8 Buah Peti Besi di Kediaman Rasmi Bekas PM, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya Telah Selesai Dibuka!

KUALA LUMPUR – Lapan buah peti besi yang berada di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana, Putrajaya telah selesai dibuka.

Tugas membuka peti besi yang dibantu oleh dua tukang kunci itu selesai kira-kira jam 3 pagi tadi.

Menurut sumber, bagaimanapun, pemeriksaan di kesemua lapan peti besi itu tidak menemui sebarang barangan atau pun wang ringgit.

“Operasi di sana bermula dari semalam petang sehingga jam 3 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, sumber turut memberitahu polis kini menumpukan di beberapa lokasi lain iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan Kajang.

Bagaimanapun, identiti pemilik rumah atau premis terbabit masih menjadi teka-teki.

“Siasatan masih dijalankan dan ia mungkin melibatkan proses yang agak panjang,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua tukang kunci yang berjaya membuka peti besi di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Jalan Duta di sini telah ditugaskan untuk membuka lapan lagi peti besi di Putrajaya.

Artikel Berkaitan

JSJK Bukit Aman beredar dari kediaman rasmi PM selepas 4 jam 


Tujuh kenderaan milik PDRM keluar dari kediaman rasmi berkenaan sebentar tadi.
PUTRAJAYA – Tujuh kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat keluar dari kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya di sini selepas empat jam berada dalam kediaman tersebut hari ini.

Empat daripadanya merupakan kenderaan rasmi polis manakala selebihnya kenderaan biasa yang juga milik anggota dan pegawai PDRM, dilihat meninggalkan kediaman rasmi itu kira-kira jam 4.20 petang tadi.

Kesemua kenderaan tersebut keluar secara serentak melalui pintu awam selepas memasuki kawasan kediaman itu secara berperingkat bermula jam 12.21 tengahari hingga 1.10 petang tadi.

Media dimaklumkan lebih 10 anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memasuki kediaman itu susulan laporan baki lapan peti besi yang didakwa masih terdapat di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Salah seorang pegawai JSJK berkenaan sempat menunjukkan isyarat tangan sambil menyebut perkataan ‘kosong’ kepada media yang sedang merakam pergerakan keluar kesemua kenderaan PDRM itu.

Bagaimanapun media tidak pasti perkataan ‘kosong’ itu merujuk kepada hasil penggeledahan atau sebaliknya.

Spekulasi bertiup kencang bahawa tukang kunci akan dibawa ke kediaman tersebut hari ini bagaimanapun tiada pengesahan daripada pihak atasan setakat ini.

Terdahulu, dua tukang kunci yang berjaya membuka peti besi lama di kediaman bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta, Jalan Duta kini ditugaskan untuk membuka lapan lagi peti besi.

Difahamkan kelapan-lapan peti besi berkenaan kini berada di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

sumber : http://www.sinarharian.com.my