Dulu Selesa Sendiri, Kini AZRINAZ MAZHAR HAKIM Lebih Bahagia, Ini Wajah Terkini Beliau!

Lembaran kehidupan figura jelita, Azrinaz Mazhar Hakim yang suatu ketika dahulu sebati dengan protokol istana serta dilimpahi dengan kemasyhuran dan kemewahan kini sudah pun ternoktah. Biarlah ia menjadi satu sejarah bersama kisahnya yang tersendiri. Biarpun mungkin ada ralatnya namun Azrinaz kembali bangkit dalam melayari realiti kehidupan sebenar bersama cinta hatinya, Fairos Khan Abdul Hamid.

Sejak kembali bergelar isteri dua bulan lalu, seri pengantinnya masih terserlah. Tambahan pula dengan imej bertudung Azrinaz yang sering mencuri perhatian ramai. Gayanya ringkas sahaja namun tetap terserlah aura classy pada penampilan Azrinaz. Bukan sekadar itu sahaja, ibu anak dua ini semakin langsing biarpun usianya kini mencecah 39 tahun.

DIULIT BAHAGIA
Lapan tahun hidup solo, Azrinaz membina kekuatan diri sehingga menjadi seperti sekarang. 1 Mei 2018 menjadi tarikh keramat apabila Azrinaz kembali bergelar isteri kepada sahabat dikenalinya sejak 20 tahun lalu. Ternyata, indah sekali percaturan jodoh Azrinaz yang ditentukan Allah SWT. Jauh di sudut hati Azrinaz mengharapkan agar perkahwinan kali keduanya ini direstui dan dihormati seterusnya kekal hingga ke syurga.
“Bagi saya tidak perlulah buat besar-besaran kerana ini perkahwinan kedua dan perlu menjaga sensitiviti. Ini adalah pilihan saya. Sebelum ini pun ada yang beranggapan saya tidak akan berkahwin lagi tapi ternyata ia tidak benar. Jodoh itu ketentuan Allah SWT. Dan buat masa ini juga saya tidak terfikir lagi untuk mengadakan majlis resepsi. Bagi saya ia bukan keperluan. Paling penting saya utamakan yang wajib dahulu.

Semasa suami melamar saya ada tanyakannya adakah dia benar-benar sudah bersedia? Alhamdulillah suami faham dan yakin dengan keputusannya. Saya lihat suami juga seorang yang setia dan ada di kala saya perlukannya. He’s always there.
Sungguh pun dia bukan datang dari keluarga yang berada tetapi suami ada value yang tiada pada lelaki lain. Paling penting hubungan kami mendapat restu ibu bapa. Sepanjang perhubungan kami tidak pernah menghebohkan atau tunjuk kepada umum. Cara ini lebih baik kerana kami ada dunia masing-masing,” kongsi Azrinaz.

KEKUATAN

“Dulu pernah juga terfikir kalau tak kahwin pun tak mengapa sebab saya dah ada anak. Tapi jodoh itu rahsia Allah SWT. Tiada siapa yang dapat menghalangnya. Tetapi saya kurang selesa jika ada yang membanding-bandingkan perkahwinan saya yang sekarang dengan terdahulu. Kerana sampai bila-bila pun ia tetap tidak akan sama.
Walaupun saya dah ada anak tapi kami dipisahkan dengan sempadan, bukan hidup dalam satu negara yang sama. Dalam dunia ini kita tidak akan memiliki semua benda waima harta dan keluarga bukan milik kita. Semuanya milik Allah SWT. Dia boleh ambil bila-bila masa sahaja dari kita,” bicara Azrinaz.

SALING HORMAT

“Memandangkan usia saya menghampiri angka 40 tahun maka saya berharap dan berdoa dikurniakan zuriat. Pastinya suami juga mengharapkan hal yang sama memandangkan ini merupakan perkahwinannya kali pertama. Dapatlah saya menghabiskan masa membesarkan anak-anak. Selebihnya we just follow the flow. Syukur alhamdulillah suami seorang yang sangat memahami dan mengutamakan keluarga.
Suami juga suka duduk berbincang bersama saya. Walaupun saya seorang yang dominan tetapi saya sentiasa ingat di mana kedudukan saya sebagai isteri. Saya tetap menghormatinya sebagai suami,” akhiri Azrinaz sambil tersenyum manis.
Selami sisi peribadi dan perkembangan terbaru wanita cantik ini dalam Nona Ogos 2018!

Sumber : https://www.nona.my