“Aliff dah sembilan hari tak balik, kali terahir..”Bella Dedah Cerita Sebelum Aliff Menghilangkan Diri

Mengikut harian Metro , “ALIFF sudah sembilan hari tidak pulang ke rumah. Kali terakhir dia di rumah pada 17 Februari lalu ketika saya membuat sambutan hari jadi yang ke-28 untuknya,” kata Bella Astillah iaitu isteri kepada Aliff Aziz ketika ditanya mengenai keberadaan penyanyi dan pelakon itu sekarang.

Bella, 25, atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berkata, dia juga tidak tahu Aliff berada di mana sejak suaminya itu keluar rumah.

Malah, Bella berkata, pertemuan mereka semalam tidak berlangsung di rumah.

“Dia masih belum pulang ke rumah. Mungkin dia malu atas perbuatannya itu. Apatah lagi, bukti video yang ada turut diketahui keluarga saya,” katanya kepada Harian Metro.

Bella berkata, pergaduhan yang timbul antara mereka membuatkan Aliff mengambil keputusan keluar rumah.

Menurutnya, sambutan hari jadi yang dirancang pada awalnya sebagai elemen kejutan bertukar menjadi sambutan biasa disebabkan pertelingkahan yang berlaku.

“Pada hari itu kami bergaduh disebabkan mesej WhatsApp daripada Via (Oktovia) yang dipadam dalam telefon Aliff. Kalau betul tidak ada apa-apa, kenapa kena buang?.

“Saya cakap, dalam rumah tangga tidak boleh hidup begini iaitu diselubungi penipuan. Saya tidak mahu hidup dalam keadaan tidak sihat.

“Namun, sambutan hari jadi terpaksa diteruskan sebab segala persiapan sudah dibuat termasuklah jemputan dalam kalangan keluarga saya. Keesokan harinya dia terus keluar rumah hinggalah sekarang,” katanya.

Ditanya sejak bila Aliff mula menunjukkan perubahan, Bella berkata, ketika perjalanan pulang dari Bukit Merah, Perak iaitu selepas tamat penggambaran telefilem, Dosa Itu Bukan Miliknya.

Katanya, dia menemani Aliff ke Perak ketika penggambaran itu berlangsung dan mereka bahagia sejak hari pertama hingga kelima di lokasi.

Menurutnya, meskipun berada di lokasi dia tidak pernah mengacau kerja Aliff dan kadang-kadang seharian duduk dalam kereta.

“Malah, saya juga bertegur sapa dengan Via. Saya jenis yang positif dan tidak mahu fikir bukan-bukan. Biarpun mak menasihati supaya jangan terlalu baik dengan orang.

“Dalam perjalanan pulang, Aliff sudah menunjukkan perubahan. Dia tukar kata laluan telefon.

“Apabila ditanya, dia tidak mahu berkongsi. Walaupun sebenarnya ketika di sana saya sudah tahu apa yang terjadi antara mereka,” katanya.

sumber: hmetro