[Terkini] Ini Tindakan Sekumpulan Penduduk Desa Di Palu Selepas Kejadian Gempa Dan Tsunami

PENDUDUK Desa Kabonga Kecil daerah Donggala, Kota Palu, Indonesia kini melarikan diri di kawasan bukit selepas kejadian gempa bumi dan Tsunami yang berlaku di kawasan berkenaan, semalam.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 skala Richter yang melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia berlaku pada 5.02 petang waktu tempatan (6.02 waktu Malaysia).

Media Indonesia melaporkan, sekumpulan warga tempatan kini melarikan diri ke arah bukit bagi menyelamatkan diri.

Seorang penduduk, Samson T berkata, dia dan keluarganya akan bermalam di kawasan bukit yang terletak di daerah Donggala.

“Sementara menunggu keadaan stabil, kami sekeluarga akan tidur di kawasan bukit berkenaan.

“Ada penduduk yang berlindung di balai polis dan sebahagiannya terpaksa merempat di pelbagai tempat,” katanya.

Samson berkata, kebanyakan rumah penduduk di kawasan berkenaan musnah akibat gempa bumi.

“Terdapat keluarga tidur diatas tanah, ada yang tidur di dalam kenderaan, disebabkan itu kami tidak mahu turun dari bukit ini.

“Apa yang penting ketika ini adalah keselamatan kami sekeluarga,” katanya yang di petik daripada Tribunnews Medan.

Sementara itu, saksi kejadian, Nining, 32 berkata, terdapat banyak mayat yang terdampar di Pantai Lulu.

“Banyak mayat terdampar dengan sampah sarap selepas tsunami berlaku, ada yang terapung di pantai.

“Keadaan pekan Palu lumpuh sepenuhnya, ramai yang tidak mempunyai tempat tinggal, mereka tidur di merata tempat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 5:55 PM

sumber : https://www.hmetro.com.my

[Terkini] 832 korban, 200 gempa susulan di Sulawesi Tengah

Jumlah korban gempa bumi dan tsunami di kepulauan Sulawesi, Indonesia dilapor meningkat kepada 832 setakat hari ini.

The Guardian melaporkan, ramai mangsa lain masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang disebabkan oleh gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter yang menggoncang Sulawesi Tengah pukul 5.02 petang Jumaat.

Gempa bumi berkenaan turut menyebabkan berlakunya tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala di kepulauan berkenaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan lebih 200 gempa susulan berterusan berlaku.

Memetik data Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, agensi berita itu melaporkan sebanyak 201 gempa susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2 Skala Richter dicatatkan berlaku sehingga 10 pagi ini.

Jumlah korban dikhuatiri terus meningkat susulan usaha mencari dan menyelamat yang menghadapi pelbagai kerumitan termasuk kekangan akses komunikasi, bekalan elektrik dan akses jalan raya.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho dipetik sebagai berkata bahawa lebih 30,000 penduduk Sulawesi Tengah kini berada di pusat-pusat pemindahan sementara, selain menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi.

“Ramai penduduk berada di kawasan bukit berikutan trauma dengan gempa dan tsunami.

“Mereka tidur di jalan raya. Mereka amat memerlukan bantuan bekalan air bersih, makanan, selimut dan ubat-ubatan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Agensi berita Antara pula melaporkan, lapangan terbang Mutiara SIS Al Jufri Palu, Sulawesi Tengah mula dibuka hari ini, namun memberi keutamaan kepada penerbangan mencari dan menyelamat, penerbangan kecemasan dan kemanusiaan.

Pengurus Hubungan Masyarakat AirNav Indonesia, Yohanes Sirait berkata penerbangan di lapangan terbang itu menggunakan sistem manual berikutan mengalami kerosakan teruk akibat gempa.

Pemerintah Indonesia kini mengerahkan tentera dan polis bagi menangani operasi mencari dan menyelamat.

sumber : https://m.malaysiakini.com