[Terkini] Jamal MUNCUL lagi dan akan serah diri pada polis TETAPI dengan syarat…

Ketua Umno Sungai Besar yang sedang dikehendaki polis hari ini muncul dan menegaskan dia bukan seorang penakut.

Malah Datuk Seri Jamal Md Yunos membayangkan dia akan tampil dan menyerah diri kepada polis – dengan syarat dia dipilih menjadi ketua Pemuda Umno Malaysia.

Dalam kenyataan dikeluarkan melalui klip video ringkas hari ini, Jamal, 48, berkata dia berada dalam keadaan sihat dan tidak melarikan diri ke luar negara seperti didakwa sesetengah pihak.

“Gua masih lagi dalam keadaan sihat wal afiat, dan masih lagi berada di dalam nengara, sekitar dalam kawasan saja,” katanya.

Tidak dapat dipastikan di mana rakaman video berkenaan dibuat, malah latar belakang Jamal bercakap itu juga diletakkan tabir berwarna biru.

Jamal yang terkenal dengan pelbagai aksi pegun – termasuk bertuala di depan bangunan pusat pentadbiran kerajaan Selangor di Shah Alam – dikehendaki polis kerana disiasat berhubung sembilan kes yang dikaitkan terhadapnya.

Dia melarikan diri semasa proses ikat jamin dijalankan di Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu.

Jamal didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkaitan kes gangguan awam selepas memimpin bantahan pada Oktober 2017 dengan memecahkan beberapa botol minuman keras di luar bangunan sekretariat kerajaan negeri Selangor.

Jamal juga disiasat bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 kerana membawa senjata api semasa dalam keadaan mabuk atau tidak senonoh.

Mahkamah Majistret Shah Alam kemudian mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal pada 8 Jun. Polis percaya Jamal melarikan diri ke negara jiran menggunakan ‘laluan tikus’.

Walaupun begitu Jamal menjadi salah seorang calon bagi merebut jawatan ketua Pemuda Umno yang ditinggalkan Khairy Jamaluddin. Calon lain yang bersaing ialah Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun dan bekas timbalan menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Jamal dia akan hadir ke balai polis sehari selepas disahkan menjadi ketua Pemuda Umno.

“Don’t worry, besok gua menang ketua Pemuda Umno Malaysia, lusa gua datang balai. No problem, gua tak cabut, gua tak lari. Gua steady punya kaki,” katanya lagi.

sumber : https://m.malaysiakini.com

Artikel Berkaitan

Nak jadi ketua ‘barang’ kena baik, tak takut bini, kata Jamal

PETALING JAYA: Calon ketua Pemuda Umno mesti berani, jangan lesu dan tidak takut isteri, kata Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos dalam satu video terbaru 8 hari sebelum pemilihan parti 30 Jun ini.

Jamal, yang menawarkan dirinya sebagai calon untuk memimpin sayap Umno itu berkata satu lagi ciri-ciri penting yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin ialah “barang yang baik”, sambil mengangkat penumbuk atau menggosok 2 jarinya.

“Nak jadi ketua mesti berani, nak jadi ketua pemuda mesti ada umhh, barang kena baik jangan jadi penakut, jangan jadi layu, jangan jadi lesu.

“Selain itu, nak jadi ketua pemuda jangan takut bini tetapi sayangi bini, jangan curang pada bini,” katanya hari ini dalam persembunyiannya.

Beliau sehingga hari ini masih diburu pihak berkuasa yang dikehendaki selepas gagal menyerah diri di balai polis. Dia didakwa atas 3 pertuduhan pada 25 Mei lalu.

Jamal akan bersaing dengan 9 calon lain, termasuk Khairul Azwan Harun, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Wan Md Hazlyn Agyl Wan Hassan.

Sambil itu, Jamal mengingatkan perwakilan jangan tersilap pilih ketua Pemuda. Umno akan memilih barisan pimpinan baru yang dikatakan perlu mengemudi perubahan parti selepas kalah teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Ini merupakan kali pertama saf kepimpinan Umno akan kembali ke arena politik sebagai pembangkang nasional.

“Penggal ini adalah penggal yang sangat mencabar, jangan pilih pemimpin yang tidak berkelebihan dari pemimpin yang sebelum ini, pemimpin mesti berani.

“Calon ketua pemuda Umno jangan cakap banyak sahaja tetapi mesti berani di lapangan, jangan bimbang kena tangkap, reman dan kena tuduh,” katanya.

Jamal berkata, beliau tidak bimbang dengan tekanan yang diterimanya ketika ini bahkan berbangga dengan dirinya yang tetap bebas walaupun sedang diburu polis.

“Berpuluh-puluh tuduhan tidak bimbang pun tetapi sampai sekarang tidak dapat dikesan dalam radar, ini baru boleh jadi pemimpin, dikepung dan direman juga boleh lolos, terbaik,” katanya.

Sumber :http://www.freemalaysiatoday.com