“saya ada berjumpa dengan Bazli, kami bertegur sapa dan bersalam,” – Fitri Haris

Isu antara penyanyi solo, Fitri Haris dengan bekas ahli kumpulannya, UNIC semakin panas apabila kini ia melibatkan tindakan undang-undang antara kedua pihak.

Fitri memberitahu dia tidak mempunyai masalah dengan bekas ahli kumpulan tersebut dan masih menganggap mereka sebagai kawan.

“Saya tiada isu apa-apa pun dan saya tidak dapat baca hati orang. Bagaimanapun, saya ada berjumpa dengan Bazli dalam satu acara beberapa hari lepas, kami bertegur sapa dan bersalam,” katanya kepada Astro Gempak.

Jelasnya, dia tidak mahu mengulas panjang mengenai isu yang berlaku antara mereka kerana segala tindakan kini dijalankan peguamnya.

“Saya tak nak ulas apa-apa dan menyerahkan pada pihak pengurusan. Saya memang tiada masalah dengan mereka. Apapun saya nak mereka juga berjaya,” katanya.

Ujarnya, apa yang berlaku ini memberi kesan paling besar pada dirinya sebagai anak seni.

“Kesian pada penganjur, pernah berlaku persembahan dibatalkan pada saat akhir. Banyak benda sebenarnya apabila saya tanya penganjur ada cerita daripada pihak mereka.

“Perkara ini akan memberi kesan. Industri muzik kita tak sebesar mana apatah lagi muzik nasyid. Saya tetap ‘move on’ dan mendoakan setiap kejayaan orang lain,” katanya.

Pengurus Fitri yang hanya dikenali sebagai EL pula mengatakan ketika ini mereka masih dalam proses tindakan undang-undang.

“Pihak sana tahu, kami tunggu bukti-bukti yang apa mereka cakap sebab dia pun tahu sekarang pergi ke mahkamah dan peguam dengan peguam,” katanya.

Tambahnya, usaha untuk mencari jalan penyelesaian di luar bergantung pada tindakan pihak di sana.

“Kami tunggu apa yang mereka keluarkan dan bagi. Apa yang mereka cakap kena ada bukti. Sekarang ini tiada bukti jadi kami minta segala ‘documentation’.

“Pihak pengurusan perlu membuat keputusan terhadap akibat yang dialami Fitri sendiri kerana ia melibatkan orang ramai dan dia menggalas banyak tanggungjawab sebagai duta, bersama kerajaan dan sebagainya.

“Perkara itu membuatkan tindakan susulan terpaksa diambil sebab tiada penyelesaian luar dari pihak sana pun. Kami sudah bagi masa, dah bagitau tapi tiada apa-apa dari pihak sana,” katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: IG @fitriharisofficial

Sumber : http://www.gempak.com