[Terkini]Selain Kawasaki Versys, kereta Proton Saga BLM Dan Turut Menyewa Kediaman Malah Turut..

LELAKI warga asing yang dipercayai suspek utama kes pembunuhan pensyarah warga Palestin dikesan mendiami sebuah rumah inap desa (homestay) di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

Suspek dipercayai menyewa tingkat atas rumah dua tingkat itu sepanjang melakukan ‘kerja memantau’ pergerakan sasaran iaitu Dr Fadi M R Albatsh Fatma.

Sumber yang tinggal di kawasan berhampiran berkata, sepanjang menyewa kediaman berkenaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi Kawasaki Versys dan kereta Proton Saga BLM, turut diletakkan di ruang parkir rumah itu.

“Sepanjang berada (menyewa) di sini, lelaki (suspek) terbabit didapati kerap membawa keluar motosikal itu pada waktu dan hari tertentu, manakala kereta Proton Saga pula hanya didapati keluar selepas 21 April lalu.

“Selain itu, dia juga kerap berada di kediamannya di tingkat atas dan jarang keluar untuk bertemu atau berbual dengan jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui, tengah hari tadi.

Katanya, pada hari kejadian pembunuhan Dr Fadi, beberapa penduduk menyedari suspek keluar dari rumah itu pada awal pagi berdasarkan bunyi motosikalnya.

“Kami tidak merasakan sebarang yang mencurigakan sehinggalah gambar suspek tersebar dan didedahkan oleh pihak media.

“Sejak hari kejadian, kami langsung tidak melihat kelibatnya, namun tidak menolak kemungkinan pemilik rumah itu mengenali identiti suspek yang menyewa rumahnya,” katanya.

Sementara itu, ketika wartawan NSTP mendekati rumah berkenaan hari ini, kediaman berkenaan didapati tidak berpenghuni.

Bagaimanapun, beberapa penduduk memaklumkan pihak polis sudah menjalankan siasatan ke atas rumah inap desa itu sejak Selasa lalu.

Sementara itu, berdasarkan maklumat yang diperoleh, suspek terbabit berusaha untuk tidak mendedahkan lokasi tepat rumah sewanya kepada pemilik motosikal dan kereta yang disewa daripada rakyat tempatan sejak Februari lalu.

Berdasarkan maklumat awal, suspek sengaja memberikan lokasi kedudukan tidak tepat kepada penghantar motosikal dan kereta yang disewanya.

“Tujuannya adalah untuk mengelakkan pemilik dua kenderaan yang disewa tahu lokasi sebenar kediamannya.

“Meskipun begitu, suspek sudah melunaskan semua bayaran sewa motosikal dan kereta untuk tempoh tiga bulan sebelum memaklumkan pemilik untuk mengambil semula kenderaan itu di lokasi tertentu termasuk Taman Tasik Ampang Hilir,” katanya.

[UPDATE] Jenazah Fadi selamat dikebumi [METROTV]

JENAZAH Pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI ), Dr Fadi M R Albatsh Fatma, 35, selamat dikebumikan di Masjid Umari di Jabalia, utara Gaza selepas solat maghrib malam tadi(waktu tempatan).

Jenazah dilaporkan tiba di Gaza pada 5.30 petang (11.30 malam Malaysia) dan disambut ahli keluarga dan ribuan penduduk gaza.

Satu-satunya rakyat Malaysia di Gaza, Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman berkata, kawasan masjid berkenaan dipenuhi ahli keluarga Fadi dan penduduk sekitar.

“Ribuan memenuhi kawasan ini dan dia (arwah) disambut bagaikan wira,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, ahli keluarga arwah mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua pihak terbabit yang membantu memudahkan urusan membawa pulang jenazah Fadi ke kampung halamannya.

Terdahulu, jenazah diterbangkan dari Kuala Lumpur ke Kaherah sebelum menempuh perjalanan hampir enam jam untuk tiba di Rafah.

Dalam kejadian di Setapak kira-kira 6 pagi Sabtu lalu, Fadi ditembak dua lelaki bermotosikal ketika mangsa dalam perjalanan ke surau untuk mengerjakan solat subuh.

Suspek sudah dikenal pasti pihak berkuasa dan usaha mengesan mereka yang dipercayai masih berada dalam negara sedang giat dijalankan.

[UPDATE] Pembunuh Dr Fadi ‘cabut’ pakai Proton Saga…

SUSPEK kes bunuh pensyarah Palestin Dr Fadi M R Albatsh Fatma, Sabtu lalu, dipercayai melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Saga BLM.

Ia selepas suspek dikatakan meninggalkan motosikal jenis Kawasaki Versys, yang digunakan semasa menembak mati mangsa, di Jalan Danau Niaga, Danau Kota.

Difahamkan, kereta yang disewa suspek itu ditemui kira-kira jam 2 pagi hari ini di Taman Tasik Ampang Hilir, di Kuala Lumpur.

Sumber berkata, kereta itu dikesan berdasarkan pemantauan menyeluruh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Danau Niaga.

“Hasil penelitian CCTV yang dijalankan membawa kepada petunjuk suspek meninggalkan lokasi selepas meletakkan motosikal itu dan menaiki kereta.

“Berdasarkan siasatan susulan, pemilik kereta memaklumkan keretanya diletakkan di parkir Taman Tasik Ampang Hilir,” katanya, hari ini.

Sumber sama berkata, kereta berkenaan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, untuk pemeriksaan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kereta berkenaan disewakan kepada suspek sejak tiga bulan lalu oleh pemiliknya yang juga rakyat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika mengulas berhubung perkembangan itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

“Saya tidak dapat memberikan butiran, namun pihak kami sedang menjalankan siasatan secara terperinci.

“Segala maklumat berhubung kes ini akan diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun,” katanya.

Mazlan ditemui dalan Majlis Rasmi Ucapan Takziah kepada Dr Fadi di Kedutaan Palestin, di Kuala Lumpur.

Hadir sama, beberapa pegawai kanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, serta Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohd Roy Suhaimi Sarif.

Beliau turut menyampaikan salam takziah daripada Ketua Polis Negara kepada adik Dr Fadi, Dr Rami Al Batsh serta Duta Besar Palestin, Datuk Dr Anwar H Al Agha.

Dr Fadi meninggal dunia selepas ditembak lebih 10 das oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Setapak.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pensyarah sebuah universiti swasta dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh.

sumber : https://www.hmetro.com.my