ADEGAN YANG JARANG DILIHAT, INI SEBABNYA ANDA TAK PATUT MEMANDU DI SEBELAH KENDERAAN BERAT

Macam mana dengan perjalanan anda balik kampung sewaktu hari raya lepas? Seronok ke serabut? Syukurlah jika kita semua selamat dalam perjalanan pergi dan balik.

Di sini kami ingin kongsikan sedikit tips keselamatan sewaktu berada berhampiran dengan kenderaan berat seperti treler kontena yang mempunyai 18-roda. Tips ini pun Pak Amid dapat daripada seorang brader yang sudah memandu lori pengangkut petroleum selama lebih 20 tahun. Kalau dilihat pada catatan log perjalanan beliau rasanya sudah lebih dari sejuta kilometer perjalanan.

Rasanya semua pemandu berpengalaman sudah tahu sedikit sebanyak risiko memandu berhampiran ataupun bersebelahan dengan kenderaan berat ni. Silap langkah nyawa melayang apatah lagi anda seorang penunggang motosikal yang sukar dilihat oleh pemandu kenderaan berat berikutan kedudukan mereka yang agak tinggi dari permukaan jalan.

BAHAGIAN SISI PALING BAHAYA

Bahagian paling bahaya menurut brader ni ialah bahagian sisi kiri dan kanan kepala treler di belakang kedudukan pemandu. Ia merupakan zon paling bahaya dan boleh dikatakan langsung tidak dapat dilihat oleh pemandu treler.

Seboleh-bolehnya jangan berada pada posisi ini kerana jika pemandu treler kehilangan kawalan ke atas kenderaan tersebut ataupun terpaksa menukar lorong dengan tergesa-gesa, anda akan dihimpit oleh kenderaan berat tersebut tanpa disedari pemandu. Kalau dah kena himpit tak kira kereta model apa yang anda pandu memang bawa-bawalah mengucap.

Jika anda mahu memotong, pastikan anda memotong dengan secepat mungkin. Jangan terhegeh-hegeh ataupun berada pada kedudukan selari untuk jangka masa yang lama. Lagi lama anda ada di posisi tersebut, lagi terdedah anda kepada risiko kemalangan.

Satu lagi ialah bahaya letupan tayar kenderaan berat. Tayar kenderaan berat bukan hanya bersaiz besar tetapi ia juga mempunyai tekanan yang tinggi berikutan berat bebanan yang dibawa serta suhu operasi yang tinggi.

Letupan tayar juga akan mengakibatkan pemandu hilang kawalan dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Jika anda mengesan kenderaan berat dengan masalah pada bahagian tayar beri ruang untuk mereka dan jarakkan kenderaan anda pada kedudukan yang selamat.

Bukan itu sahaja, serpihan tayar yang tertanggal juga adalah cukup merbahaya. Biasanya serpihan ini berpunca dari penggunaan tayar celup yang sudah lama. Ia merupakan satu alternatif untuk menjimatkan kos pembelian tayar baharu tetapi sama seperti tayar baharu ia mempunyai had kegunaannya tersendiri. Sampai masanya ia perlu diganti baharu.

Jika anda kurang yakin dengan bahaya yang dibawa oleh kenderaan-kenderaan berat, pemandu berpengalaman ini juga menasihatkan para pemandu memerhatikan kesan gelinciran tayar di atas jalan raya.

Kalau di Lebuhraya Karak, kesan tayar ini bukan hanya ada di permukaan jalan tetapi juga terdapat pada bahagian benteng pembahagi jalan. Maknanya pernah ada kenderaan berat lain yang telah memanjat dinding penahan mengalahkan Spiderman. Tanda-tanda ini juga berfungsi sebagai amaran yang ada nahas pernah berlaku di situ dan sewajarnya diambil perhatian oleh pemandu lain.

Brader ni berharap benar agar kami turut menyampaikan tips yang diberikan beliau kepada pemandu lain agar masing-masing memandu dengan lebih cermat di masa hadapan. Sembang punya sembang dekat satu jam juga di hentian rehat, abang pun minta diri dengan brader tu (sebab hakak kau dan menjeling panjang) dan berjanji akan menyampaikan tips ini kepada anda.

Apapun kami cukup bersyukur kerana di Malaysia wujudnya peraturan yang tidak membenarkan kenderaan berat bergerak sewaktu musim perayaan. Ia membantu mengurangkan kesesakan di jalan raya seluruh negara selain meningkatkan aspek keselamatan.

Tak boleh kami bayangkan bagaimana rasanya jika tersangkut di belakang konvoi 10 lori balak yang bergerak dengan kelajuan 15 kilometer sejam. Kalau bulan puasa rasanya mau kosong terus pahala puasa hari tu.Tengok air kotak anak umur dua tahun pun rasa nak pau.

 

You rarely see these scenes on the street

You rarely see these scenes on the street 😱😱😱

Posted by Daily Viral Stories on Thursday, 6 September 2018

 

SUMBER :http://www.mekanika.com.my