Tiba-tiba muncul ‘murid’ bernama Maszlee dari pintu belakang bilik darjah buat guru kelas terkejut!!

 

Semalam bukan hari biasa buat murid Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam yang mula masuk ke kelas setelah lebih seminggu bercuti sempena hari raya Aidilfitri.

Manakan tidak, mereka dikunjungi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang tiba-tiba muncul di kelas mereka.

Tanpa diiringi guru sekolah, beliau dilihat masuk melalui pintu belakang bilik darjah kira-kira pukul 8.30 pagi bagi melihat sendiri sesi pembelajaran.

Melalui rakaman berdurasi 21 saat yang dimuat naik seorang pengguna Facebook, guru yang sedang mengajar terkejut selepas melihat Maszlee sebaik berpaling daripada papan putih.

Guru tersebut lantas ketawa. Maszlee yang memakai baju batik berwarna merah putih kemudian meminta kebenaran untuk duduk di situ bagi melihat proses pembelajaran.

Menerusi rakaman video di Instagram pula, beliau dilihat menyampaikan pesanan kepada para pelajar.

“Belajar rajin-rajin dan dengar cakap cikgu dan buat baik pada ibu bapa,” katanya menerusi video yang dimuatnaik seorang pegawai khas Maszlee.

Maszlee yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum terjun ke dunia politik adalah anggota parlimen Simpang Renggam.

Menurut pegawai khasnya itu, SK Simpang Renggam tersenarai dalam sekolah yang memerlukan penambahbaikan bangunan dan bilik darjah.

“Menteri pendidikan berbesar hati untuk membantu SK Simpang Renggam dan akan mengambil tindakan susulan berdasarkan keperluan sekolah itu,” katanya lagi.

Sekolah yang sudah berusia 73 tahun itu mempunyai lebih 1,000 pelajar dan perlu mengadakan dua sesi persekolahan.

 

sumber : https://m.malaysiakini.com