“Kira-kira 15 minit kemudian, kami menerima panggilan…” – Air mata bomba akhirnya gugur

Air mata pemandu Fire Rescue Tender (FRT) dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Md Elliza Mohd Noor akhirnya gugur ketika sedang memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim.

Md Elliza yang berada di kandang saksi kelihatan menundukkan wajahnya dan menyapu air mata.

Emosi anggota bomba itu tersentuh apabila memaklumkan kepada mahkamah apabila menyedari Muhammad Adib tiada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan ERMS.

“Selepas sampai di Balai Polis USJ 8, seorang anggota memaklumkan Muhammad Adib tiada.

“Encik Badrul selaku penyelia pasukan meminta kami menghubungi Muhammad Adib malangnya tidak berjawab.

“Kira-kira 15 minit kemudian, kami menerima panggilan daripada orang awam menerusi nombor telefon Muhammad Adib memaklumkan bahawa mereka dalam perjalanan menghantar allahyarham ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC),” katanya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

“Pemergianmu diiringi sejuta tangisan dan doa. Kami tidak mengenali dan mengetahui siapa dirimu namun namamu tetap akan diingati seluruh rakyat Malaysia.”

Itu antara komen netizen daripada pelbagai latar belakang dan lapisan masyarakat di negara ini yang meratapi kesedihan pemergian anggota bomba Muhammad Adib Abd Kassim selepas 20 hari bertarung nyawa di Institut Jantung Negara.

Rata-rata netizen melahirkan rasa simpati dan sedih terhadap keluarga, tunangnya Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di atas dugaan yang begitu berat mereka pikul membabitkan kehilangan Muhammad Adib.

Netizen Rozilawati Abdul memaklumkan 2018 adalah tahun yang mencabar dan memilukan bagi JBPM apabila diduga dengan pelbagai kejadian tidak diingini.

“2018 adalah tahun yang menyedihkan bagi JBPM. Dia (Allahyarham) sepatutnya melangsungkan perkahwinan minggu ini dan berharap tunangnya kuat dan terus bersabar dengan dugaan,” katanya.

Berita menyedihkan itu turut menyebabkan pemilik akaun Facebook Nur Zila mengalirkan air mata hingga menganggap kehilangan Muhammad Adib seperti kematian ahli keluarga sendiri.

“Walaupun tak mengenali Adib namun pemergiannya seperti kehilangan ahli keluarga sendiri. Semoga roh beliau dicucuri rahmat,” katanya.

Bagi Mohd Faizul Cg Joe, penghujung 2018 begitu menyedihkan untuk seluruh negara apabila rakyat menerima perkhabaran tidak terduga itu secara mengejut.

“Hari yang suram buat negara Malaysia. Al fatihah semoga arwah Muhammad Adib ditempatkan dikalangan orang yang beriman..Allahuakbar,” katanya.

Sementara itu, Suresh Nair juga berkongsi kesedihan seterusnya berdoa semoga roh Muhammad Adib tenang dan diberikan pembelaan sewajarnya.

“Semoga rohnya tenang dan keadilan yang telus perlu diberikan kepada hero muda berkenaan yang sanggup mengorbankan nyawa demi melaksanakan tugas,” katanya.

Jessica Jesi turut menyatakan kesedihan di atas pemergian Allahyarham dengan menyifatkan ia dirasai oleh semua kaum di Malaysia kerana individu yang tidak bersalah menjadi mangsa kepada persengketaan.

“Semoga rohnya tenang…semua kaum rasa sedih dengan pemergian Adib dan berharap individu bertanggungjawab ditahan segera,” katanya.

Sumber : sinarharian.com.my dan hmetro.com.my