Angka Korban Terkini Gempa Disusuli Tsunami Yang Melanda Palu di pulau Sulawesi, Semalam.

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 30 maut apabila gempa bumi disusuli tsunami melanda Palu di pulau Sulawesi, Indonesia, semalam.

Angka kematian itu dilaporkan oleh Metro TV yang memetik pihak hospital tempatan.

Dalam video yang dirakamkan malam tadi, doktor Komang Adi Sujendra, berkata 30 penduduk terkorban dan sudah dibawa ke hospital, lokasi beliau bertugas.

Komang berkata, 12 lagi mangsa yang cedera memerlukan pembedahan ortopedik.

Ketika ini, pihak berkuasa berdepan cabaran untuk menyelaras usaha menyelamat kerana gempa bumi berukuran 7.5 magnitud yang melanda semalam, menyebabkan bekalan elektrik di seluruh Palu terputus.

Ia turut menjejaskan sistem komunikasi di Palu dan bandar perikanan Donggala, yang terletak kira-kira 27 kilometer dari pusat gempa.

Walaupun, pihak berkuasa masih belum menyatakan jumlah kematian akibat insiden itu, namun setakat semalam, mereka mengesahkan beberapa mangsa terkorban akibat terperangkap dalam bangunan yang runtuh.

sumber : https://www.hmetro.com.my