Punca Sebenar Seorang Wanita Umno Menyarungkan Baju ‘lokap SRPM’ Yang Telah Mencuri Perhatian Ramai!

PAU 2018 | Perhimpunan Agung Umno (PAU) merupakan acara politik tahunan yang sering menarik perhatian.

Selain ucapan pemimpin dan perwakilan parti itu, tidak kurang menarik adalah ruang jualan serta peserta dan pengunjungnya.

Masuk hari ketiga – dan hari terakhir – PAU 2018, seorang anggota Wanita Umno dari Sri Gading, Johor, paling mencuri perhatian dengan t-shirt jingga a la lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun dengan sedikit perbezaan: baju itu tertera ‘Lokap SRPM’ dan ungkapan “saya lebih rela menyarung baju ini dari meninggalkan perjuangan’.

Masurana Samian, 56 tahun, ketika ditemui berkata dia memakai baju itu sebagai tanda solidariti dengan Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan mesej kepada pihak berkuasa agar memberikan keadilan terhadapnya.

“Kita akan memperjuangkan kebenaran. Makcik tujukan ini kepada semua, termasuk SPRM, agar jangan salah guna kuasa. Jangan pilih kasih (dalam bertindak),” katanya.

Masurana merujuk kepada Abdul Azeez yang berbaju lokap SPRM dan bergari ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman Rabu lalu berhubung dakwaan rasuah berkaitan Lembaga Tabung Haji yang dipengerusikannya dulu.

Tindakan SPRM itu yang mengarahkan Abdul Azeez berpakaian demikian dan menggarinya dikritik banyak pihak yang menganggapnya sebagai tidak perlu, dan membandingkannya dengan Datuk Seri Najib Razak yang memakai kemeja dan kot ketika dibawa ke mahkamah.

Antara yang mengkritik tindakan itu adalah anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang kemudian menjual dan mengadakan kempen memakai baju a la lokap SPRM itu.

Azeez pula berkata beliau tidak akan dilayan sedemikian jika tidak lagi menjadi anggota Umno dan ia “harga yang perlu dibayar untuk sebuah perjuangan.”

Masurana berkata beliau membeli baju itu dengan harga RM20 daripada seorang peniaga di ruang jualan PWTC sempena PAU.

“Ini baju terakhir, jadi kalau ada orang nak beli dengan RM100 pun makcik tak akan jual,” katanya lagi yang menyertai rombongan dari Batu Pahat untuk menyertai perhimpunan.

Sumber : https://m.malaysiakini.com