“Saya pun sudah maafkan mereka..cukup-cukuplah seksa saya…” – Awie

“JIKA tiada aral, saya dibenarkan keluar hospital hari ini,” kata penyanyi dan pelakon Datuk Awie, 50, yang dimasukkan ke sebuah hospital sejak seminggu lalu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman ketika dihubungi Harian Metro berkata, dalam tempoh seminggu di tahan di wad, doktor sudah memeriksa tahap tekanan darah, buah pinggang dan sebagainya.

“Setakat diberitahu, semuanya baik baik saja. Saya ada juga bertanya mengenai punca sakit tapi doktor tidak dapat menjelaskan secara terperinci.

“Namun, doktor akui saya ada masalah dalam perut tetapi ia tidak membimbangkan,” katanya enggan berkongsi lanjut mengenai masalah itu.

Pelakon Hantu Kak Limah itu akan kembali meneruskan kerjaya seperti biasa bergantung kepada tahap kemampuannya buat masa ini.

Pun begitu, beliau akui tidak boleh berehat terlalu lama kerana bidang seni punca pendapatan untuk menampung kehidupan sekeluarga.

“Selepas keluar saya akan terus bertemu dengan doktor seperti biasa.

“Rawatan alternatif pula, terlalu ramai yang cadangkan dan sudah banyak kali saya pergi tapi benda sama saja.

“Banyak daripada rawatan itu sekadar ‘memandai’, asyik minum air, potong limau dan sebagainya, tapi masih sama. Sampai saya pun boleh buat sendiri,” katanya.

Penyanyi rock legenda ini menganggap keluar masuk hospital sudah menjadi kelaziman dalam hidupnya yang perlu dilalui.

Tanpa menuding jari kepada sesiapa, beliau percaya sakit dialami berkait rapat dengan gangguan misteri yang dialami sejak 14 tahun lalu.

“Saya akur diuji begini. Cukup-cukuplah seksa saya dan kembalilah kepada fitrah Allah.

“Selepas pulang dari umrah hujung tahun lalu, ‘benda’ ini berlaku lebih kerap dan saya terima.

“Saya pun sudah maafkan mereka tetapi kalau masih tidak puas hati maka teruskanlah dan saya tetap akan maafkan,” katanya reda.

Pada hujung Disember lalu, Awie dimasukkan ke hospital selama seminggu selepas mengadu sesak nafas.

Bagaimana pun, beliau kembali di masukkan ke hospital selepas dipercayai mengalami sakit di bahagian perut pula seminggu lalu.

Perkara itu diketahui umum selepas sahabatnya, Datuk Afdlin Shauki memuat naik foto melawat Awie di hospital di laman sosial Instagram dua hari lalu.

Sumber : harian metro