LUAHAN HATI DATIN SERI ROSMAH MANSOR DENGAN KEHIDUPAN YANG SEKARANG!!

KUALA LUMPUR – Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak menyimpan dendam terhadap individu yang berpaling tadah dan menyalahkan suami selepas kekalahan BN dalam PRU14, lalu.

Dalam wawancara bersama akhbar Malay Mail semalam, beliau berharap segala masalah yang sedang melanda beliau dan keluarganya dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Ia adalah perkara biasa dalam politik. Apabila kita berada di atas, semua orang sanjung, tetapi apabila kita mengalami masalah, keadaan menjadi seperti dijangkakan. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan.

“Semua orang mempunyai hak untuk bercakap apa yang mereka mahu,” katanya.

Beliau menegaskan, fokusnya kini hanya mahu melindungi diri dan keluarganya dan yakin kehidupannya akan kembali normal secepat mungkin.

“Buat masa ini, kami hadapi apa jua yang berlaku dengan baik. Berada dalam keluarga politik, kami sudah biasa dengan keadaan ini.

“Ini adalah salah satu kesukaran dan bahaya dalam politik yang harus kami tempuh,” katanya.

Sepanjang sesi wawancara itu, Rosmah ditemani peguamnya, Datuk Geethan Ram Vincent dan M Puravalen, serta beberapa kenalan rapatnya.

Dalam wawancara itu juga, Rosmah berkata, kini beliau lebih bebas melakukan apa saja, termasuk tidur lebih lena.

“Ini adalah kehidupan yang perlu dihadapi. Saya tidak minta ia berlaku, namun ia kehidupan yang lebih baik, kini saya boleh melakukan apa yang saya mahu lakukan.

“Jika saya mahu tidur, saya boleh tidur lena dan bangun apabila suka,” katanya.

Namun, Rosmah berharap, siasatan dan pemeriksaan polis di rumahnya dapat berakhir dengan cepat, kerana beliau dan keluarganya mahu menjalani kehidupan seperti biasa.

Selain itu, beliau juga meminta polis melayani keluarganya dengan baik sebagai warga negara Malaysia.

“Saya boleh terima semua serbuan dilakukan hingga awal subuh. Saya faham keadaan itu.

“Saya percaya, seseorang itu tidak bersalah selagi tiada bukti dia bersalah. Oleh itu, kami mahukan layanan sebagai manusia. Hak untuk dihormati,” katanya.

Terdahulu, beberapa pemimpin BN termasuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan Najib kerana kekalahan PRU14 dengan mengatakan mereka tidak berani menyuarakan pendapat kerana takut akan tindakan balas.

Pada 2015, Najib menyingkirkan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dari Kabinet kerana kritikal terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib kemudianya meletak jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN tiga hari selepas PRU14.

sumber : http://www.sinarharian.com.my

 

Rosmah: Layan kami seperti manusia ada maruah

Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata keluarganya harus dilayan sama seperti manusia biasa yang memiliki maruah dan harga diri.

Beliau berkata demikian berikutan serbuan pihak berkuasa di kediamannya dalam melengkapkan siasatan mereka terhadap 1MDB.

“Saya memahami serbuan pada waktu subuh itu. Saya faham. Saya percaya seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Sebaliknya, kami harus diperlakukan seperti manusia biasa. Ada hak untuk memiliki maruah,” kata Rosmah dalam temu bual dengan Malay Mail.

Rosmah merujuk kepada tulisan Datuk A Kadir Jasin mengenai serbuan polis di kediaman Datuk Seri Najib Razak dan rampasan terhadap barangan mewah dalam siasatan mereka.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman baru-baru ini menyerbu beberapa lokasi, termasuk kediaman Najib di Taman Duta dan merampas kotak beg tangan, pakaian dan hadiah.

Polis turut menyerbu tiga unit kondominium yang dikaitkan dengan Najib di Pavilion Residences, Bukit Bintang dan merampas 72 beg wang tunai, barangan kemas dan barang berharga lain, serta 284 kotak beg tangan berjenama mewah.

Rosmah berkata keluarganya tenang menghadapi tindakan pihak berkuasa namun berharap perkara itu akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami menerimanya dengan baik, saya fikir kami agak tenang, menjadi keluarga ahli politik. Ini hanya satu daripada cubaan dan kesukaran, bahaya dalam politik.

“Saya mahu perkara ini berakhir secepat mungkin kerana kami mahu meneruskan kehidupan kami,” katanya dipetik sebagai berkata.

Najib yang pernah menjadi individu paling berkuasa di negara ini, kini menghadapi siasatan 1MDB selepas BN mengalami kekalahan pertama sejak merdeka pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, setelah 61 tahun berkuasa.

Najib didakwa menerima deposit berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya, yang mana siasatan antarabangsa mendakwa ia berasal dari 1MDB.

Beliau bagaimanapun menafikan terlibat dalam salah laku atau mengambil dana awam untuk keuntungan peribadi.

sumber : https://m.malaysiakini.com