[Terkini] Pegawai khas gay?? Ini jawapan Syed Saddiq buat semua terdiam!

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata setakat ini pihaknya masih belum melantik mana-mana pegawai akhbar atau pegawai khas secara rasmi.

Syed Saddiq berkata demikian bagi menjawab bantahan sesetengah pihak berhubung pelantikan penganjur acara berbuka puasa Big Iftar tahun lepas, Numan Afifi sebagai “pegawai akhbar” nya.

“Sehingga kini, tiada satu pun pegawai yang telah dilantik di pejabat Menteri Belia dan Sukan secara rasmi. setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas juga belum ada.

“Saya masih lagi dalam proses menemu duga pegawai untuk berkhidmat di Pejabat Menteri Belia dan Sukan.

“Saya tidak ingin tergesa-gesa dalam pelantikan jawatan kerana saya sedar mengetuai KBS adalah satu tanggungjawab yang besar,” katanya dalam catatan di Facebook.

Numan merupakan pentadbir bagi kumpulan WhatsApp untuk menyelaraskan jadual kerja Syed Saddiq dan pihak media selepas anggota parlimen Muar itu memenangi pilihan raya umum ke-14 lalu.

Beliau juga sebelum ini memperkenalkan diri sebagai “pegawai akhbar” kepada menteri muda berkenaan.

Bagaimanapun pelantikan itu mencetuskan kritikan sesetengah pihak yang mendakwa individu yang menjuarai gerakan ‘Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) tidak sepatutnya dilantik sebagai kakitangan kementerian berkenaan.

Ketika dihubungi, Numan mengulangi kenyataan Syed Saddiq bahawa masih belum ada pelantikan rasmi dibuat bagi mana-mana jawatan dalam pejabat menteri berkenaan.

“YB menteri kata belum ada pelantikan rasmi dibuat di kementerian itu,” kata Numan kepada Malaysiakini.

Menyifatkan Ketua Pemuda BERSATU itu sebagai rakannya, Numan yang merupakan seorang bekas pemimpin Pemuda DAP berkata beliau kini memainkan peranan membantu Syed Saddiq sehingga setiausaha akhbar baru dilantik.

“Dia (Syed Saddiq) masih mencari mana-mana individu menyertai pasukannya,” kata Numan yang sebelum ini memimpin pergerakan yang digelar sebagai ‘Kempen Pelangi’.

Menurut Numan, Syed Saddiq juga telah mengeluarkan kenyataan terbaru di media sosial untuk membuka permohonan kepada sesiapa yang berminat bekerja di pejabatnya.

Ditanya mengenai perasaannya ketika ini, Numan berkata “Tidak ada komen mengenai perkara itu. Saya tidak tahu apa yang saya rasa sekarang,”.

Semakan Malaysiakini pada direktori dalam talian kakitangan kementerian itu mendapati nama Numan dinyatakan sebagai “pegawai khas” namun pautan untuk butirannya kini sudah tidak dapat diakses.

Sumber : https://m.malaysiakini.com