Siapa Sangka Rupa-rupanya 10 Selebriti Terkenal Ini Berkahwin Dengan Bintang Bola Sepak!

Berbanding sukan lain, populariti pemain bola sepak lebih menyerlah.

Pakej pemain bola sepak yang kacak serta pendapatan lumayan membuatkan mereka menjadi dambaan.

Selebriti juga tidak terkecuali mengejar pemain bola sepak dan ada di antara mereka akhirnya melangkah ke gerbang perkahwinan.

Sempena bahang kehangatan Piala Dunia 2018 di Russia, Bling! menyenaraikan beberapa perkahwinan selebriti dengan bintang bola sepak sama ada di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

Rahimah Rahim dan Mohamad Noh

Penyanyi yang dikenali ramai menerusi lagu Gadis Dan Bunga ini memilih pemain bola sepak Singapura, Mohamad Noh Hussein sebagai pasangan hidupnya.

Sebagai menyatakan perasaan kasihnya terhadap Mohamad Noh, Rahimah turut merakamkan lagu berjudul Bintang Sukan Ku.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan bernama Pearl. Perkahwinan mereka bertahan selama 12 tahun sebelum kedua-duanya membuat keputusan bercerai.

Salwa Abdul Rahman dan Subadron Aziz

Salwa yang popular menerusi lagu Satu, Dua Kau, memilih bintang bola sepak Kuala Lumpur dan kebangsaan, Subadron Abdul Aziz.

Kehadiran dua anak, Puteri Sulaikha dan Putera Sufrie Nizam yang kini sudah dewasa menyerikan lagi rumah tangga pasangan ini.

Salwa turut merakam semula lagu Bintang Sukan Ku dan Bintang Di Sayang yang ditujukan khas buat suaminya serta semua pemain bola sepak.

Haleeda dan Azman Adnan

Haleeda yang popular dengan lagu Setia Kasih berkahwin dengan Azman Adnan yang amat sensasi dan menjadi rebutan banyak pasukan sekitar awal 1990-an.

Perkahwinan ini dikurniakan seorang anak bernama Amirah Amini Azman yang kini sudah dewasa.

Pasangan ini bercerai pada 9 Oktober 2003. Azman kemudian berkahwin dengan anggota kumpulan Feminin iaitu As.

Rita Rudaini dan Aidil Zafuan

Pelakon ini memilih Aidil Zafuan yang ketika itu mewakili Negeri Sembilan sebagai suaminya.

Mereka dikurniakan dua anak iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

Bagaimanapun, Rita dan Aidil bercerai pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Ayu Raudhah dan Zaquan Adha

Adik kepada pelakon Rozita Che Wan ini berkahwin dengan Zaquan yang juga saudara kembar Aidil Zafuan.

Pasangan ini kini dikurniakan dua anak lelaki dan seorang anak wanita. Perkahwinan mereka kekal sehingga hari ini.

Mia Ahmad dan Izham Tarmizi

Pelakon yang dikenali menerusi drama Hati Perempuan ini berkahwin dengan Izham yang kini pemain Johor Darul Takzim (JDT).

Mia kini mengandung anak pertama dan dijangka melahirkan anak pada November ini.

Yolanthe Sneijder-Cabau dan Wesley Sneijder

Yolanthe Sneijder-Cabau, seorang pelakon Belanda dan hos TV dilahirkan di Sepanyol.

Popularitinya juga memuncak di Belanda dan mengahwini pemain handalan Belanda itu disifatkan satu keputusan yang tepat.

Irina Shayk dan Cristiano Ronaldo

Wanita kelahiran Russia ini sememangnya menjadi tumpuan ramai kerana popularitinya sebagai model terkenal dunia.

Hubungan dengan Irina menjadi sumber inspirasi kepada Cristiano Ronaldo atau CR7 untuk terus membuktikan keunggulannya dalam bola sepak.

Victoria Caroline Beckham dan David Beckham

Kedua-dua pasangan ini sama glamor kerana Victoria atau lebih dikenali sebagai Posh yang juga anggota Spice Girls manakala populariti Beckham memuncak naik bersama Manchester United.

Mereka mencipta kejayaan demi kejayaan menerusi perkahwinan ini apabila meraih kekayaan dalam bidang fesyen, penajaan dan sebagainya.

Mereka dikurniakan empat anak dan kekal bahagia sehingga kini.

Shakira dan Gerrad Pique

Nama Shakira tidak perlu diperkenalkan lagi kerana popularitinya sebagai penyanyi hebat.

Dia yang berasal dari Colombia akhirnya bertemu jodoh dengan Pique, pemain terkenal Sepanyol yang mewakili Barcelona.

Kedua-duanya bertemu pada musim bunga 2010 ketika promosi Piala Dunia di Afrika Selatan.

Shakira ketika itu menyanyikan lagu rasmi kejohanan Piala Dunia 2010 berjudul Waka Waka.

Sumber : https://www.hmetro.com.my