(VIDEO) Mengharukan! Cucu Bercucuran Air Mata Lihat Neneknya Sanggup Suap 6 Anak Berusia 50 Tahun…

ADUHAI sebaknya buat sesiapa yang menonton video yang kini tular di media sosial, dan mungkin ada yang memberikan alasan mata masuk habuk sedangkan air mata sudah bergenang.

Menerusi video berdurasi hampir tiga minit itu, kelihatan seorang warga emas dikelilingi anak-anaknya yang rata-ratanya berusia dalam lingkungan 50-an masing-masing duduk berlantaikan papan.

Berbekalkan sepinggan nasi putih dan ikan bakar, sebotol budu dan semangkuk kicap berlada serta secawan air kosong, dia menyuapkan makanan kepada anak-anaknya seorang demi seorang.

“Perhatikan walaupun anak-anak dia dah umur 50 tahun ke atas, masih cubit ikan dan tengok satu-satu takut ada tulang. Ini lah sifat ibu kami, cucu-cucu ni pun bagai nak gila menangis,” menurut keterangan posting video tersebut yang tular di laman sosial Facebook.

Kasih ibu menyuapkan anak-anak.

Wan Raliza Ilunie Wan Ramli, 25, yang merakamkan video itu berkata, momen itu dirakamkan semasa hari keluarga di sebuah vila di Marang, Terengganu pada 5 April lalu.

Lebih mesra dengan panggilan Yuniey, dia berkata warga emas tersebut adalah neneknya, Fatimah Hamat berusia lewat 70-an, bersama bapa dan ibu saudara termasuk ibunya.

“Masa tu buat pertama kali keluarga besar kami berkumpul bersama sejak sekian lama sebab masing-masing sibuk walaupun antara kami tinggal berdekatan.

“Kami panggil nenek dengan nama Mek, cicit-cicit panggil Tok Mek. Mek sebenarnya ada 12 anak tapi lima dah meninggal dunia, yang tinggal tujuh. Tapi, anak sulung tak dapat bersama masa hari keluarga yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu,” katanya kepada mStar.

Anak-anak sebak di atas pengorbanan ibu.

Yuniey yang berasal dari Ketereh, Kelantan berkata, sesi suap-menyuap itu dibuat disebabkan kerinduan yang menebal dalam kalangan anak-anak terhadap Mek.

Masa rakam tu, saya bayangkan kalau tak sempat ada peluang begini, mungkin tak dapat merasa sampai bila-bila. Sebab Tuhan boleh ‘ambil’ mereka bila-bila masa, kita tak tahu.

“Dah berpuluh tahun mereka tak merasai suapan Mek. Macam ibu saya sendiri, umurnya 51 tahun, dah hampir 49 tahun tak disuap Mek.

“Sebab orang dulu-dulu, masa kecil-kecil je disuap makan mak ayah. Lepas tu, abang atau kakak yang ambil tanggungjawab suapkan makanan kepada adik-adik,” katanya sambil menambah datuknya telah lama meninggal dunia.

Mek terharu melihat keluarganya berkumpul.

Ibu kepada dua anak ini bersyukur diberikan kesempatan untuk menyaksikan momen paling manis dalam hidupnya yang tidak akan dilupakan sehingga ke akhir hayat.

“Mek sebenarnya tak sihat tapi bila tengok hampir semua anak, cucu dan cicit berkumpul, dia jadi sihat dan bersemangat.

“Masa rakam tu, saya bayangkan kalau tak sempat ada peluang begini, mungkin tak dapat merasa sampai bila-bila. Sebab Tuhan boleh ‘ambil’ mereka bila-bila masa, kita tak tahu,” katanya yang merupakan usahawan kosmetik.

Sebahagian keluarga besar Mek pada hari keluarga, baru-baru ini.

Yuniey berkata, ibunya memberitahu sesi suapan itu mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya sehingga dia adik-beradiknya yang lain berasa amat terkesan dan menangis.

Menurutnya, tidak berkemampuan dari segi kewangan bukan alasan untuk tidak boleh berkumpul bersama keluarga dan merapatkan hubungan yang jauh.

“Sebenarnya antara kita nak atau tak nak. Kalau tak mampu, banyak tempat berkumpul yang tak perlu bayar macam berkumpul di tepi pantai.

“Lain boleh dicari ganti, tetapi kalau orang yang kita sayang tu dah tak ada, memang tiada gantinya. Hargailah selagi mereka masih ada,” katanya yang mengakui gagal mengawal emosi semasa merakamkan video tersebut.

 

sumber :  mstar