Wow! Tak Sangka Rumah ditumbuhi lalang bertukar jadi kediaman mengagumkan

 

DEKORASI minimalis semakin menjadi pilihan golongan muda yang gemarkan suasana tenang dan praktikal pada hiasan dalaman sesebuah kediaman.

Garapan hiasan ringkas ini bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian tanpa longgokan barang atau perabot yang menyesakkan tetapi ia mampu menjadi dekorasi menarik jika seseorang itu bijak mereka bentuk dan memilih perabot yang sesuai.

Bagi Nur Aqidah Azizi, konsep minimalis dalam dekorasi kediamannya bersesuaian dengan keperluan keluarganya memandangkan dia mempunyai empat cahaya mata lelaki yang sedang membesar dan lasak.

Langsir putih dengan sentuhan pokok kehijauan memberi impak pada dekorasi ringkas.

Bagaimanapun menurut Aqidah, 36, ia bukan penghalang untuk dirinya menghias kediaman dua tingkat miliknya itu agar tampak cantik dan selesa buat mereka sekeluarga.

Pada asalnya rumah yang dibeli ini agak semak dengan lalang tumbuh meninggi di halaman dan pengubahsuaian perlu dilakukan untuk tampil menarik.

“Ketika berpindah ke kediaman yang dibeli sejak 2016, keadaan rumah ini agak teruk dan perlu melakukan beberapa pengubahsuaian dan saya memilih untuk tampil dengan konsep minimalis,” katanya.

Berkongsi idea mengenai konsep kediamannya, Aqidah berkata, proses pengubahsuaian itu memfokuskan kepada dua bahagian iaitu ruang tamu dan dapur kerana ruang itu sering digunakan mereka sekeluarga.

Ruang tamu masih kelihatan elegan dengan pemilihan perabot dan aksesori yang memberi karakter tersendiri.

Aqidah memberitahu dia memilih konsep ‘open kitchen’ untuk dapurnya selepas mendapat inspirasi ketika menginap di sebuah rumah di Seoul, Korea Selatan yang tampil dengan konsep itu.

“Dekorasi di bahagian dapur menjadi keutamaan saya kerana ia ruang kegemaran saya dan saya pilih konsep terbuka kerana terinspirasi dari sebuah rumah di Seoul ketika berkunjung ke sana.

“Pun begitu, saya memilih dekorasi ringkas selain membina kabinet yang mempunyai banyak ruangan menyimpan agar dapur tidak kelihatan semak.

Kabinet dan perabot rona putih memberi karakter kepada dapur. 

“Melengkapkan konsep itu, saya turut menggunakan pintu slaid yang boleh dibuka sepenuhnya bagi membolehkan pengudaraan lebih baik selain kami sekeluarga berehat di bahagian luar pada waktu lapang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aqidah berkata, bagi keseluruhan rumah dia memilih rona putih pada bahagian dinding bagi mendapatkan ilusi lebih luas selain pencahayaan lebih terang.

“Bagi ruang tamu pula saya memilih untuk meminimumkan penggunaan perabot namun menambah aksesori seperti bingkai gambar pada dinding dan perabot dari rona lembut seperti kelabu dan putih untuk menyerlahkan konsep itu.

Bingkai gambar yang diletakkan di dinding ruang makan memberi karakter kepada bahagian itu.

Berikut adalah empat tip yang dikongsi Aqidah bagi yang ingin tampil dengan konsep minimalis.

1. Kumpul barang yang tidak digunakan untuk dijual atau derma

Jika anda mempunyai barang-barang yang diletakkan dalam kotak atau objek diletakkan di satu sudut dan mula mengumpul habuk, pertimbangkan untuk jual atau derma kepada golongan memerlukan.

2. Minimumkan penggunaan perabot

Anda mempunyai sofa lusuh atau meja kopi yang terlalu besar sehingga memakan ruang? Sila buang atau gantikan dengan perabot yang lebih praktikal.

Penggunaan rumput sintetik bukan sahaja menjimatkan malah mudah dijaga.

3. Pilih warna terang

Pilih warna terang seperti putih untuk kediaman anda kerana ia mampu memberi ilusi yang lebih baik kepada konsep minimalis cuba diketengahkan.

4. Fokus kepada praktikal

Pemilihan perabot seperti sofa bed atau robok dengan lebih ruang simpanan sangat berguna bagi menyimpan barang-barang yang tidak diperlukan daripada pandangan mata.

sumber:mstar.com