Sah! Saiful Bertanding Di PD: Ini ‘Tembakan’ pertama Saiful di PD

PRK PD | Masuk hari keempat kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, calon bebas Saiful Bukhari Azlan mula melancarkan serangan terhadap bekas majikan yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saiful yang ditemui Malaysiakini menyifatkan calon Anwar sebagai “tidak bermaruah”.

“Secara jelas pilihan raya ini diadakan hanya kerana agenda peribadi seseorang.

“Itu jelas dan ditambah lagi yang membuatkan saya marah dan kesal dia bukan saja mengangkat agenda peribadi tetapi dia juga menggunakan duit rakyat dan kerajaan RM3.6 juta untuk pilihan raya ini.

“Jadi, di mana moral dan maruah parti ini yang selama ini memperjuangkan antipenyelewengan, tidak mahu membuat pembaziran, tapi terang-terang guna wang rakyat untuk dia angkat agenda peribadi dia,” katanya kepada Malaysiakini.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandang parlimen berkenaan, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke parlimen sekiranya menang.

Mengulas lanjut, Saiful berkata, tindakan Anwar tidak harus dibiarkan begitu saja kerana ia akan menjadi budaya.

“Kita tidak harus biarkan perkara menjadi budaya.

“Kenapa saya cakap jadi budaya? Sebab pilihan raya ini dah berlaku dua kali sebelum ini. Satu di Permatang Pauh dan satu lagi Kajang dan ini kali ketiga.

“Lepas ini berapa kali lagi kalau kita biarkan? Saya tak nak perkara ini jadi budaya dalam sistem politik negara kita. Ini tak betul,” tegasnya.

Sementara itu, beberapa jam selepas Malaysiakini menemu bual Saiful, beliau dalam sidang medianya di Teluk Kemang menempelak bekas Danyal kerana melepaskan jawatannya.

“Orang dah pilih kamu, buat apa nak menjadi mata dan telinga calon ini?

“Mana pergi maruah kamu? Sanggup lagi pergi meraih undi. Masa PRU ke-14, berapa jam orang (berbaris untuk) mengundi anda?

“Tiada rasa bersalah ke kepada mereka yang undi ni? pengundi beratur lama, ni nak suruh datang mengundi lagi,” katanya.

Tambah Saiful, beliau tidak terkejut sekiranya peratusan keluar mengundi kali ini rendah kerana rakyat sudah muak.

“Kalau dapat 50 peratus keluar mengundi pun bersyukurlah sebab rakyat dah muak,” katanya.

Dalam sidang media sama Saiful turut melancarkan tabung dana kempennya.

Kata Saiful, tabung khas itu diwujudkan bukan untuk kepentingan peribadi sebaliknya “demi kestabilan negara”.

“Namun, untuk menjayakan agenda ke arah kestabilan bumi Malaysia yang tercinta saya memerlukan anda untuk bersama saya.

“Saya dengan rendah diri merayu lepada sahabat semua dan seluruh rakyat Malaysia juga badan korporat, di sini saya mengakui, bahawa saya memerlukan bantuan dan sokongan kewangan bagi melancarkan proses kempen ini sehingga ke hari pembuangan undi,” katanya.

 

Sumber :https://m.malaysiakini.com