatan dilakukan termasuk mengenal pasti individu yang menyewa motor berkenaan daripada pemilik asalnya.

Kata sumber, pihak polis turut mendapatkan bantuan Unit Forensik IPK Kuala Lumpur dan Unit Pemusnah Bom bagi membolehkan proses siasatan secara menyeluruh dapat dijalankan.

Sumber – http://www.kedahnews.com