[Terkini] Khairuddin GESA Interpol BAWA pulang 2 Individu ‘KUNCI UTAMA’ Skandal 1MDB!

 

Anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata beliau telah membuat laporan secara rasmi di ibu pejabat Interpol di Lyon, Perancis berhubung peranan Low Taek Jho dan Nik Faisal Ariff Kamil dalam skandal 1MDB.

“Saya telah berbincang secara panjang lebar dengan bahagian Hal Ehwal Perundangan Interpol (Interpol Legal Affairs) untuk meletakkan penyangak Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil di bawah ‘red alert’ bagi menjejaki, seterusnya menangkap beliau untuk dibawa pulang ke Malaysia sebeberapa cepat yang termampu,” katanya.

Siasatan antarabangsa mendapati Low yang juga ahli perniagaan memainkan peranan penting dalam penyalahgunaan dana 1MDB.

Nik Faisal pula merupakan pegawai SRC International Sdn Bhd yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.

Khairuddin berkata usaha untuk membawa pulang kedua-dua individu itu adalah penting kerana mereka merupakan ‘kunci utama’ dalam membongkar skandal berkenaan.

“Sekiranya kita berjaya membawa pulang penyangak ini kelak; saya amat yakin setiap butiran kes skandal 1MDB akan dapat dikenalpasti secara terperinci,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa kedua-dua individu itu mesti bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.

Khairuddin, merupakan penyokong setia kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini membuat laporan di seluruh dunia berhubung skandal 1MDB ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) masih menjadi pembangkang.

Ketika kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, pihak berkuasa menahan Khairuddin di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana didakwa cuba melakukan “sabotaj terhadap ekonomi”.

 

sumber : https://m.malaysiakini.com