Tengku Puan Pahang Terpaksa Rehat 6 Minggu Akibat Cedera, Netizen Doakan Baginda Cepat Sembuh!

Akibat menggunakan telefon bimbit sewaktu sedang menuruni tangga, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kini terpaksa bergantung kepada kerusi roda bagi menyenangkan pergerakannya.

Menerusi akaun twitternya @cheminahsayang, Tunku Azizah Aminah yang berkongsi kisahnya mengenai insiden yang terjadi itu. Waktu itu, baginda sedang khusyuk melayari twitter sehingga tidak menyedari langkah kakinya di tangga hingga terpelecuk.

Kaki baginda telah mengalami ‘hairline fracture’ atau terseliuh akibat insiden itu. Walau bagaimanapun, Tunku Azizah dilihat begitu bersahaja dan masih boleh bergurau mengenai kejadian yang menimpa dirinya. Baginda mengatakan ianya sebagai ‘kecederaan media sosial’.

Menurut penulisannya di akaun twitter, baginda terpaksa berehat selama enam minggu akibat kecederaan yang dialami itu. Tambahnya lagi, baginda terpaksa melupakan hasratnya untuk jogging bersama anaknya setiap hari selepas solat Subuh.

Para pengikut isteri kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di laman twitter turut meluahkan rasa simpati mereka terhadap baginda selain tidak lupa turut mendoakan agar baginda cepat pulih seperti sedia kala.

Baginda juga turut rasa terharu apabila melihat sokongan yang bertalu-talu daripada pengikut laman sosialnya. Hijabista juga mendoakan agar baginda cepat sembuh dan selalu dalam lindungan Allah.

SUMBER: TWITTER TUNKU AZIZAH AMINAH

Sumber :https://www.hijabista.com.my