[Terkini] The Pacman bagi SESUATU kepada Malaysia selepas berbincang dengan Dr Mahathir!

Legenda tinju Filipina Manny Pacquiao yang baru dinobatkan sebagai juara welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) akan menyumbangkan peralatan digunakannya semasa latihan untuk ‘Fight of the Champions’ kepada kerajaan Malaysia.

Bercakap pada sidang media selepas menumbangkan petinju Argentina Lucas Matthysse di Axiata Arena di Bukit Jalil hari ini senator berusia 39 tahun berkata sumbangan ikhlas berkenaan ialah bagi mempromosi dan menggalakkan perkembangan sukan tinju di negara ini.

“Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan peralatan digunakan di Kuala Lumpur untuk latihan, kami akan dermakan.

“Kami juga berbincang untuk mempromosi tinju di Malaysia. Kami akan memulakannya,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan membuka akademi tinju di sini.

“Saya sukakan tempat ini, terima kasih atas keindahan dan kemudahan yang hebat di Kuala Lumpur. Saya berharap ia bukan pertarungan terakhir di bawah MP Promotions di sini, kerana ia antara pertarungan terbesar di Asia, disiarkan di lebih 200 negara. Kita berharap lebih banyak acara diadakan di sini,” katanya.

Pacquiao berkata Malaysia dipilih sebagai lokasi pertarungan tersebut kerana beliau mahu mempromosi tinju profesional di Asia, memandangkan sukan berkenaan masih jauh ketinggalan berbanding rantau lain seperti Amerika Latin dan AS.

Diberi jolokan The Pacman, Pacquiao yang merupakan satu-satunya juara dunia bagi kesemua lapan divisyen, memenangi gelaran ke-12 tersebut selepas merampas tali pinggang welterweight WBA daripada Matthysse, 35, dengan kemenangan technical knock-out (TKO) pada pusingan ketujuh.

Matthysse yang turut dikenali sebagai The Machine kerana pukulan agresifnya, memenangi kejuaraan tersebut pada Januari lepas, setelah menumbangkan petinju Thailand Tewa Kiram.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Pacquiao berkata Matthysse mungkin tidak menggunakan pukulan kencangnya itu dan terkejut dengan perubahan gaya pertarungan lawannya itu di bawah jurulatih baru Buboy Fernandez.

“Dari pusingan pertama lagi, saya berasakan boleh memenangi pertarungan ini kerana strategi kami ialah melepaskan tumbukan jika ada peluang dan tidak terburu-buru.

“Beliau juga mungkin terkejut kerana saya membuat asakan dari sisi dan tidak bergerak ke sana-sini.

“Untuk menjadi juara mesti berusaha keras, dedikasi dan semangat. Anda perlu beri sepenuh tumpuan semasa latihan dan mempunyai semangat tinggi. Saya tidak berasakan seperti berumur 39 tahun, saya merasakan dan kelihatan baru berusia 27 tahun,” katanya.

Dr Mahathir; Presiden Filipina Rodrigo Duterte serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, antara orang kenamaan yang menyaksikan aksi dianggap pertarungan tinju terbesar di negara ini selepas pertemuan Muhammad Ali-Joe Burger di Stadium Merdeka pada 1975.

– Bernama

Sumber : https://m.malaysiakini.com