Ke mana perginya sembilan ADUN Perlis? Misteri ‘kehilangan’ 9 ahli DUN Perlis terjawab!

KUALA LUMPUR: Majlis pelantikan Menteri Besar Perlis gempar dengan misteri ‘kehilangan’ sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Mana tidaknya, Datuk Azlan Man, ADUN Barisan Nasional menjadi satu-satunya wakil parti di Istana Arau yang mengangkat sumpah.

Namun tepat pada jam 2 petang, misteri ‘kehilangan’ semua ADUN BN Perlis terjawab selepas mereka dikenal pasti berada di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur bersama Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk satu mesyuarat khas di Menara Dato Onn.

SHAHIDAN: Rakyat Perlis kena aniaya! – Foto Astro AWANI / Hilal Azmi
SHAHIDAN: Rakyat Perlis kena aniaya! – Foto Astro AWANI / Hilal Azmi

Rupa-rupanya, tindakan mereka tidak hadir ke majlis angkat sumpah itu adalah kerana tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis dan ia diakui sendiri oleh Shahidan selaku Pengerusi BN negeri.

“Rakyat Perlis sengsara dibuat macam ini.

“Kita teruk berjuang bermati-matian dalam pilihan raya, tiba-tiba dengan mudah buat perubahan. Ini tak adil!” katanya dalam sidang media di tingkat 38 Menara Dato Onn, pada Khamis.

Beliau mendakwa pemilihan Menteri Besar Perlis tidak selari dengan perlembagaan terutamanya membabitkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Beliau yang baru sahaja keluar dari menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur merayu supaya Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalulail untuk menghormati perlembagaan malah tidak perlu untuk campur tangan dalam soal pentadbiran.

“Jangan takut kalau negeri Perlis tak ada bajet dan sebagainya kerana itu urusan Menteri Besar.

“Kita memohon supaya Tun Dr Mahathir untuk campur tangan teliti semula kuasa melantik Menteri Besar kepada Yang Dipertuan Agong,” jelasnya.

“Disebabkan Datuk Seri Azlan Man bersetuju mengambil tanggungjawab sebagai Menteri Besar tanpa sokongan ahli parti, maka BN Perlis dan UMNO Perlis mencadangkan pemecatan beliau serta-merta.

“Kita dah maklum kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, jika ikut pekeliling yang dihantar, kita boleh memecat seseorang yang pergi berunding dengan pihak lain tanpa kebenaran kita.

“Maka jadilah dia Menteri Besar tanpa parti,” katanya lagi.

Azlan angkat sumpah MB Perlis tanpa kehadiran sembilan ADUN BN

Azlan angkat sumpah MB Perlis tanpa kehadiran sembilan ADUN BN
Azlan komited untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan cara terbaik dan berharap mendapat sokongan penuh daripada wakil-wakil rakyat yang lain. -Foto BERNAMA
ARAU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong Datuk Seri Azlan Man hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tanpa kehadiran sembilan lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Beliau mengangkat sumpah untuk penggal kedua pada upacara yang berlangsung di Istana Arau di sini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Semua ADUN PH dan PAS menghadiri majlis itu. Azlan ketika ditemui selepas itu berkata beliau komited untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan cara terbaik dan berharap mendapat sokongan penuh daripada wakil-wakil rakyat yang lain khususnya daripada BN bagi merealisasikan agenda pembangunan di Perlis.

“Saya tahu kerajaan negeri kini sudah jadi pembangkang dan ini tidak menjadikan tugas ini lebih ringan tapi lebih berat, tapi ini adalah cabaran yang harus kerajaan negeri hadapi dan saya akan berusaha sebaik mungkin.

“Saya akan berbincang dengan Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) (yang juga Pemangku Presiden UMNO) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO) untuk dapatkan pandangan dan panduan mereka mengenai apakah formula terbaik untuk bolehkan pelantikan barisan exco yang akan bentuk kerajaan negeri,” kata Azlan.

Beliau berkata pihaknya juga akur dengan sebarang perubahan dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan pusat dan yakin rakyat di Perlis tidak akan dianak tirikan.

Azlan berkelulusan Sarjana Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, memulakan tugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 1983 dan pernah menjadi Konsul Malaysia di Toronto, Kanada pada 1985 dan Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Luar pada 1992.

Beliau juga pernah menjadi Kaunselor Misi Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Amerika Syarikat pada 1999.

Pada 2003, anak kelahiran Arau itu menjadi Setiausaha Bahagian Afrika dan Sahara Selatan di Kementerian Luar dan pada 2011 memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam (BPA) sehingga bersara untuk bertanding pada pilihan raya umum pada 2013.

— BERNAMA

 

Sumber : http://www.astroawani.com