“SEPANJANG lebih 10 tahun, ini kejadian paling menyedihkan apabila hanya mampu melihat…”

“SEPANJANG lebih 10 tahun, ini kejadian paling menyedihkan apabila hanya mampu melihat rakan setugas terkapai-kapai sebelum lemas,” kata salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau yang enggan dikenali antara anggota bomba terbabit dalam operasi dan mencari menyelamat remaja berusia 17 tahun di kawasan tebatan lombong di Puchong, semalam.

Kejadian itu menyebabkan enam anggota bomba meninggal dunia, malam tadi. Mayat remaja berkenaan pula ditemui, petang tadi.

Menceritakan kejadian, beliau mengakui agak terkilan dan berasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan enam rakan setugasnya itu.

“Sepanjang berkhidmat sebagai anggota bomba, ini adalah kejadian paling menyedihkan bagi saya dan mungkin juga kepada anggota bomba lain.

“Sebabnya… operasi mencari dan menyelamat ini akhirnya bertukar tragedi apabila anggota kami sendiri hilang nyawa. Malah, saya sendiri rasa bersalah apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata, kejadian amat pantas menyebabkan enam rakannya tidak sempat menyelamatkan diri.

Katanya, arus deras menyebabkan mereka bergelut untuk menyelamatkan diri.

“Saya lihat mereka bergelut untuk menyelamatkan diri termasuk cuba melonjakkan badan, tetapi arus terlalu kuat. Setiap kali berbuat demikian, mereka akan ditarik semula ke dalam pusaran air.

“Melihat keadaan cemas itu, saya serta beberapa rakan lain yang berada di tebing cuba memberi bantuan dengan menarik tali mengikat kesemua mangsa, namun tidak berhasil,” katanya.

Beliau berkata, rakan dilihat terkapai-kapai sebelum seorang demi seorang hilang keupayaan untuk bergerak dipercayai akibat terlalu penat.

Katanya, mereka kemudian hilang ‘ditelan’ pusaran air.

“Ketika itu, saya berharap supaya mereka dapat bertahan, namun arus deras yang mencetuskan pusaran menyebabkan mereka hilang tenaga.

“Mereka tenggelam timbul dan ada ada antara jaket keselamatan yang dipakai terlucut dari badan,” katanya.

Katanya, mereka berusaha menarik rakan ke tebing sebelum berhasil berbuat demikian 30 minit kemudian.

Menurutnya lagi, sebaik semua mangsa berjaya ditarik ke tebing, mereka cuba memberikan bantuan kecemasan, namun ia tidak berhasil.

Rakannya kemudian disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.

Syukur jasad Fahmy ditemui

“Saya bersyukur anak saya ditemui walaupun sedih, saya lega jasadnya dalam keadaan baik,” luah Mohammad Azzam Naim, 46, bapa kepada Muhammad Ilham Fahmy, 17, yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Islands, Puchong, semalam.

Mohammad Azzam berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha mengesan anaknya.

“Jenazah anak saya akan dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Sebaik selesai, kami merancang untuk mengebumikan jenazah malam ini juga di Taman Putra Perdana.

“Semua urusan pengkebumian sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mayat mangsa ditemui, 5.45 petang tadi.

“Pelbagai kaedah digunakan bagi mengesan lokasi mangsa sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan petang semalam.

“Selepas lebih 24 jam, mangsa berjaya ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dalam keadaan memakai seluar.

“Mangsa ditemui ketika anggota bomba sedang membuat penilaian di lokasi itu untuk membawa anjing pengesan sebelum mayat remaja terbabit ditemui terapung di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pelbagai kaedah digunakan pasukan penyelamat termasuk khidmat penyelam, pencarian di permukaan dan unit anjing pengesan (K9) serta pam air.

“Sebaik ditemui, anggota bomba mengangkat mayat mangsa menggunakan bot.

“Mayat mangsa kemudian disahkan oleh bapa mangsa sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk mengenal pasti punca kematian remaja berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan dua rakan mangsa yang berada di lokasi ketika kejadian,” katanya yang memaklumkan operasi SAR dihentikan, 6.30 petang tadi.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.

NSTP melaporkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ditemui lemas ketika melakukan operasi SAR seorang remaja lelaki, Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, semalam.

Dalam kejadian itu, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi, semalam.

sumber : https://www.hmetro.com.my