Tak Sangka Dulu Dikecam ‘Suara Chipmunk’, Akhirnya Mencuri Perhatian Netizen Gara-gara…

Seronok melihat perkembangan terkini gadis kelahiran Selangor berusia 25 tahun ini. Nur Nabila Mohd Razali atau nama seninya, Nabila Razali kini semakin selesa membawa diri dalam industri seni tanah air. Namun di sebalik kejayaan pasti terselit detik-detik sukar. Bukan mudah untuk membina karier seni lebih-lebih lagi di zaman sosial media.

Netizen hanya bersenjatakan papan kekunci untuk menghentam sesiapa saja. Kadangkala kecaman itu melebihi pujian. Walaupun pernah dikritik hebat kerana memiliki vokal yang unik sehingga pernah digelar sebagai peserta bersuara ‘chipmunk’ ketika menyertai program realiti TV popular, Akademi Fantasia musim ke-10 tetapi Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ini sentiasa positif.

Nabila menjadikan kecaman sebagai titik mula kepada kebangkitannya sehingga berjaya meraih populariti yang tak terduga gara-gara lagu ‘Pematah Hati’.

PERKEMBANGAN
“Saya mendapat kekuatan daripada peminat yang tanpa henti menykong karier saya dari dahulu sampailah sekarang. Sokongan peminat mencetuskan semangat luar biasa dalam diri saya untuk terus bertahan dalam industri.

Kecaman dan kritikan yang mengatakan saya tak boleh menyanyi menjadikan saya lebih kuat. Ilmu dari kelas vokal yang saya sertai dulu dipraktikkan sekarang. Alhamdulillah rezeki saya dalam industri seni masih ada. Untuk sukses perlu cekal menghadapi cabaran kerana itulah yang mematangkan diri saya untuk menempuh hari-hari mendatang,” ungkap Nabila.

PINJAM SEMANGAT DATUK SERI SITI NURHALIZA & DAYANG NURFAIZAH

“Saya sangat kagum dengan DS Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Bukan hanya dari segi kehebatan vokal bahkan aura personaliti yang dimiliki oleh kedua-dua figura tersohor itu.
Pastinya mereka lebih tabah mengharungi liku-liku dalam perjalanan seni. Saya benar-benar menginspirasikan semangat mereka yang layak digelar ikon ,” kongsi Nabila yang berpegang kepada prinsip, sentiasa meletakkan niat yang betul dalam apa jua perkara di samping fokus dan konsisten.
MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
“Semoga saya dapat mengembangkan lagi bakat ke peringkat lebih jauh seterusnya membahagiakan ibu dan bapa yang selama ini menjadi tulang belakang dalam karier seni saya.Tanpa sokongan mereka tak mungkin saya dapat menjadi seperti hari ini. Tak mungkin juga saya dapat berdiri sekuat hari ini.

Nasihat saya buat generasi muda, jangan mudah melatah dan menghukum kesilapan orang lain. Luaskan lagi minda anda agar kehidupan menjadi lebih baik dan bermanfaat buat semua,” akhiri Nabila.
Jangan Lupa Komen

sumber : https://www.nona.my