‘Kalau serius mahu lamar, jumpa ayah dulu’ – Kata Selebriti Kacukan Melayu-Scotland

 

KUALA LUMPUR: Pelakon Emma Maembong mengakui, laman sosialnya dipenuhi mesej peribadi lelaki yang mahu melamar apabila mengeluarkan kenyataan bersedia menerima pinangan sesiapa sahaja, baru-baru ini.

Emma, 26, bagaimanapun berkata, tidak semudah itu untuk dia membuka hatinya, terutama selepas percintaannya dengan Kamal Adli terlerai sejak Oktober tahun lalu.

“Saya terkejut apabila ramai lelaki yang mahu melamar di laman sosial, sedangkan saya hanya berseloroh.

“Apabila menyentuh soal teman hidup, sudah tentu saya mahu terlebih dulu mengenali lelaki yang bakal sehidup semati dengan saya.

“Lelaki itu juga perlu berani bertemu ayah saya kerana dia adalah insan nombor satu dalam hidup saya,” katanya.

Gadis kacukan Melayu-Scotland itu berkata, dia masih berbaik dengan bekas kekasihnya, malah Kamal turut datang menziarahinya di Kuala Terengganu ketika Syawal lalu.

Namun, itu tidak bermakna mereka kembali menyambung hubungan cinta kerana Emma mengakui, masih selesa bersendirian.

“Mungkin ada sesetengah peminat pelik kerana saya yang masih berbaik dengan bekas kekasih. Bukan hanya Kamal, saya juga masih baik dengan Zizan Razak dan seorang lagi jejaka yang pernah hadir dalam hidup saya.

“Apa juga yang pernah terjadi antara kami, mereka pernah memberikan kebahagiaan dan kemanisan dalam hidup ini. Saya tidak mahu membenci insan yang pernah hadir dalam hidup.

“Mereka pernah menjaga dan melayan saya dengan baik, cuma takdir menentukan kami tiada jodoh,” katanya.

Tidak menafikan masih berbaik dengan keluarga Kamal, terutama ibunya, Emma berkata, ketika ini, pintu hatinya masih belum terbuka untuk menerima cinta lelaki lain.

Bukan serik atau masih mengharap kasih yang tidak kesampaian dengan Kamal, baginya, biar takdir menentukan segala-galanya.

“Orang luar mungkin fikir saya masih mengharapkan Kamal, tetapi hakikatnya tidak. Memang Kamal ada melakukan kejutan pada hari jadi saya yang lalu, malah saya juga melakukan perkara yang sama.

“Berbeza Kamal yang lebih sukakan privasi, saya pula akan memuat naik gambar di laman sosial sebagai tanda penghargaan. Bukan hanya pemberian Kamal, tetapi juga daripada teman lain. Itu cara saya menghargai insan yang hadir dalam hidup ini,” katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my